Cuaca panas, lembap diramal berlarutan pada 2 minggu pertama Jun
(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)
SINGAPURA: Cuaca panas dan lembap diramal berlarutan sehingga separuh pertama Jun, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (Met Service) pada Rabu (1 Jun).
Lebih banyak hujan diramalkan pada dua minggu pertama Jun berbanding dua minggu terakhir Mei.
Suhu maksimum harian dijangka kebanyakannya antara 25 hingga 34 darjah Selsius, mencecah setinggi 35 darjah Selsius pada beberapa hari yang tidak berhujan atau hujan gerimis saja.
Cuaca panas dan lembap juga dijangkakan pada sebelah malam pada sesetengah hari dalam bulan Jun apabila angin bertiup dari tenggara atau selatan meniup udara panas dan lembap dari laut, menurut jabatan tersebut.
Suhu minimum sehingga 28 darjah Selsius diramalkan pada malam-malam tersebut, terutama sekali di bahagian utara dan timur Singapura.
Singapura mencatatkan hari terpanas bagi bulan Mei pada awal bulan lalu, dengan suhu setinggi 36.7 darjah Selsius di Admiralty pada 13 Mei. Ini menjangkaui suhu tertinggi sebelum ini, iaitu 36.5 darjah Selsius yang dicatatkan pada 16 Mei 2020 dan 3 Mei 2016.
Pada beberapa hari, hujan lebat berserta guruh dan angin kencang diramalkan di merata Singapura disebabkan oleh badai dari Sumatera yang mungkin boleh berlaku antara waktu sebelum subuh dan pagi, tambah jabatan tersebut.
Hujan bagi separuh pertama Jun dijangka hampir mencecah paras purata bagi sebahagian besar Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.