Skip to main content

Singapura

CSA keluarkan amaran kelemahan 'kritikal' sofwe Log4j

Pihak berkuasa Amerika Syarikat memberi amaran tentang bertambahnya kumpulan penggodam yang semakin giat mengeksploitasi kelemahan perisian berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
CSA keluarkan amaran kelemahan 'kritikal' sofwe Log4j

Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) meningkatkan amaran mengenai kelemahan kritikal sofwe Log4j. (Gambar: Facebook/Josephine Teo)

Diterbitkan : 17 Dec 2021 10:27PM

SINGAPURA: Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) meningkatkan amaran mengenai kelemahan kritikal sofwe Log4j selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat memberi amaran tentang bertambahnya kumpulan penggodam yang semakin giat mengeksploitasi kelemahan perisian berkenaan.

Log4j merupakan sofwe sumber terbuka yang digunakan untuk mengatur pendaftaran dalam aplikasi Java.

"Serangan pada kelemahan ini akan membolehkan penyerang mendapat kawalan penuh ke atas server yang terjejas," kata CSA dalam kenyataan medianya pada Jumaat (17 Dis).

Pihak berkuasa Singapura sedang memeriksa dan mengemas kini sistem-sistem pemerintah "dengan teliti", kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo di Facebook.

"Tetapi ini tidak cukup, kita harus sentiasa berjaga-jaga," katanya. Tambah beliau CSA sudah memberi penerangan kepada Persatuan Perdagangan dan Dewan Perniagaan (TACs) pada pagi Jumaat.

"Keadaan ini serius, dan ada langkah-langkah proaktif yang boleh kita ambil. Saya menggesa perniagaan Prasarana Maklumat Penting (CII), pemimpin perniagaan atau pemaju supaya mengenal pasti potensi risiko dalam sistem anda dan tutup kelemahan ini dengan cepat."

APA YANG HARUS DILAKUKAN PENGGUNA?

Dalam beberapa hari kebelakangan ini terdapat peningkatan yang ketara daripada aktiviti yang berkaitan dengan eksploitasi kelemahan.

CSA menggesa pengguna dan pengeluar produk agar segera melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pengguna produk dengan Log4j harus: Segera lakukan kemas kini ke versi terbaru, terutamanya pengguna Apache Log4j dengan versi terjejas antara 2.0 dan 2.14.1. Mereka dinasihatkan supaya menggunakan versi terbaru 2.16.0 dengan segera. Mereka harus tentukan sama ada Log4j digunakan bagi tujuan lain dalam sistem mereka. Pengguna harus tingkatkan pemantauan bagi sebarang aktiviti tidak normal. Mereka juga harus menggunakan Sistem Log Pemantauan dan Semakan Rangkaian Perlindungan.

Pengeluar produk yang menggunakan Log4j dalam produk mereka hendaklah: Kenal pasti dan menghasilkan "patch" buat produk terjejas yang menggunakan Log4j. Memaklumkan pengguna produk mereka yang mengandungi kelemahan ini dan menggesa mereka supaya mengemas kini kepada versi terbaru.

Badan-badan dan pertubuhan boleh merujuk kepada makluman SingCERT bagi maklumat lanjut.

Sumber : CNA/FA/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita