Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CPIB dapat pengarah baru pada Oktober

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) melantik seorang pengarah baru yang akan menggantikan Wong Hong Kuan, yang sudah berkhidmat sebagai pengarah sejak 2013.

Anggaran Waktu Membaca:
CPIB dapat pengarah baru pada Oktober

Encik Denis Tang yang bakal menyandang jawatan sebagai Pengarah CPIB. (Gambar: CPIB)

Diterbitkan : 21 Aug 2018 07:50PM Dikemas Kini : 21 Aug 2018 07:54PM

SINGAPURA: Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) melantik seorang pengarah baru yang akan menggantikan Wong Hong Kuan, yang sudah berkhidmat sebagai pengarah sejak 2013.

Denis Tang Siew Taeng, yang buat masa ini berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), bakal menyertai CPIB sebagai pengarahnya pada 17 September sebelum menyandang jawatan tersebut secara rasmi mulai 1 Oktober.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa (21 Ogos), Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan bahawa Presiden Halimah Yacob, yang bertindak mengikut budi bicaranya, bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk melantik Encik Tang sebagai pengarah CPIB.

Sejak menyertai ICA pada 2016, Encik Tang menerajui usaha-usaha bagi memperkukuhkan operasi keselamatan di sempadan Singapura serta meningkatkan keupayaan risikan ICA sedang negara ini terus berdepan dengan ancaman pengganasan, menurut PMO.

Beliau juga terlibat dalam pertukaran risikan yang dipertingkat dengan rakan-rakan kerja asing ICA bagi membanteras ancaman pengganasan dan jenayah rentas sempadan, tambah PMO.

Encik Wong pula, yang bakal melepaskan jawatan sebagai pengarah CPIB, mengukuhkan keupayaan operasi dan siasatan biro itu serta kawalan dalaman dan tadbir urus semasa tempoh perkhidmatannya.

"Di bawah kepimpinannya, biro itu mencapai kemajuan besar dalam mendampingi rakan-rakan luar dan melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi menggalak tadbir urus yang baik dan amalan perniagaan yang beretika dalam sektor privet," menurut kenyataan media itu.

Pencapaian Encik Wong termasuk menerajui kumpulan kerja kebangsaan yang terdiri daripada para wakil dari persatuan-persatuan perdagangan, badan-badan industri dan akademik bagi membangunkan piawai antarabangsa untuk sistem pengurusan antirasuah.

Beliau juga membangunkan Pusat Warisan dan Laporan Rasuah di Whitley Road bagi mendampingi orang awam untuk memerangi gejala rasuah serta memperkukuhkan kerjasama biro itu dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, tambah PMO.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan