Cuaca lebih panas, kering di SG mungkin tingkatkan risiko denggi, penyakit pernafasan: Pakar
Apabila fenomena El Nino membawa cuaca lebih panas dan kering ke Singapura, para doktor berkata risiko beberapa penyakit berjangkit boleh meningkat, dengan penyakit kronik juga mungkin menjadi lebih teruk.
Walaupun corak iklim tersebut tidak menyebabkan penyakit secara langsung, ia boleh mewujudkan keadaan yang menggalakkan penularan penyakit bawaan nyamuk seperti denggi.
Cuaca panas juga boleh mendorong lebih ramai orang untuk berlindung di dalam bangunan dengan sistem hawa dingin, di mana kesesakan berpotensi meningkatkan penularan virus pernafasan sinsitium (RSV) dan jangkitan saluran pernafasan lain.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura menjangkakan keadaan El Nino akan berterusan sehingga Oktober.
PENYAKIT BAWAAN NYAMUK MUNGKIN MENINGKAT
Suhu yang lebih tinggi semasa El Nino boleh mempercepat kitaran hidup nyamuk Aedes dan memendekkan tempoh pembiakan virus dalam nyamuk tersebut.
"Secara amnya, kita menjangkakan peningkatan jangkitan bawaan vektor, termasuk denggi dan chikungunya," kata pakar penyakit berjangkit di Hospital Farrer Park, Dr Nicholas Chew.
Selain penyakit berjangkit, El Nino juga boleh menjejas kesihatan dengan memburukkan mutu udara.
Habuk, bahan pencemar dan debunga boleh terkumpul di udara, sekali gus memburukkan lagi penyakit pernafasan kronik seperti asma dan bronkitis, kata Dr Chew kepada program Singapore Tonight terbitan CNA.
Zarah halus PM2.5 boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah, meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular selain memburukkan lagi penyakit pernafasan.
Kanak-kanak kecil, warga emas, wanita hamil, pekerja yang bekerja di luar serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau paru-paru sedia ada merupakan antara golongan yang paling berisiko.
RSV SATU KEBIMBANGAN BAGI BAYI
Para doktor berkata RSV merupakan satu lagi jangkitan yang perlu diberi perhatian, khususnya dalam kalangan bayi.
Menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), RSV merupakan punca utama jangkitan virus yang menyebabkan bayi berusia bawah setahun dimasukkan ke hospital akibat jangkitan akut saluran bawah pernafasan di Singapura.
Kes yang teruk boleh menyebabkan bronkiolitis atau radang paru-paru.
Agensi itu juga menyatakan RSV secara konsisten merupakan antara virus pediatrik yang paling kerap dikesan di poliklinik tempatan sepanjang 2025.
Pakar pediatrik dan ahli reumatologi pediatrik di International Child and Adolescent Clinic, Dr Ooi Pei Ling, berkata RSV lazimnya bermula dengan simptom ringan seperti selesema sebelum merebak ke saluran bawah pernafasan dan menyebabkan kesukaran bernafas dalam kalangan bayi.
Ibu bapa perlu memerhatikan tanda-tanda seperti pernafasan yang laju, dada atau tulang rusuk yang tertarik ke dalam setiap kali menarik nafas, situasi kurang menyusu atau keadaan yang terlalu lesu.
Dr Ooi berkata virus itu sendiri kurang berupaya untuk terus hidup dalam keadaan cuaca panas dan kering. Namun, beliau menjelaskan, keadaan di mana lebih ramai orang berkumpul di dalam bangunan ketika cuaca panas boleh mewujudkan lebih banyak peluang untuk RSV merebak.
"Apabila cuaca sangat panas, semua orang akan berkumpul di dalam bangunan ... dan disebabkan oleh kesesakan itu, virus akan lebih mudah berjangkit daripada seorang individu kepada individu yang lain," kata beliau.
Dr Ooi menambah bahawa risiko itu lebih tinggi bagi bayi pramatang atau bayi yang mempunyai penyakit jantung, paru-paru atau keadaan sistem imun yang tertentu, dan menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya menerapkan amalan kebersihan yang baik.
"Basuh tangan sebelum mengendalikan bayi. Dan jika anda mengalami batuk dan selesema, elakkan dengan sedaya upaya daripada mendekati bayi yang masih kecil, terutamanya bayi yang berusia bawah enam bulan."
Dr Ooi turut menggalakkan wanita hamil yang berada antara minggu ke-32 dengan minggu ke-36 kehamilan supaya menimbangkan untuk mendapatkan vaksin RSV.
Vaksinasi dalam tempoh tersebut membolehkan antibodi perlindungan dipindahkan daripada ibu kepada bayi sebelum kelahiran, sekali gus membantu mengurangkan risiko bayi terkena jangkitan RSV yang teruk dalam tempoh enam bulan pertama kehidupannya.
Beliau menambah bahawa bayi yang baru lahir dan bayi kecil juga boleh menerima suntikan antibodi pencegahan sekiranya ibu tidak menerima vaksin semasa hamil.
BUAT PERSEDIAAN BAGI BULAN-BULAN MENDATANG
Dr Chew dari Hospital Farrer Park berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada Singapura akan menyaksikan peningkatan penyakit berkaitan El Nino. Beliau turut menjelaskan bahawa hubungan secara langsung antara El Nino dengan penularan penyakit sukar dibuktikan kerana penularan penyakit dipengaruhi pelbagai faktor.
Namun begitu, beliau menggesa para individu yang menghidap penyakit kronik supaya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan memastikan bekalan ubat mereka mencukupi.
Beliau juga mengesyorkan agar alat hawa dingin dan penapis udara dibersihkan sebelum ia digunakan dengan lebih kerap semasa cuaca semakin panas.
"Peralatan tersebut boleh menjadi tempat bagi pembiakan pelbagai jenis bakteria dan kulat," kata beliau.
Dr Chew berkata Singapura pernah mengalami fenomena El Nino sebelum ini, sekali gus memberikan pihak berkuasa kesihatan gambaran yang baik tentang apa yang boleh dijangkakan.
Beliau menambah bahawa ahli sains cuaca, karyawan jagaan kesihatan dan agensi pemerintah perlu terus berhubung rapat agar langkah-langkah yang sesuai dapat diambil sebaik sahaja tanda-tanda amaran dikesan.
"Saya rasa kita boleh berasa lebih yakin kerana fenomena El Nino ini bukanlah sesuatu yang baharu," kata beliau.
"Kita boleh menggunakan maklumat berhubung penyakit dan jangkitan yang pernah berlaku sebelum ini sebagai panduan dan menjangkakan apa yang mungkin berlaku kali ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.