Curi baucar bernilai S$10,800 Tanty Yohaida Samad dijel 11 bulan
Dengan menggunakan penyangkut baju sebagai cangkuk, sepasang suami isteri ini mencungkil keluar sampul-sampul dari peti-peti surat di blok-blok HDB Marsiling tempat mereka tinggal. Menerusi perbuatan itu mereka mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 yang bernilai sebanyak S$10,800.
Baucar barangan dapur Belanjawan 2020. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Dengan menggunakan penyangkut baju sebagai cangkuk, sepasang suami isteri ini mencungkil keluar sampul-sampul dari peti-peti surat di blok-blok HDB Marsiling tempat mereka tinggal. Menerusi perbuatan itu mereka mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 yang bernilai sebanyak S$10,800.
Pasangan itu kemudian membelanjakan baucar tersebut di pelbagai pasar raya. Mereka membeli beberapa telefon bimbit dan komputer riba untuk dijual semula bagi meraih wang tunai. Mereka juga menukar sebilangan baucar itu kepada wang tunai untuk membeli rokok.
Pada Khamis (29 Apr), si isteri, Tanty Yohaida Samad, 45 tahun, dijatuhi hukuman penjara 48 minggu iaitu kira-kira 11 bulan. Dia juga diarahkan supaya menjalani lagi 121 hari dalam penjara kerana melanggar satu perintah peringanan hukuman bagi penggunaan dadah ketika melakukan jenayahnya yang terkini itu.
Tanty mengaku bersalah ke atas 15 tuduhan mencuri pada Khamis dengan 57 lagi tuduhan serupa diambil dalam pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman.
Suami Tanty, Zulkeflei Mohamed Yatim, juga didakwa dan kesnya masih belum selesai.
Pasangan itu mencuri baucar barangan dapur daripada 72 mangsa.
Baucar-baucar itu, yang diumumkan semasa Belanjawan Perpaduan pada Februari tahun lalu, dikirimkan menerusi pos kepada 150,000 warga Singapura untuk membantu mereka dalam perbelanjaan rumah.
Sebanyak 229 set baucar - setiap satu bernilai S$150 - dilaporkan dicuri setakat hujung Oktober tahun lalu dan 55 tangkapan sudahpun dilakukan. Menteri Kedua bagi Kewangan Indranee Rajah memberitahu demikian di Parlimen pada November lalu.
Kebanyakan penerima baucar adalah warga berusia 55 tahun dan ke atas.
Mahkamah diberitahu Tanty dan Zulkeflei juga menerima baucar tersebut untuk diri mereka sendiri.
Menyedari bahawa para penghuni flat di blok mereka besar kemungkinan akan menjadi penerima baucar Belanjawan tersebut, Tanty menyuarakan idea untuk mencuri baucar-baucar itu daripada jiran tetangganya.
Apabila suaminya bersetuju, mereka mula pergi ke peti-peti surat pada waktu dinihari pada Oktober tahun lalu, biasanya selepas tengah malam, untuk mengelak daripada dikesan.
Mereka menyasarkan peti-peti surat yang penutupnya tidak tertutup rapat, dengan memasukkan penyangkut baju menerusi lubang penutup itu untuk mencungkil keluar sampul-sampul surat yang berisi baucar-baucar tersebut. Setiap sampul surat mempunyai 15 baucar bernilai S$10 setiap keping.
Sekiranya kaedah itu tidak berhasil, Zulkeflei akan menggunakan playar untuk membuka peti-peti surat tersebut. Tanty memerhatikan sekitaran sekelilingnya sementara Zulkeflei memasukkan kesemua surat itu ke dalam begnya. Mereka kemudian pulang ke rumah dan memeriksa semua surat yang diambil dengan menyimpan sampul-sampul surat yang berisi baucar.
Sesetengah mangsa tidak perasan apa yang berlaku kerana peti-peti surat mereka tidak kelihatan seperti diusik.
Pasangan itu kemudian melakukan perbuatan yang sama di blok berhampiran.
Mereka membelanjakan baucar-baucar di pasar-pasar raya termasuk sebuah cawangan Sheng Siong di Marsiling serta cawangan-cawangan NTUC FairPrice di pusat-pusat beli-belah Jem dan Nex.
Antara barangan yang mereka beli termasuk telefon bimbit Vivo yang berharga antara S$369 hingga S$599 serta sebuah komputer riba Acer bernilai S$398. Mereka kemudian menjual telefon-telefon bimbit itu dan meraih wang tunai daripadanya.
15 mangsa kemudian membuat aduan polis. Salah seorang daripada mereka melaporkan kehilangan baucar yang sepatutnya dikirimkan menerusi pos kepada ibunya, berusia 93 tahun, yang tidak boleh bergerak dan tinggal sendirian.
Mangsa-mangsa lain dikenal pasti setelah Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) memerika nombor siri baucar-baucar yang digunakan oleh Tanty dan Zulkeflei.
Bagi setiap tuduhan mencuri, Tanty boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.