Skip to main content

Singapura

Cuaca kering, panas bulan Mei diramal berlarutan

Anggaran Waktu Membaca:
 Cuaca kering, panas bulan Mei diramal berlarutan

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

SINGAPURA: Jabatan Kaji Cuaca Singapura (Met Service) menjangkakan cuaca panas ketika ini berlarutan hingga akhir Mei.

Menurutnya pada Selasa (17 Mei), suhu maksimum harian diramal berada antara 34 hingga 35 darjah Selsius dan mencecah 36 darjah Selsius pada beberapa hari. 

Keadaan cuaca panas dan lembap juga dijangkakan pada beberapa malam, dengan suhu berada dalam lingkungan sekitar 28 darjah Selsius. 

Keadaan ini dijangka melanda sebahagian besar kawasan pantai selatan dan timur negara, dengan angin bertiup dari arah timur atau tenggara membawa udara panas dan lembap dari laut, menurut jabatan tersebut. 

Tambahan pula, musim tengkujuh barat daya dijangka akan berlaku dalam masa dua minggu dan berlanjutan hingga September, membawa keadaan yang lebih kering berbanding masa-masa lain dalam setahun. 

Semasa tempoh itu, angin agak kuat dan akan bertiup dari arah tenggara atau barat daya, tambah agensi tersebut. 

Pada dua minggu terakhir Mei, cuaca panas boleh dijangkakan pada kebanyakan hari disebabkan oleh keadaan udara yang lebih stabil, udara kering yang bergerak di Singapura dan kawasan sekitar Asia Tenggara serta pengaruh fasa kering Osilasi Madden-Julian (MJO). 

Ia merupakan gabungan awan, hujan, angin dan tekanan yang bergerak ke arah timur melalui kawasan tropika dan kembali ke pusat asalnya dalam masa 30 hingga 60 hari. 

Hujan sekali-sekala kadangkala diiringi guruh, boleh dijangkakan pada beberapa hari di sebahagian Singapura pada lewat pagi dan awal petang. 

"Selain itu, hujan berserta guruh dengan angin kuat sekali sekali, disebabkan angin kencang di Sumatera, boleh dijangkakan pada sebelah pagi untuk satu atau dua hari. Dengan jumlah hujan berada di bawah paras purata, jumlah hujan bagi Mei 2022 dijangkakan berada di paras bawah atau hampir purata di sebahagian besar Singapura," kata agensi itu. 

Cuaca bagi dua minggu pertama Mei juga panas dengan suhu maksimum harian mencecah 34 darjah Selsius atau lebih tinggi pada lapan hari pertama bulan ini, tambah agensi itu. 

Suhu maksimum harian tertinggi, 36.7 darjah Selsius dicatatkan di Admiralty pada 13 Mei , sekali gus mengatasi rekod tertinggi 36.5 darjah Selsius sebelum ini pada 16 Mei 2010 dan 3 Mei 2016. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita