Cuba kesan pelajar guna AI perkara 'sia-sia', kata profesor universiti SG
Apabila Tim, seorang penuntut tahun tiga jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), diberikan tugasan bertulis pada semester lalu, dia memanfaatkan ChatGPT.

Lebih ramai pelajar menggunakan peranti kecerdasan buatan di universiti, menimbulkan cabaran kepada pendidik. (Gambar fail: AP/Michael Dwyer)
Menggunakan esei seorang penuntut senior sebagai rujukan, dia meminta alat kecerdasan buatan generatif itu untuk menjana satu esei baharu. Dia kemudian menulis semula esei itu dalam format yang dia "mampu" dan menyerahkannya sebagai hasil kerjanya sendiri.
"Sangat sukar untuk tertangkap," kata pemuda berusia 24 tahun itu, yang meminta nama sebenarnya tidak diterbitkan.
Tim adalah sebahagian daripada generasi pelajar universiti yang semakin beralih kepada AI untuk membantu mereka menyelesaikan tugasan akademik. Sedang universiti-universiti bergelut untuk menguruskan perubahan sedemikian, para pendidik mendapati semakin sukar untuk mengenal pasti dan mengawal penyalahgunaan AI.
Pada bulan April, tiga penuntut NTU dituduh menyalahgunakan AI bagi memberikan pemetiksan palsu dan tidak tepat. Pelajar-pelajar itu mempertikaikan dakwaan tersebut dan menyuarakan kebimbangan mengenai proses yang sewajarnya. NTU kemudian mengadakan rundingan dengan dua daripada mereka dan sedang mengadakan perbicangan panel kajian yang termasuk pakar AI bagi rayuan seorang lagi penuntut.
Insiden itu mencetuskan perdebatan yang lebih meluas mengenai peraturan AI di universiti. Daripada 13 pendidik yang ditemu bual Mediacorp, kebanyakan mengakui bahawa mengesan penggunaan AI dalam tugasan yang diserahkan pelajar adalah hampir mustahil dengan alat yang sedia ada sekarang.
Cik Eunice Tan, seorang pensyarah di Pusat Bahasa dan Komunikasi NTU, berkata pengesanan AI melalui platform penjiplakan atau plagiarisme seperti Turnitin sering menghasilkan keputusan yang tidak boleh dipercayai dan positif palsu. Dalam satu contoh, seorang pelajar yang menggunakan AI menerima markah 0 peratus daripada alat pengesan – menunjukkan ia gagal mengesan sebarang kandungan yang dihasilkan AI.
Daripada bergantung pada alat pengesan, beliau memerhatikan ketidakselarasan dalam gaya penulisan penuntut dan menyemak kerja mereka berbanding sumber yang dipetik.
"Dalam kes-kes yang paling teruk, pelajar hanya melakukan tugasan semata-mata kerana mereka perlu melakukannya, dan mereka tidak membaca sumber-sumber itu sama sekali," katanya. "Anda boleh tahu kerana mereka tidak pun memeriksa kandungan AI yang dihasilkan, dan terdapat maklumat yang salah di sana."
Daripada 70 pelajar yang beliau selia setiap semester, beliau memberi gred rendah kepada kira-kira dua hingga tiga pelajar disebabkan penyalahgunaan AI.
KES YANG DISAHKAN ADALAH SEDIKIT
Kebanyakan universiti menyatakan tenaga pengajar mempunyai kuasa memutuskan tentang bagaimana AI digunakan dalam kursus mereka, dalam lingkungan dasar dan garis panduan institusi yang lebih luas.
Jurucakap NTU berkata setakat ini tiada pelanggaran berkait AI yang memerlukan pembuangan pelajar.
Di universiti autonomi lain di Singapura, hanya sedikit kes salah laku akademik berkaitan AI yang disahkan. Universiti Pengurusan Singapura (SMU), yang mempunyai lebih 13,000 pelajar, berkata ia terpaksa menangani "hanya segelintir" kes sedemikian dalam tempoh tiga tahun lalu.
Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) juga hanya menyaksikan beberapa pelanggaran integriti, terutamanya melibatkan plagiarisme, manakala penggunaan AI tanpa kebenaran kekal jarang berlaku, kata Penolong Provos Ashraf Kassim.
Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) melaporkan "sedikit kenaikan" dalam kes, sebahagiannya disebabkan oleh kewaspadaan lebih tinggi fakulti dan alat pengesan AI. Kes tidak jujur dari segi akademik yang melibatkan AI generatif kekal rendah, tambah jurucakap institusi itu.
Dua universiti autonomi lain – Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Teknologi Singapura – tidak menjawab pertanyaan mengenai berapa banyak kes penyalahgunaan AI yang sudah dicatat di institusi masing-masing.
BAGAIMANA UNIVERSITI KAWAL PENGGUNAAN AI, KESAN PENYALAHGUNAAN
NTU menyatakan secara amnya, para penuntut dibenarkan menggunakan AI generatif dalam tugasan mereka, selagi mereka mengisytiharkan penggunaannya dan memastikan kandungan adalah tepat dari segi fakta dan dipetik dengan betul.
Pelajar "bertanggungjawab sepenuhnya" untuk sebarang kandungan yang dihasilkan menggunakan AI, kata jurucakapnya.
Di SUTD, pelajar juga mesti mengisytiharkan penggunaan AI dan mematuhi garis panduan khusus kursus. Penilaian kini direka untuk mengurangkan "pergantungan AI pasif" – contohnya, dengan memerlukan pelajar mengkritik respons yang dihasilkan AI atau menunjukkan pemikiran berulang, kata Penolong Provost Ashraf Kassim.
NUS secara amnya membenarkan penggunaan AI dalam tugasan yang dibawa pulang, dengan syarat para penuntut mengakui dan mengaitkan maklumat yang dipetik pada wadah yang mereka gunakan dengan betul. Jika objektifnya adalah untuk pelajar menguasai konsep atau kemahiran teras secara bebas, tenaga pengajar mungkin memerlukan penilaian secara langsung tanpa akses kepada AI.
"Yang penting, pelajar dinilai semata-mata berdasarkan mutu kerja mereka, tidak kira sama ada AI digunakan atau tidak. Plagiarisme adalah kesalahan akademik yang serius di NUS. Pelajar yang menyerahkan tugasan yang dihasilkan AI sebagai kerja mereka sendiri, tanpa pengiktirafan sewajarnya pada alat AI yang digunakan, akan melakukan plagiarisme," tambah jurucakapnya.
NTU dan SMU kedua-duanya menggunakan pengesan AI Turnitin untuk mengesan penulisan yang mungkin dihasilkan oleh alat seperti ChatGPT.
SMU tidak menyokong sepenuhnya alat pengesan AI Turnitin dan tidak menganggapnya sebagai alat muktamad. Namun begitu, jurucakap SMU menyatakan alat itu memberikan petunjuk awal dan peratusan kemungkinan sama ada sesuatu hasil kerja itu ditulis oleh pelajar atau AI.
Jika Turnitin memaklumkan bahawa tugasan seseorang pelajar sangat berkemungkinan ditulis oleh AI, SMU menyemaknya dengan alat pengesan lain seperti GPTZero dan Originality.ai. Jika beberapa platform turut menimbulkan kebimbangan, pelajar mungkin dipanggil untuk temu bual untuk menentukan sama ada terdapat penggunaan tanpa kebenaran.
Di seluruh universiti berautonomi Singapura, salah laku akademik yang disahkan melibatkan AI boleh mengakibatkan denda dari pengurangan gred dan markah sifar untuk komponen atau kursus tertentu, kepada penggantungan atau pembuangan – bergantung kepada sejauh mana serius satu-satu kesalahan.
ALAT PENGESAN YANG TIDAK BOLEH DIPERCAYAI
Profesor Madya Undang-undang SMU, Daniel Seah, menggunakan Turnitin sebagai "alat pemeriksaan pertama" tetapi melihat melangkaui markah untuk menilai mutu pengakuan sumber, petikan dan pandangan pelajarnya.
"Jika terdapat percanggahan yang ketara antara kerja bertulis yang diserahkan pelajar dalam penilaian terbuka dan kebolehan yang ditunjukkan sepanjang tempoh, itu adalah asas yang munasabah untuk menganggapnya sebagai petanda mencurigakan," katanya.
Tanda-tanda tertentu seperti frasa klise atau peralihan yang terlalu lancar secara tidak wajar boleh menunjukkan penggunaan AI, tetapi penanda ini tidak selalu boleh dipercayai. "Itulah sebabnya pertimbangan kontekstual adalah penting," tambahnya.
Setakat ini, Profesor Madya Seah belum menemui sebarang kes berat penyalahgunaan AI dalam kursusnya.
Pensyarah sains komputer SMU, Lee Yeow Leong, bersetuju bahawa alat pengesan AI "tidak muktamad". Beliau tidak membenarkan pelajarnya menggunakan AI dalam penilaian yang diawasi, dan apabila pelajar mempunyai tugasan bawa pulang, beliau menguji pemahaman mereka semasa pembentangan.
"Pendekatan ini memastikan pelajar mempunyai pemahaman yang mendalam tentang kerja mereka, tidak kira sama ada alat AI digunakan semasa proses pembangunan," katanya, sambil menambah bahawa beliau sudah mengenal pasti "kurang segelintir kes" penyalahgunaan AI setakat ini.
PENGGUNAAN AI BERLELUASA: PENUNTUT
Ramai penuntut yang ditemu bual Mediacorp mengaku menggunakan alat AI untuk tugasan, selalunya tanpa mengisytiharkannya. Dengan kekurangan alat pengesan yang boleh dipercayai, tidak sukar untuk mengelak daripada tertangkap, kata para penuntut.
Daripada 10 pelajar yang ditemu bual, hanya dua yang mengatakan mereka yakin penggunaan mereka mematuhi garis panduan universiti. Kebanyakan tidak mahu nama sebenar mereka didedahkan untuk mengelak masalah di sekolah.
Ada yang menyatakan mereka menggunakan AI secara ringan untuk berfikiran dan mendapat ilham, tetapi memilih untuk tidak mengisytiharkannya kerana menyifatkannya sebagai sesuatu yang leceh – seperti menyediakan petikan skrin sesi ChatGPT mereka.
Manuel, yang baru menamatkan tahun pertamanya dalam jurusan perniagaan di SMU, "mula mencuba" ChatGPT apabila dia memulakan universiti dan menyedari dia boleh menggunakan AI untuk menjana idea, menyemak dan memeriksa tatabahasa.
Seperti kebanyakan pelajar lain yang ditemu bual Mediacorp, pemuda berusia 23 tahun itu berasa bahawa menggunakan alat AI generatif untuk modul yang mereka anggap kurang bermakna atau berharga untuk pendidikan mereka adalah tidak bermasalah.
Dia baru-baru ini menggunakan AI untuk menjana 80 peratus daripada tugasan yang akan diberi gred untuk modul yang dia sifatkan sebagai "mengandungi banyak perkara yang tidak penting, tidak relevan, atau tidak substantif".
Manuel berkata dia biasanya mengelak daripada menyalin respons AI sepenuhnya, memandangkan penulisan ChatGPT sering kali ketara. Namun, apabila diminta untuk mengisytiharkan penggunaan AI, dia dan rakan projeknya biasanya hanya mengatakan mereka menggunakannya untuk pemeriksaan tatabahasa.
"Anda mencari masalah sendiri jika memberitahu mereka apa yang anda lakukan," katanya.
Carrie, seorang pelajar kemanusiaan tahun tiga di NTU, berkata dia cuba untuk tidak terlalu bergantung pada alat seperti ChatGPT, hanya menggunakannya untuk meringkaskan teks atau sebagai rujukan.
"Saya tidak akan menggunakannya untuk membantu saya menulis keseluruhan esei. Itu agak berlebihan," katanya, sambil menambah bahawa apa yang dijana oleh AI juga boleh menjadi tidak tepat.
Namun, tiada cara untuk menghentikan rakan kumpulan daripada menggunakan alat AI tanpa pengetahuannya. "Saya boleh mengawal diri saya daripada menggunakan AI, tetapi jika orang lain menggunakannya, saya juga tidak tahu," kata Carrie.
Pauline, graduan SMU baru-baru ini, berkata dia kini sangat bergantung pada AI sehingga penulisannya merosot. "Saya rasa saya tidak boleh menghasilkan esei sebaik yang saya lakukan pada Tahun 1 lagi, kerana saya hanya bergantung pada ChatGPT untuk segala-galanya."
Graduan sains komputer NTU Jamie Lee menggunakan AI di mana dibenarkan, terutamanya untuk mengoptimumkan huraian bagi beberapa masalah. Tugasan yang sebelum ini mengambil masa sehari boleh diselesaikan dalam masa sejam dengan bantuan AI, katanya.
Dia menganggarkan bahawa dia menggunakan AI dalam kira-kira 90 peratus tugasan-tugasan — tetapi terutamanya untuk menambah pemahamannya, bukannya sebagai jalan pintas.
"Akhirnya, saya juga ingin memahami bagaimana untuk menyelesaikan soalan itu, jadi saya tidak mahu hanya menyalin setiap jawapan demi melakukan tugasan."
SESUAIKAN DIRI DENGAN REALITI BAHARU
Para pendidik bersetuju bahawa cuba mengesan setiap contoh penggunaan AI adalah sia-sia. Profesor Madya Aaron Danner, dari Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan NUS, menentang larangan menyeluruh terhadap AI.
"Ia akan menjadi usaha yang sia-sia untuk cuba mengetahui sama ada seorang pelajar menggunakan AI atau tidak untuk tugasan penulisan," katanya. "Kita perlu menyesuaikan tugasan kita dengan realiti ini."
Dr Grandee Lee, yang mengajar di Sekolah Sains dan Teknologi di SUSS, menyokong dasar "sesuai tujuan". Jika sesuatu kursus mengajar kemahiran yang boleh ditiru oleh AI, seperti pemikiran pengkomputeran, meringkaskan dan menulis, maka penggunaan AI tidak boleh dibenarkan, katanya. Tetapi dalam kursus yang lebih maju, kolaborasi AI boleh berguna dalam pembelajaran dan penilaian.
Sesetengah tenaga pengajar sudah sepenuhnya menerima penggunaan AI di dalam bilik darjah. Profesor Madya Donn Koh, yang mengajar reka bentuk industri di NUS, memerlukan pelajar menggunakan AI dalam tugasan tertentu.
"Sama ada AI adalah plagiarisme bukan lagi isu utama," katanya. "Cabaran sebenar adalah membantu pelajar menyerlah dan mencipta nilai yang berbeza apabila semua orang mempunyai alat AI yang sama."
Pendidik berkata bahawa membina kepercayaan antara guru dengan pelajar akan menjadi penting apabila AI semakin sebati dalam kehidupan akademik.
Dr Lee Li Neng, seorang pensyarah kanan di Jabatan Psikologi NUS, berkata penggunaan AI tidak seharusnya dijadikan "proses menyembunyikan helah" antara pelajar dan guru. Sebaliknya, beliau menganjurkan ketelusan agar guru dapat memahami dengan lebih baik bagaimana pelajar menggunakan AI dan menyesuaikan pengajaran mereka sewajarnya.
"Kita harus jujur bahawa ramai di antara kita masih cuba untuk memahami perkara ini seiring berjalannya waktu," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.