Skip to main content

Singapura

Cuaca panas diramal berlarutan hingga Mei; hujan berserta guruh sebelah petang

Cuaca panas dan hujan dalam bulan April diramal berlarutan hingga dua minggu pertama bulan Mei, dengan hujan dijangkakan pada kebanyakan hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Cuaca panas diramal berlarutan hingga Mei; hujan berserta guruh sebelah petang

Seseorang menggunakan payung semasa hujan di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 01 May 2021 08:02AM Dikemas Kini : 01 May 2021 08:05AM

SINGAPURA: Cuaca panas dan hujan dalam bulan April diramal berlarutan hingga dua minggu pertama bulan Mei, dengan hujan dijangkakan pada kebanyakan hari.

Demikian menurut jabatan kaji cuaca Singapura semalam (30 Apr).

Musim antara dua monsun yang berlaku di Singapura dijangka berterusan sehingga Mei.

Dengan adanya hujan monsun dekat dengan khatulistiwa rantau Asia Tenggara, hujan dijangkakan pada kebanyakan hari dalam dua minggu pertama bulan ini.

Dalam separuh kedua bulan Mei, angin tahap rendah dijangka ringan dan berubah arah. Angin lebih kencang mungkin bertiup dari barat daya atau berhujan pada beberapa hari.

Hujan petir jangka pendek dengan kilat yang kerap dijangkakan pada sebelah petang di beberapa kawasan di Singapura pada kebanyakan hari dalam dua minggu pertama bulan Mei.

"Ini disebabkan oleh pemanasan kawasan darat yang kuat pada waktu siang atau pertembungan angin di Singapura dan kawasan di sekelilingnya," menurut jabatan itu, sambil menambah hujan mungkin berlarutan sehingga waktu malam pada beberapa hari.

Penumpuan angin tahap rendah yang bertiup dari arah barat daya dan barat mungkin mencetuskan badai Sumatera di Selat Melaka dalam dua minggu pertama bulan Mei.

"Laluan timur angin kencang menghala ke Laut China Selatan diramal akan menyebabkan hujan berserta guruh dan angin kencang di Singapura pada beberapa hari antara waktu sebelum subuh dengan sebelah pagi," menurut jabatan itu lagi.

Secara keseluruhannya, jumlah hujan dalam separuh pertama bulan Mei diramalkan tinggi berbanding paras purata di kebanyakan kawasan di Singapura.

Cuaca panas dijangkakan pada kebanyakan hari dalam tempoh dua minggu mendatang, dengan suhu harian diramalkan antara 24 darjah Selsius dengan 34 darjah Selsius.

Suhu maksimum harian boleh mencapai sekitar 35 darjah Selsius pada beberapa hari, terutamanya apabila terdapat sedikit awan di langit.

Cuaca panas sebelah malam juga boleh dijangkakan dengan suhu sehingga 28 darjah Selsius pada beberapa hari, kebanyakannya di kawasan pantai selatan dan timur Singapura apabila angin dari arah timur atau tenggara meniup udara panas dan lembap dari laut. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita