CPIB: Jumlah kes rasuah 'kekal rendah' di S'pura
Jumlah kes rasuah di Singapura kekal rendah pada tahun lalu. Malah, jumlah aduan yang diterima dan kes-kes yang didaftarkan untuk siasatan merosot. Demikian menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) hari ini (11 Apr).

(Gambar: Kane Benjamin Cunico)
SINGAPURA: Jumlah kes rasuah di Singapura kekal rendah pada tahun lalu. Malah, jumlah aduan yang diterima dan kes-kes yang didaftarkan untuk siasatan merosot. Demikian menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) hari ini (11 Apr).
CPIB menerima 368 aduan berkaitan rasuah pada 2017 - 17.7 peratus lebih rendah berbanding 447 aduan yang diterima pada 2016. Aduan seperti ini akan diteliti oleh Jawatankuasa Penilaian Aduan dan 'jika maklumat yang diterima adalah sesuatu yang wajar', maka ia akan disiasat.
"Kesahihan dan jumlah maklumat yang diterima akan menentukan sama ada tindakan selanjutnya dapat dijalankan bagi kes itu. Kebanyakan kes tidak dapat diteruskan kerana maklumat yang diterima tidak mencukupi dan jelas atau tidak dapat dibuktikan," menurut CPIB.
Pada 2017, jumlah kes di mana siasatan lanjut dijalankan jatuh dari 118 pada 2016 kepada 103 pada 2017 iaitu yang "paling rendah sejauh ini".
Menurut pihak berkuasa, sebilangan besar aduan yang diterima dilakukan melalui e-Aduan di laman CPIB. Maklum balas melalui wadah ini naik 8 peratus dari 34 peratus pada 2016, di mana sebahagian besar aduan diterima melalui kiriman emel atau faks.
Bagaimanapun, CPIB menyatakan bahawa kaedah yang paling berkesan adalah apabila seseorang itu datang sendiri ke pejabat untuk membuat aduan. 23 peratus kes yang disiasat seterusnya merupakan kes yang difailkan melalui kaedah ini.
Menurut CPIB lagi, "ia memandang serius terhadap semua aduan rasuah yang diterima" dan menggesa orang ramai supaya mengambil tindakan sekiranya mereka mengesyaki sebarang kegiatan rasuah. Ia juga memberi panduan tentang jenis maklumat yang diperlukan untuk membuat aduan terhadap kegiatan rasuah seperti berikut:
- Di mana, bila dan bagaimana kegiatan rasuah berlaku?
- Siapa yang terlibat dan apakah peranan mereka?
- Bagaimana anda tahu tentang perkara ini?
- Mengapa anda berpendapat ia kegiatan rasuah?
- Apakah ganjaran yang ditawarkan dalam urus niaga itu?
- Adakah anda sudah melaporkan perkara ini kepada orang lain atau/dan pihak berkuasa?
Statistik menunjukkan kes sektor privet terus membentuk sebahagian besar kes rasuah, meskipun jumlahnya kekal rendah. Daripada kes-kes sebegini, 10 peratus melibatkan kakitangan sektor awam yang menolak sogokan daripada para individu dalam sektor privet.
CPIB menyatakan kebanyakan individu yang didakwa di mahkamah merupakan pekerja dalam sektor privet. Pada 2017, 141 individu didakwa di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan yang disiasat CPIB. 94 peratus daripadanya merupakan kakitangan sektor privet. Jumlah pegawai sektor privet yang didakwa melonjak 32 peratus kepada 132 berbanding 100 orang pada 2016.
Namun, pihak berkuasa menekankan bahawa kenaikan ini didorong jumlah kes yang melibatkan lebih daripada seorang suspek.
Ia juga menamakan tiga sektor yang "terus mencetuskan kebimbangan" - binaan, borong dan perniagaan runcit, serta pergudangan, pengangkutan dan khidmat logistik. CPIB turut menarik perhatian kepada kes-kes berprofil tinggi seperti kes rasuah Keppel Offshore and Marine (KOM).
"Kes KOM menekankan bahawa Singapura perlu kekal berwaspada dan mengambil tindakan tegas terhadap kes-kes rasuah yang dilakukan di luar negara meskipun jumlah kes rasuah kekal rendah di Singapura," menurut CPIB.
Jumlah kakitangan sektor awam yang didakwa kekal rendah dengan purata kurang 10 peratus sejak tiga tahun lalu, dengan hanya sembilan kes yang dicatatkan pada tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.