Skip to main content

Singapura

COVID-19: Wanita dan suaminya akan didakwa di bawah OSA kerana bocor kenyataan media mengenai penutupan sekolah

Seorang wanita berusia 38 tahun dan suaminya akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi pada Rabu (21 Apr) berkaitan pembocoran draf kenyataan media yang mengandungi maklumat tentang penutupan sekolah akibat COVID-19 semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan Singapura tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Wanita dan suaminya akan didakwa di bawah OSA kerana bocor kenyataan media mengenai penutupan sekolah

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 20 Apr 2021 10:01PM Dikemas Kini : 20 Apr 2021 10:02PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 38 tahun dan suaminya akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi pada Rabu (21 Apr) berkaitan pembocoran draf kenyataan media yang mengandungi maklumat tentang penutupan sekolah akibat COVID-19 semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan Singapura tahun lalu.

Wanita itu merupakan seorang pegawai perkhidmatan awam dan penerima kenyataan media yang sah ketika kesalahan itu berlaku, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.

Pada 3 Apr tahun lalu, polis menerima aduan bahawa satu draf kenyataan media bersama oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Pendidikan (MOE) dibocorkan kepada orang awam sebelum ia diumumkan secara rasmi.

Draf kenyataan itu mengandungi butiran pelaksanaan pembelajaran di rumah sepenuhnya oleh sekolah dan institut pengajian tinggi serta penutupan pusat-pusat prasekolah dan jagaan pelajar.

Siasatan mendedahkan bahawa wanita itu dipercayai memetik gambar kenyataan tersebut dari skrin komputernya lalu menghantar gambar itu kepada suaminya melalui WhatsApp pada kira-kira pukul 9.00 pagi, 3 April.

Suaminya bukan penerima dibenarkan bagi kenyataan media itu, menurut SPF. Dia didakwa berkongsi gambar itu bersama teman-temannya.

"Gambar itu kemudian menjadi umum sebelum maklumat tersebut diumumkan secara rasmi," menurut SPF.

Wanita itu juga didakwa mengambil gambar senarai khidmat penting yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh pemutus jangkitan dan menghantar gambar tersebut kepada suaminya atas permintaan lelaki itu.

Kedua-dua mereka akan didakwa atas kesalahan secara salah menyampaikan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Lelaki itu yang berusia 39 tahun, turut akan didakwa kerana bersubahat dalam kesalahan menyampaikan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Jika didapati bersalah menyampaikan maklumat secara salah di bawah Akta Rahsia Rasmi, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$2,000.

"16 lagi individu yang menerima maklumat itu tanpa kebenaran dan menyebarkannya akan dikenakan amaran bertulis kerana secara salah menyampaikan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi," menurut SPF.

"Para penerima yang tidak mendapat kebenaran seharusnya memadam mesej itu dan tidak menyebarkan sebarang maklumat rahsia yang diterima kerana mereka mungkin didakwa juga di bawah Akta Rahsia Rasmi," menurut polis.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita