COVID-19: Ziarah tahunan ke Pulau Kusu dihadkan kepada 500 orang sehari
Musim ziarah tahunan ke Pulau Kusu tahun ini akan dihadkan kepada 500 orang sehari untuk memudahkan pengurusan orang ramai di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Kuil Da Bo Gong (Tua Pek Kong) di Pulau Kusu (Gambar: SLA/Facebook)
SINGAPURA: Musim ziarah tahunan ke Pulau Kusu tahun ini akan dihadkan kepada 500 orang sehari untuk memudahkan pengurusan orang ramai di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Ziarah tahunan ke Pulau Kusu pada bulan kesembilan mengikut kalendar cina tahun ini bermula pada 17 Oktober dan tamat pada 14 November, menurut kenyataan media Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Rabu (23 Sep).
Setiap tahun semasa musim ini, puluhan ribu penganut akan menaiki feri dari Marina South ke Pulau Kusu.
Pulau tersebut menempatkan Kuil Da Bo Gong (Tua Pek Kong) yang popular serta tiga keramat.
Mereka yang ingin mengunjungi pulau itu semasa musim ziarah perlu mendaftar menerusi laman https://go.gov.sg/kps2020.
Pendaftaran dibuka mulai Isnin dan setiap pemohon boleh membuat tempahan untuk sehingga lima orang.
Mereka akan menerima emel pengesahan yang perlu ditunjukkan semasa membeli tiket feri dari kaunter Singapore Island Cruise & Ferry Services pada hari lawatan mereka.
Sehingga 50 penumpang dibenarkan setiap jam untuk berangkat bagi memudahkan pengurusan orang ramai.
Feri pertama akan berangkat dari Marina South Pier pada 7.00 pagi manakala feri terakhir berangkat dari Pulau Kusu pada 7.00 malam.
Pengunjung ke pulau itu perlu mendaftar masuk menerusi SafeEntry dan suhu badan mereka akan diperiksa sebelum menaiki feri.
Kapasiti bagi kuil dan makam masing-masing dihadkan setiap kali kepada 30 dan 15 orang.
Barisan orang ramai beratur panjang boleh dijangkakan akibat kapasiti terhad, menurut SLA.
"Oleh kerana hujung minggu merupakan waktu popular semasa musim ziarah Pulau Kusu, pengunjung dinasihatkan supaya melawat pulau itu pada hari biasa," menurut SLA, sambil menambah bahawa mereka yang kurang sihat patut duduk di rumah.
Penginapan semalaman serta membawa haiwan peliharaan tidak dibenarkan.
Pihak berkuasa menasihati orang ramai agar menaiki kenderaan awam untuk ke Marina South Pier.
Oleh kerana tempat meletak kenderaan terhad, pengunjung boleh menaiki Bas SBS Transit 400 ke Marina South Pier atau menaiki kereta api ke stesen MRT Marina South Pier, tambah SLA.
Bas ulang alik percuma disediakan antara tempat letak kenderaan Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay Singapura dengan Marina South Pier pada hujung minggu dan cuti umum kerana tempat letak kenderaan di Marina South Pier tidak akan dibuka pada hari-hari itu.
Semua khidmat feri biasa ke Pulau Sekijang Bendera (St John's Island) tidak akan membuat persinggahan di Pulau Kusu dalam perjalanan ulang alik ke Marina South Pier semasa tempoh musim ziarah tahunan itu. Feri dan bot privet tidak akan dibenarkan berlabuh di jeti-jeti Pulau Kusu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.