Skip to main content

Singapura

CSA siasat serangan siber ke atas Global Schools Foundation di SG

Anggaran Waktu Membaca:
CSA siasat serangan siber ke atas Global Schools Foundation di SG

(Gambar fail: REUTERS/Kacper Pempel/Illustration)

Diterbitkan : 17 Jun 2026 04:19PM Dikemas Kini : 17 Jun 2026 04:30PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat satu serangan siber yang menyasarkan Global Schools Foundation yang berpangkalan di Singapura.

Yayasan itu mengendalikan sekolah-sekolah swasta di bawah Global Schools Group di beberapa buah negara, termasuk Singapura.

Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC), iaitu badan pengawal selia perlindungan data utama di Singapura, memberitahu Mediacorp pada Rabu (17 Jun) bahawa pihaknya sedang menyiasat kes tersebut.

Selain itu, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) menyatakan pada 15 Jun bahawa Pasukan Respons Kecemasan Siber Singapura (SingCERT) sudah menghubungi pihak Global Schools untuk menawarkan khidmat nasihat bagi mengukuhkan keselamatan server mereka.

Laman berita keselamatan siber, BreachNews dan DataBreaches.net, turut melaporkan tentang perkara itu - dengan rencana pertama diterbitkan pada 11 Jun.

Laporan tersebut menyatakan bahawa maklumat peribadi pelajar seperti alamat rumah dan nombor pasport terjejas dalam insiden itu.

Selain itu, urusan surat-menyurat melalui emel antara kakitangan dan ibu bapa serta rekod gaji turut terjejas. Menurut laporan, sekitar 4.8TB data dicuri.

Menurut firma keselamatan siber Moxfive, kumpulan penggodam FulcrumSec mula dikesan pada September 2025.

Laman yang memantau perisian tebusan menyatakan kumpulan itu menyasarkan lebih 20 mangsa, termasuk firma teknologi kewangan Australia youX, penyedia maklumat undang-undang LexisNexis, syarikat perunding kejuruteraan Arup Group, dan syarikat perkhidmatan alam sekitar Interzero.

Kumpulan itu mendakwa pada minggu ini bahawa mereka menggodam gergasi farmaseutikal, Novo Nordisk, dan menyatakan hasrat untuk menjual sebahagian daripada data tersebut selepas tuntutan wang tebusan sebanyak AS$25 juta (S$32 juta) daripada pengeluar ubat Ozempic itu gagal.

Dalam kenyataannya kepada Mediacorp pada Rabu (17 Jun), jurucakap Global Schools Group mengesahkan bahawa pihaknya baru-baru ini telah mengalami satu insiden keselamatan siber dan sedang menilai kesannya.

Jurucakap itu berkata serangan siber tersebut sudah "ditangani dengan segera" dengan sokongan pakar luar, sistem yang terjejas sudah dipulihkan, dan pengawal selia serta penguat kuasa undang-undang yang relevan juga sudah dimaklumkan.

Kumpulan itu menambah bahawa mereka berjaya "mengawal" insiden berkenaan, namun tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan khusus oleh FulcrumSec tentang sejauh mana skop kebocoran data tersebut atau jenis-jenis data yang dicuri.

"Kami memandang serius terhadap semua insiden seumpama ini. Keselamatan serta privasi para pelajar, ibu bapa, kakitangan, dan pihak-pihak berkepentingan kami tetap menjadi keutamaan nombor satu kami," menurut kumpulan itu.

Menurut lamannya, Global Schools Group mengendalikan 12 jenama sekolah di 64 buah kampus di seluruh dunia, termasuk di Korea Selatan, Britain, dan Filipina.

Antara sekolah-sekolah di bawah kendaliannya ialah Global Indian International School di Punggol, yang mempunyai lebih 4,000 pelajar berdaftar.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita