Skip to main content

Singapura

CPIB siasat syarikat kejuruteraan marin Seatrium atas dakwaan rasuah di Brazil

Anggaran Waktu Membaca:
CPIB siasat syarikat kejuruteraan marin Seatrium atas dakwaan rasuah di Brazil

Seatrium ditubuhkan menyusuli gabungan Sembcorp Marine dan Keppel Offshore & Marine (KOM) pada awal 2023. (Gambar: seatriumltd/Instagram)

SINGAPURA: Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Rabu (31 Mei) menyatakan, ia melancarkan siasatan ke atas sebuah syarikat kejuruteraan marin, Seatrium. 

Seatrium ditubuhkan menyusuli gabungan dua syarikat utama marin dan luar pesisir - Sembcorp Marine dan Keppel Offshore & Marine (KOM) - awal tahun ini. 

"CPIB mengambil tindakan ekoran maklumat yang diterima dan melancarkan siasatan ke atas Seatrium Limited dan beberapa individu dari Seatrium Limited atas dakwaan kesalahan rasuah yang berlaku di Brazil," menurut CPIB. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang sama ada kesalahan oleh Seatrium itu berkaitan dengan kes rasuah bernilai beberapa juta dolar melibatkan bekas kakitangan KOM dan syarikat gergasi minyak Brazil, Petrobas, CPIB enggan memberi sebarang komen. 

"Memandangkan siasatan sedang dijalankan, CPIB tidak boleh memberi maklumat lanjut pada waktu ini," menurut biro tersebut. 

Pada Januari, enam bekas kakitangan pengurusan kanan KOM diberi amaran tegas oleh CPIB disebabkan kes Petrobas. 

Amaran itu dikeluarkan sebagai ganti pendakwaan bagi kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Kesalahan itu berkaitan bayaran rasuah kepada para pegawai Petrobas, berhubung kontrak membina pelantar minyak yang diberikan oleh Petrobas atau syarikat-syarikat berkaitan kepada KOM. 

Enam bekas kakitangan itu tidak didakwa atas kes rasuah bernilai beberapa juta dolar kerana bukti tidak mencukupi untuk mendapati mereka bersalah, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah di Parlimen pada 6 Februari. 

Dalam kenyataannya pada Rabu, CPIB menyatakan, ia "tidak gentar menjalankan siasatannya" dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita