Cuaca lebih sejuk diramalkan sepanjang minggu ini dek pusuan monsun

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Cuaca lebih sejuk berserta hujan diramalkan sepanjang minggu ini disebabkan pusuan monsun, menurut Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Rabu (25 Jan).
Menjawab pertanyaan Mediacorp, agensi tersebut menyatakan Singapura dan kawasan sekitarnya mengalami cuaca sejuk sejak Ahad (22 Jan), iaitu hari pertama pusuan monsun semasa dicatatkan.
Pusuan monsun merujuk kepada keadaan di mana angin bertiup lebih kencang di Laut China Selatan, menyebabkan pembentukan awan meluas di kawasan sekitarnya, menurut MSS yang berada di bawah naungan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Singapura mengalami keadaan seumpama itu untuk purata dua hingga empat kali sewaktu setiap musim tengkujuh timur laut dan ia lazimnya berlaku selama satu hingga lima hari.
Singapura mencatatkan hujan lebat berterusan sejak hari pertama Tahun Baru Cina pada Ahad lalu (22 Jan).
Jumlah curahan hujan harian setinggi 114.4 milimeter dicatatkan di Kolam Air Upper Pierce pada Ahad, yang tertinggi semasa pusuan monsun kali ini.
Pada Selasa (24 Jan), hujan paling lebat dicatatkan di bahagian timur Singapura, dengan jumlah 61.2 milimeter curahan hujan direkod di Pulau Tekong.
Suhu paling rendah dicatat pada hari yang sama - iaitu 22.3 darjah Celsius di Newton dan Jurong West.
Malah, suhu tertinggi yang dicatatkan setakat ini hanya mencecah 26 darjah Celsius.
MSS menyatakan hujan diramalkan berterusan di sebahagian besar Singapura, "kadangkala turun dengan lebat", pada Rabu dan mula reda secara beransur-ansur pada waktu malam.
Hujan renyai yang berlaku sekejap pada sebelah petang diramalkan pada Khamis (26 Jan) dan Jumaat (27 Jan).
"Cuaca berangin dan hujan boleh dijangkakan sekali lagi, dengan pusuan monsun dijangka menjejas Singapura serta kawasan sekelilingnya sekitar Sabtu (28 Jan)," menurut MSS.
Ia menambah keadaan itu berkemungkinan berlarutan sepanjang hujung minggu dan menyebabkan cuaca sejuk serta berangin, dengan suhu minimum harian jatuh ke paras serendah 22 darjah Celsius di sesetengah kawasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.