Skip to main content

Singapura

Cuaca panas melampau jejas tumpuan pelajar SG di bilik darjah

Anggaran Waktu Membaca:
Cuaca panas melampau jejas tumpuan pelajar SG di bilik darjah

Pendingin hawa dalam bilik darjah di Sekolah Menengah Northland pada 28 Mei 2025. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)

Diterbitkan : 31 May 2025 09:43PM Dikemas Kini : 31 May 2025 09:44PM

SINGAPURA: Apabila suhu meningkat pada bulan Mei dan Jun iaitu dua bulan paling panas di Singapura, para pelajar menghadapi kesukaran memberi tumpuan di dalam bilik darjah, sekaligus mencetuskan kebimbangan para ibu bapa dan pendidik.

IBU BAPA RISAU TENTANG KESEJAHTERAAN ANAK-ANAK

Clement Tan, seorang peguam litigasi berusia 43 tahun dan bapa kepada tiga orang anak, berkongsi bahawa kipas yang dipasang di sekolah anaknya, iaitu Sekolah (Rendah) Fairfield Methodist tidak mampu mengudarakan seluruh bilik darjah. 

Dua anaknya mengalami masalah kulit ekzema, bahkan mereka turut demam panas disebabkan suhu yang panas di bilik darjah.

Bagi mengatasinya, Encik Tan membenarkan mereka membawa kipas kecil ke sekolah, dan pihak sekolah juga membenarkan memakai seragam latihan jasmani (PE) sepanjang hari.

Beberapa ibu bapa lain turut menyuarakan kebimbangan yang sama.

Rynette Joyce Tan, seorang pengasas platform pendidikan untuk ibu bersalin, 13Thirteen dan ibu kepada empat orang anak berkata anak-anaknya kini lebih mudah rewel.

Kini bahkan meminta supaya dijemput pulang dari sekolah dengan menaiki kereta dan tidak mahu menaiki pengangkutan awam.

Mereka juga kini dibenarkan memakai seragam yang diperbuat daripada bahan yang serap kelembapan.

KESAN TERHADAP PRESTASI PELAJAR

Suhu panas yang melampau terbukti boleh menjejas pembelajaran pelajar.

Pelbagai kajian menunjukkan peningkatan suhu boleh merendahkan prestasi dan gred kognitif pelajar.

Profesor Madya Alberto Salvo dari Universiti Nasional Singapura (NUS) mendapati prestasi mahasiswa merosot sebanyak 1.5 peratus jika cuaca panas pada penggal itu.

Penolong Profesor Wang Jingyu dari Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE) berkata suhu bilik darjah yang tinggi boleh menyebabkan pelajar mudah berasa letih, mengurangkan tahap penyertaan mereka dan menjejas mutu tidur mereka, sekali gus menjejas tumpuan mereka.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH PIHAK SEKOLAH, PEMERINTAH

Kementerian Pendidikan (MOE) telah bekerjasama dengan Pasukan Bertindak Mercury yang ditubuhkan pada 2023 bagi melakarkan pelan tindak balas kepada gelombang haba kebangsaan.

Berikut antara pelan yang dilakarkan:

1. Pihak sekolah boleh membenarkan para pelajar memakai pakaian seragam yang diperbuat daripada bahan dry-fit

2. Kurangkan kegiatan luar darjah dari pukul 11.00 pagi hingga 4.00 petang

3. Beralih kepada pembelajaran di rumah atau secara separa jika perlu

Selain itu, MOE turut menyatakan pihak sekolah boleh melaksanakan langkah-langkah pengurusan haba sendiri, seperti meningkatkan pengudaraan, memasang lebih banyak kipas cekap tenaga dan mengecat bangunan dengan cat pemantul haba.

Sekolah-sekolah baharu bahkan direka bentuk dengan keutamaan terhadap pengudaraan silang semula jadi.

PERSPEKTIF GLOBAL

Ternyata bukan Singapura sahaja yang menghadapi isu ini.

Laporan UNICEF mendapati pada tahun 2024, gelombang haba menjejas pendidikan seramai 171 juta pelajar di seluruh dunia.

Di Filipina dan Kemboja, beberapa sekolah memutuskan untuk menyingkatkan atau menutup sekolah ketika berlaku gelombang panas.

Walaupun Singapura mempunyai infrastruktur dan dasar yang lebih lengkap, ia tetap berdepan cabaran haba bandar serupa dengan negara-negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat.

Sumber : CNA/HA/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita