Skip to main content

Singapura

CSA gesa syarikat SG perketatkan keselamatan siber susuli serangan terhadap sistem penyejukan pasar raya di Eropah

Anggaran Waktu Membaca:
 CSA gesa syarikat SG perketatkan keselamatan siber susuli serangan terhadap sistem penyejukan pasar raya di Eropah

Seorang wanita berjalan melewati peti sejuk makanan segar yang kosong di pasar raya Intermarché di Névez, barat Perancis, pada 12 Okt 2026, selepas serangan siber. (Gambar fail: AFP/Fred Tanneau)

Diterbitkan : 06 Nov 2026 07:25PM

SINGAPURA: Pertubuhan dan syarikat di Singapura digesa agar memperkukuhkan sistem keselamatan siber mereka menyusuli beberapa serangan siber di luar negara yang menyasarkan sistem teknologi operasi (OT), termasuk sistem penyejukan di ratusan pasar raya di seluruh Eropah.

Meskipun tiada kejadian serupa dilaporkan di Singapura setakat ini, sesuatu pertubuhan tidak seharusnya menunggu sehingga serangan berlaku sebelum mengambil langkah berjaga-jaga.

Demikian menurut Pesuruhjaya Keselamatan Siber merangkap Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), Cik Gwenda Fong, pada Jumaat (6 Nov).

"Kejadian ini mengingatkan kita bahawa sektor yang biasanya tidak menganggap diri mereka sebagai sasaran serangan siber juga boleh terdedah kepada ancaman tersebut," kata Cik Fong.

"Kesannya bukan sekadar kehilangan data, malah boleh mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan dan perkhidmatan penting."

Dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada Jumaat, CSA memberi amaran bahawa sistem teknologi operasi yang boleh diakses dari jauh tetapi tidak dilindungi dengan baik boleh membolehkan penggodam mengubah tetapan peralatan, mengganggu operasi dan menimbulkan risiko keselamatan.

Nasihat itu merujuk kepada serangan siber baru-baru ini terhadap sistem pengurusan peti sejuk di pasar raya seluruh Eropah, serta kejadian yang menjejas sistem penyejukan di kemudahan perkhidmatan darah nasional Perancis.

Menurut CSA, kejadian tersebut menunjukkan ancaman yang lebih luas terhadap sistem teknologi operasi yang dihubungkan ke internet.

Sistem ini digunakan untuk memantau dan mengawal peralatan fizikal serta proses industri.

Semakin banyak sistem sedemikian kini dihubungkan ke internet atau rangkaian komputer syarikat supaya pengendali dan penyedia khidmat luar boleh memantau, menguruskan dan menyelenggarakan peralatan dari jarak jauh.

Namun, sambungan itu juga boleh mendedahkan sektor lain kepada kelemahan keselamatan yang serupa.

CSA menyatakan bahawa risiko tersebut turut wujud dalam sektor tenaga dan kemudahan awam, rawatan air, pengilangan, pengurusan bangunan, penyimpanan sejuk, logistik serta kemudahan penjagaan kesihatan.

"Walaupun sambungan seperti ini membawa banyak manfaat kepada operasi, akses jarak jauh yang tidak dilindungi dengan baik boleh menyebabkan sistem tersebut terdedah kepada pencerobohan," menurut CSA.

Agensi itu menambah bahawa serangan di Eropah dilaporkan melibatkan alat kawalan sistem penyejukan yang mempunyai perlindungan keselamatan lemah dan boleh diakses melalui internet.

Menjawab pertanyaan CNA, CSA berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) dan pengendali pasar raya untuk memperkukuhkan keselamatan siber rangkaian serta sistem mereka daripada ancaman siber.

Antara kelemahan keselamatan yang mungkin dieksploitasi termasuk kata laluan yang lemah atau masih menggunakan tetapan asal, perisian yang tidak dikemas kini serta kawalan akses yang tidak mencukupi.

Bagaimanapun, kaedah sebenar yang digunakan oleh penggodam masih dalam siasatan.

Apabila penggodam berjaya memasuki sistem tanpa kebenaran, mereka mungkin boleh mengubah tetapan peralatan, mematikan penggera keselamatan atau mengganggu operasi biasa.

Tindakan sedemikian boleh menyebabkan kerosakan peralatan, membahayakan keselamatan, mengganggu perkhidmatan dan mengakibatkan kerugian kewangan.

Bagi industri yang bergantung pada penyimpanan dan penghantaran barangan pada suhu terkawal, gangguan terhadap sistem kawalan suhu juga boleh menjejas keselamatan produk serta rantaian bekalan.

SYARIKAT DIGESA PERKUKUH LANGKAH KESELAMATAN SIBER

Pasukan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCERT) menasihatkan pertubuhan yang menggunakan sistem teknologi operasi dengan akses jarak jauh supaya menyemak semula langkah keselamatan siber mereka dan memperkukuhkan perlindungan terhadap kemungkinan serangan.

Antara saranannya ialah mengehadkan akses terus melalui internet kepada sistem pengurusan peralatan dari jauh, selain memperketatkan kaedah pengesahan identiti dan kawalan akses.

Pertubuhan juga digesa menukar kata laluan asal peralatan kepada kata laluan yang kukuh dan berbeza bagi setiap sistem.

Jika akses jarak jauh diperlukan, mereka disarankan menggunakan sambungan selamat seperti rangkaian peribadi maya (VPN), mengaktifkan pengesahan berbilang faktor jika tersedia dan mengehadkan akses kepada kakitangan yang diberi kebenaran serta penyedia khidmat yang dipercayai.

Selain itu, pertubuhan perlu mengemas kini dan melindungi sistem serta peranti teknologi operasi mereka, mengasingkan rangkaian bagi mengurangkan risiko serangan merebak dan memperkukuhkan pemantauan keselamatan.

Mereka juga perlu meningkatkan pemantauan operasi serta menyediakan pelan tindakan sekiranya berlaku serangan siber.

CSA turut menasihatkan pertubuhan supaya menyemak peralatan yang sudah mencapai penghujung tempoh penggunaannya atau tidak lagi menerima sokongan daripada pengeluar.

Langkah perlindungan tambahan atau rancangan menggantikan peralatan tersebut perlu disediakan.

Pelan tindak balas terhadap serangan juga perlu membolehkan sistem yang terjejas diasingkan dengan selamat dan dikembalikan kepada kawalan setempat atau manual, jika boleh, sambil memastikan operasi penting dapat diteruskan.

Nasihat itu dikeluarkan menyusuli beberapa serangan siber terhadap sistem penyejukan komersial di pasar raya seluruh Eropah, yang mendapat kecaman Kesatuan Eropah (EU) dan mencetuskan amaran daripada Amerika Syarikat.

Serangan pada 12 Oktober menjejas sistem penyejukan di ratusan pasar raya di Perancis, menyebabkan peruncit terpaksa membuang makanan selepas suhu peti sejuk diubah.

Pada Isnin pula, kedai runcit di Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden turut terjejas akibat serangan siber yang disyaki menyasarkan sistem penyejukan.

Seorang pegawai kanan EU menyifatkan kejadian tersebut sebagai cubaan yang disengajakan untuk mengganggu rantaian bekalan makanan.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Pada Khamis, Amerika Syarikat memberi amaran bahawa pihak yang tidak dikenal pasti sedang mengeksploitasi kelemahan keselamatan pada alat kawalan suhu elektronik dan sistem penyejukan komersial yang boleh diakses melalui internet.

Peralatan tersebut digunakan di kedai runcit dan kemudahan penyimpanan sejuk.

Sementara itu, peti sejuk di tiga bank darah serantau di Perancis turut terjejas dalam serangan siber yang berlaku antara malam Ahad hingga awal Isnin.

Bagaimanapun, bekalan darah tidak terjejas.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita