Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cuaca panas, lembap diramalkan pada sebelah malam 2 minggu pertama Jun

Anggaran Waktu Membaca:
Cuaca panas, lembap diramalkan pada sebelah malam 2 minggu pertama Jun

Gambar hiasan: iStock/Kum Seong Wan)


SINGAPURA: Cuaca panas dijangkakan pada separuh pertama bulan Jun dengan permulaan keadaan monsun barat daya, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (Met Service) pada Khamis (1 Jun).

Suhu sehingga 35 darjah Celsius boleh dijangkakan pada sebelah siang, manakala suhu mungkin kekal melebihi 29 darjah Celsius – terutamanya di bahagian timur dan selatan Singapura – pada beberapa malam.

"Angin paras rendah pada ruang udara Singapura dan kawasan-kawasan sekitarnya diramal akan bertambah kuat dan bertiup dari tenggara atau barat daya pada awal Jun 2023, apabila monsun barat daya secara progresif melanda rantau ini," menurut Met Service dalam maklumannya.

"Musim tengkujuh barat daya lazimnya berlarutan hingga September dan secara amnya adalah musim yang lebih kering berbanding waktu lain dalam setahun."

Sepanjang dua minggu akan datang, suhu maksimum harian dijangka antara 33 darjah Celsius dan 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.

"Pada satu atau dua hari apabila litupan awan berkurangan, suhu maksimum harian boleh mencapai setinggi 35 darjah Celsius," dedah Met Service.

Met Service juga meramalkan curahan hujan pada paras hampir paras purata di kebanyakan kawasan negara ini.

"Dalam tempoh dua minggu pertama Jun 2023, hujan berserta guruh jangka pendek boleh dijangkakan di beberapa kawasan pada sebelah tengah hari," menurut agensi tersebut.

"Selain itu, badai Sumatera mungkin membawa hujan lebat dan angin kencang antara waktu subuh dan pagi pada beberapa hari."

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu menasihati orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi cuaca panas dan kering dalam tempoh beberapa bulan akan datang.


Dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis (1 Jun), beliau menasihati orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan semasa cuaca panas, seperti minum lebih banyak air bagi mengelakkan hidrasi, memakai pakaian berwarna terang dan menyejukkan badan dan mengadakan aktiviti luar pada waktu hari yang tidak panas terik.

"Kita boleh meninjau aplikasi MyENV untuk kemas kini cuaca terkini semasa merancang aktiviti kita," kata Cik Fu.

SUHU BULAN MEI PECAH REKOD

Singapura mencatatkan suhu tertinggi yang mencecah paras rekod pada Mei apabila keadaan antara monsun berlaku, dedah Met Service dalam semakan cuaca bulan lalu.

Suhu maksimum menjangkaui 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari, manakala suhu melepasi 35 darjah Celsius atau lebih pada sembilan hari.



Suhu harian tertinggi mencecah 37 darjah Celsius pada 13 Mei di Ang Mo Kio, sementara di beberapa kawasan, suhu menjangkaui 36 darjah Celsius.


Sementara itu, suhu harian minimum bagi Mei mencecah paras rekod iaitu 29.7 darjah Celsius di stesen East Coast Parkway pada 25 Mei.


Rekod sebelumnya iaitu 29.5 darjah Celsius turut dicatatkan di stesen yang sama pada 18 Mei tahun lalu.

Menurut Met Service, sebahagian besar kawasan di Singapura mencatatkan hujan di bawah paras purata pada bulan lalu.
 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan