Cukai hartanah bagi kebanyakan rumah naik pada 2023; Pemerintah akan beri rebat sekali sahaja hingga S$60
SINGAPURA: Cukai hartanah akan meningkat pada 2023, menyusuli semakan tahunan nilai hartanah, yang digunakan untuk mengira cukai hartanah yang perlu dibayar.
Semakan itu akan menjejas kedua-dua hartanah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan rumah privet.
Untuk mengatasi kenaikan tersebut, Pemerintah akan memberikan rebat cukai hartanah sekali sahaja sebanyak 60 peratus bagi semua hartanah yang didiami pemiliknya sehingga S$60. Bayaran tersebut akan secara automatik mengimbangi sebarang cukai yang perlu dibayar pada 2023.
Pemilik yang juga penghuni flat HDB satu dan dua bilik tidak dikehendaki membayar cukai hartanah tahun depan, memandangkan nilai tahunannya kekal bawah S$8,000, menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (2 Dis).
"Bagi kebanyakan pemilik-penghuni jenis flat HDB yang lain, mereka dikehendaki membayar antara S$30 dengan S$70 lebih tinggi cukai hartanah berbanding 2022, setelah mengambil kira rebat," menurut kenyataan tersebut.
Kenaikan cukai hartanah selepas menolak rebat, adalah lebih tinggi bagi mereka yang memiliki hartanah lebih mahal.
"Seperti diumumkan pada Belanjawan 2022, kenaikan kadar cukai hartanah bagi 2023 akan dilakukan secara lebih progresif mulai 1 Januari 2023, dengan hartanah kediaman bernilai lebih tinggi dan tidak dihuni pemilik akan dikenakan cukai lebih tinggi," menurut MOF dan IRAS.
Kemas kini bagi nilai tahunan hartanah mencerminkan peningkatan dalam sewa pasaran, menurut pihak berkuasa tersebut lagi.
Nilai tahunan sesebuah hartanah itu adalah anggaran sewa tahunan jika ia disewakan, dan ia ditentukan berdasarkan kadar sewa pasaran hartanah setanding
Cukai hartanah yang perlu dibayar ditentukan dengan mendarab kadar cukai hartanah dengan nilai tahunan unit berkenaan.
Sejak semakan nilai tahunan pada 1 Januari 2022, sewa pasaran flat HDB dan hartanah kediaman privet naik lebih 20 peratus, menurut MOF dan IRAS.
"Nilai tahunan hartanah kediaman akan dikemas kini mulai 1 Januari 2023 untuk mencerminkan trend tersebut," tambah mereka.
Semakan tersebut tidak akan menjejas kelayakan bagi skim sokongan sosial seperti skim Baucar GST, subsidi premium MediShield Hayat dan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), menurut MOF dan IRAS lagi.
Nilai tahunan setakat 2022 akan digunakan untuk menentukan kelayakan pada 2023.
"Pemerintah akan terus menyemak semula skim-skim sokongan sosial untuk memastikan rakyat Singapura yang memerlukan akan menerima sokongan."
Pemilik hartanah akan menerima bil cukai hartanah mereka menjelang akhir bulan Disember ini. Cukai hartanah perlu dibayar sebelum 31 Januari 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.