Skip to main content

Singapura

CSA kemas kini senarai aplikasi bantu lindungi peranti daripada serangan siber

Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) sudah mengemas kini senarai aplikasi keselamatan yang disarankan untuk membantu orang awam melindungi peranti mereka daripada serangan perisian hasad (malware) dan pancingan data.

Anggaran Waktu Membaca:
CSA kemas kini senarai aplikasi bantu lindungi peranti daripada serangan siber
Diterbitkan : 20 Jan 2025 01:23PM Dikemas Kini : 20 Jan 2025 01:41PM
SINGAPURA: Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) sudah mengemas kini senarai aplikasi keselamatan yang disarankan untuk membantu orang awam melindungi peranti mereka daripada serangan perisian hasad (malware) dan pancingan data.

Senarai itu mengandungi enam aplikasi yang boleh dimuat turun menggunakan peranti Android atau iOS.

Aplikasi-aplikasinya adalah:

Untuk pengguna Android -

1. Avast Antivirus & Security
2. AVG Antivirus & Security
3. Norton360 Antivirus & Security
4. Sophos Intercept X for Mobile

Untuk pengguna iOS -

1. F-Secure Mobile Security
2. ZoneAlarm Mobile Security

Menurut CSA pada Isnin (20 Jan), sesetengah aplikasi mungkin mengenakan yuran langganan untuk menggunakan ciri-cirinya.

CSA melancarkan versi pertama senarai tersebut pada September 2023.

Sejak itu, agensi itu sudah menyemak dan menjalankan pemeriksaan terhadap 18 aplikasi unik pada peranti Android dan iOS.

"Ujian itu membuat rujukan kepada ujian yang sudah dijalankan oleh badan ujian pihak ketiga bertauliah dalam industri seperti AV Test dan AV Comparatives," menurut CSA.

Senarai aplikasi itu disemak berdasarkan empat kategori.

Kategori pertama adalah pengesanan perisian hasad, di mana ia menguji keupayaan aplikasi keselamatan untuk mengesan pelbagai sampel perisian hasad termasuk sampel sebenar, dirombak semula dan dikaburkan.

Aplikasi itu dinilai berdasarkan keupayaannya mengenal pasti ancaman yang menyamar sebelum ia dapat menyerang peranti tersebut.

Ini adalah penting kerana lapisan perlindungan pertama terhadap pelbagai jenis perisian hasad termasuk perisian pengintip - iaitu program yang direka untuk menghantar dan melepaskan jenis perisian hasad yang lain pada sistem dan alat mangsa.

Disebabkan oleh prasarana keselamatan pada sistem iOS Apple, aplikasi keselamatan itu tidak boleh mengimbas aplikasi iOS yang lain bagi kehadiran perisian hasad.

Justeru, ciri-ciri itu tidak dapat diuji pada peranti iOS, menurut CSA.

Kategori kedua, pengesanan pancingan data adalah penting untuk mengenal pasti dan menghalang sebarang laman penipuan atau alamat URL yang mencurigakan, menurut CSA.

Sementara itu, ujian pengesanan rangkaian menguji tumpuan terhadap keupayaan aplikasi keselamatan itu untuk mengesan dan memaklumkan kepada pengguna terhadap serangan biasa berdasarkan rangkaian, seperti percubaan untuk mengakses atau mencuri data terkunci.

Akhir sekali, pemeriksaan integriti peranti menilai jika aplikasi itu boleh mengesan ketetapan peranti yang berpotensi boleh menjejas keselamatan pengguna.

"Penjenayah siber sentiasa mencipta taktik baharu untuk memperdayakan kita dan ini sebabnya memuat turun aplikasi keselamatan adalah penting," kata timbalan ketua eksekutif CSA, Chua Kuan Seah.

Encik Chua berkata agensinya telah meluaskan kriteria ujian bagi aplikasi keselamatan untuk memastikan ia dapat melindungi daripada serangan perisian hasad yang berubah pantas dan serangan pancingan data.

"Senarai itu berfungsi sebagai bahan rujukan untuk membantu para pengguna memilik aplikasi keselamatan untuk dimuat turun berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka.

"CSA akan terus bekerjasama dengan pakar industri dan pembangun untuk mencipta huraian bagi orang awam melindungi diri mereka daripada penjenayah siber."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita