CPIB: Pengarah syarikat mengaku beri S$20,000 kepada bekas GM AMKTC
Pada awalnya nafi memberi sebarang wang tunai kepada Pengurus Besar Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC) Victor Wong Chee Meng, pengarah syarikat Omar Chia Sin Lan "berfikir panjang" tentang hal itu.
Bekas pengurus besar AMKTC, Wong Chee Meng. (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)
SINGAPURA: Pada awalnya nafi memberi sebarang wang tunai kepada Pengurus Besar Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC) Victor Wong Chee Meng, pengarah syarikat Omar Chia Sin Lan "berfikir panjang" tentang hal itu dan membuat pengakuan dalam satu lagi keterangan kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) bahawa dia memberi S$20,000 kepada Wong.
Ini didedahkan pada hari kedua perbicaraan yang dijangka berlangsung selama 39 hari terhadap kes sogok melibatkan Wong, 58 tahun, dan Chia, 63. Wong dituduh menerima "ganjaran secara berterusan" selama lebih dua tahun dari Chia, yang merupakan seorang pengarah dan pemegang saham besar syarikat 19-ANC Enterprise dan 19-NS2 Enterprise.
Dua syarikat itu dianugerahi tender dan kontrak-kontrak oleh AMKTC bernnnnilai beberapa juta dolar. Wong dituduh menerima rasuah daripada Chia dari Disember 2014 hingga September 2016.
Sebagai pengurus besar AMKTC, Wong mempunyai "kuasa dan kebolehan untuk menentukan siapa yang bakal ditawarkan projek-projek AMKTC", menurut pendakwaan sebelum ini. Dia diharapkan "bertindak atas prinsip-prinsip yang betul kerana tugasnya melibatkan pentadbiran dana awam".
Pada Rabu (26 Sep), dua pegawai CPIB memberi keterangan. Salah satu daripada mereka, Penyiasat Khas Kanan, Keith Peh Wan Hao memberitahu mahkamah tentang apa yang dinyatakan Chia dalam keteranganya.
Chia menubuhkan 19-ANC pada 1994 bersama adiknya. Chia mendapat inspirasi bagi nama syarikatnya daripada nama sebuah kelab malam yang terletak pada tingkat 19.
19-ANC digunakan untuk membida tender bagi projek-projek, sementara 19-NS2 diberi subkontrak bagi memudahkan usaha mendapatkan projek-projek lebih besar dengan skop lebih luas.
Mahkamah diberitahu Chia membawa pulang sekitar S$10,000 setiap bulan dengan 19-ANC dan sekitar S$5,000 dengan 19-NS2. Dia tidak memperolehi sebarang gaji dari syarikat ketiga di mana dia bertugas sebagai seorang pengarah.
Klien utama 19-ANC dan 19-NS2 adalah majlis-majlis bandaran termasuk Ang Mo Kio, Tampines, Yuhua dan Bedok, dan dua syarikat itu menjalankan kerja-kerja pembaikan.
Hasil tahunan bagi kedua-dua syarikat itu masing-masing sekitar S$10 juta dan S$13 juta. Mereka membida tender bagi projek-projek yang diiklankan di akhbar dan kadangkala menerima undangan untuk menyerahkan sebut harga bagi projek-projek tersebut.
Tentang hubungannya dengan Wong, Chia menyatakan dalam keterangannya: "Kami setakat berkawan saja. Saya mengenalinya sejak 2005 hingga 2007. Dia bekerja di Majlis Bandaran Marine Parade ketika itu."
Wong menjadi pengurus besar AMKTC pada 2016 dan membawa pulang S$10,550 setiap bulan.
Chia menyatakan dalam keterangan awalnya kepada CPIB bahawa dia melancong ke China bersama Wong sebanyak dua kali. Mereka ke negara itu untuk bertemu dengan pembekal tong-tong bakar colok.
Mahkamah diberitahu tentang dua resit, salah satunya memberi perincian tentang 1,500 tong bakar colok yang dijual kepada Majlis Bandaran Tampines dalam tempoh dua tahun, pada harga S$259 setiap satu.
Ini diberikan melalui proses tender di mana syarikat Chia memberi tawaran harga paling rendah.
Satu lagi invois adalah bagi 270 tong bakar colok yang dibekalkan kepada AMKTC pada harga S$180 setiap satu, projek yang diberikan melalui Pelawaan untuk Tawaran (ITQ).
Dalam keterangan pertamanya kepada CPIB, Chia mengatakan bahawa dia dan Wong membayar kos penerbangan dang penginapan masing-masing semasa berkunjung ke China. Mereka bergilir-gilir untuk membayar bil makan minum, katanya.
Dia juga sering berkaraoke dan ke kelab-kelab malam dengan Wong. Bagi kegiatan ini pula, mereka bergilir-gilir membayar bil minuman dan masing-masing memberikan tip, menurutnya dalam keterangan awalnya.
Perbelanjaan bagi lawatan-lawatan itu mencecah kos antara beberapa ratus dolar hingga lebih S$2,000, dan Chia tidak mengajak sebarang pengurus besar majlis bandaran lain untuk berhibur.
Ketika ditanya mengapa begitu, Chia berkata: "Saya mengenali Victor buat masa yang lama. Saya tidak mengenali pengurus besar majlis bandaran yang lain."
Dia menjawab "tidak" ketika ditanya jika dia memberi sebarang bentuk hadiah atau wang tunai kepada Wong, atau membayar bil-bil kelab malam, sebagai ganjaran.
Dia juga menyatakan bahawa dia tidak tahu bahawa kereta Toyota Altis dijual kepada Wong pada harga lebih murah. Wong dipercayai menjual kereta itu dengan menawarkan diskaun sebanyak S$13,500 oleh Alisa Yip Fong Yin, seorang pengarah projek di 19-ANC dan pengarah serta pemegang saham 19-NS2.
Sehari selepas memberi keterangan kepada CPIB, Chia membuat permohonan untuk merubah kenyataannya.
CHIA AKUI BERI WANG, BANTU WONG DALAM KETERANGAN BARU
Menurut penyiasat CPIB Keith Peh, Chia sebelumnya berkata: "Selepas berfikir panjang tentang keluarga saya sejak semalam, saya ingin memberitahu pegawai yang mengambil keterangan saya bahawa saya sebelumnya tidak bersikap jujur."
Dia kemudian membuat pembetulan tentang apa yang dinyatakan sebelum tentang Wong dan dirinya yang bergilir-gilir membuat bayaran bagi makan minum di China.
"Ini tidak tepat. Bayaran untuk makan minum, hiburan... ditanggung oleh saya," katanya. "Saya menyatakan bahawa saya tidak memberi teman wanita Victor sebarang wang. Saya mengaku ini tidak benar. Pada 2015, saya memberi S$20,000 kepada Victor supaya dia boleh menggunakannya untuk kerja ubah suai bagi teman wanitanya di China."
Dia selanjutnya mengaku bahawa dia yang membantu Wong untuk mendapatkan pekerjaan bagi menantunya. Meskipun menantu Wong digajikan orang lain, dia membayar gaji bulanan sebanyak S$1,600, di samping pemegang saham 19-NS2 Tay Eng Chuan.
Dia menambah, satu kad kredit milik Tay juga digunakan untuk membuat bayaran ketika mengajak Wong untuk "berhibur".
Dalam keterangannya yang terkini, Chia berkata: "Saya ingin menjelaskan bahawa saya sudah berfikir panjang pada malam sebelumnya. Saya ingin bertanggungjawab atas tindakan saya. Saya harap pihak berkuasa akan lebih memahami. Saya seharusnya bekerjasama dengan CPIB, dan berfikir akan berdepan dengan masalah dengan pihak berkuasa jika saya memberitahu mereka saya sudah memberikan S$20,000 kepada teman wanita Victor."
Dia juga mendedahkan bahawa dia sering berkaraoke dengan Wong. Mereka akan berhibur di Balestier, Jalan Sultan dan Newton Circle di mana Wong membelanjakan wang yang banyak.
Wong tidak membuat sebarang bayaran, kata Chia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.