COVID-19 tidak patahkan semangat berniaga keluarga ini; aiskrim air batu ikat buatan sendiri laris dijual!
Cik Fazrina Zainol boleh dikatakan memang jaguh bila bab berniaga. Sepanjang sedekad lalu, beliau menjual putu bambu di sebuah kedai di pusat beli-belah Junction Nine yang terletak di Yishun.
Cik Fazrina (paling kiri) bersama keluarga enggan biarkan COVID-19 mematahkan semangat mereka mencari pendapatan. (Gambar-gambar: Putu Bambu Warisan/Facebook)
SINGAPURA: Cik Fazrina Zainol boleh dikatakan memang jaguh bila bab berniaga. Sepanjang sedekad lalu, beliau menjual putu bambu di sebuah kedai di pusat beli-belah Junction Nine yang terletak di Yishun.
Ramai pasti tahu, putu bambu sukar dicari. Diperbuat daripada tepung beras, gula melaka dan kelapa, ia seakan-akan putu piring tetapi dikukus dalam buluh.
"Perniagaan kami rancak sehinggalah kami terpaksa tutup semasa 'circuit breaker'," katanya kepada Mediacorp.
Ini dihadapi Cik Fazrina pada saat beliau sedang mencari cara untuk menjana pendapatan tambahan kerana keluarga empat beranaknya "akan mendapat kunci rumah baru pada Disember".
Ketika itulah beliau terfikir untuk menjual air batu ikat yang sering kali disukai ramai.
"Jadi saya terfikir... mungkin kita boleh melakukan sesuatu yang berlainan," katanya.
JUAL 'AISKRIM' BERBENTUK AIR BATU IKAT
"Saya ingin menjual aiskrim tetapi dalam bungkusan air batu ikat. Suami saya tanya, 'Boleh ke?' Saya jawab, 'Cuba sahaja dan kita lihat'. Ini aiskrim, lebih sedap daripada air batu ikat."
(Gambar-gambar: Putu Bambu Warisan/FB)
Beliau menamakan hasil daya kreativitinya #IceCreamHipster.
Kalau air batu ikat biasanya dihasilkan dengan menggunakan "hanya air dan sirap", #IceCreamHipster Cik Fazrina dibuat sendiri "dari awal menggunakan susu" dan dibekukan dalam dapurnya sendiri.
Kesemuanya, ibu berusia 38 tahun itu menawarkan 58 perisa berbeza, yang dibahagikan kepada 5 siri.
ADA PERISA 'PREMIUM' & TRADISIONAL
Misalnya, ada siri Susu (S$2 setiap satu), yang mana ia diperbuat daripada "tiga jenis susu" - termasuk susu kental manis.
Ada juga siri 'premium' yang terilham daripada aiskrim-aiskrim Magnum. Ia mengandungi "empat jenis susu yang dijerang dalam periuk". Manisan yang turut disalut dengan coklat itu dijual pada harga S$2.50 setiap satu.
Ada siri perisa-perisa lebih 'wow' lagi, seperti McFlurry dengan biskut Oreo yang dihancur-hancurkan (S$3), Red Velvet ($2.50) dan Keju ($2.50) yang sarat diisi krim keju.
"Kebanyakan perisa kami bukan menggunakan ais. Anda tidak boleh membuatnya menjadi warna-warni dengan ais," terang Cik Fazrina.
Perisa Durian ($2)
Sungguhpun demikian, bagi memenuhi permintaan sesetengah pelanggan, Cik Fazrina juga menjual air batu ikat biasa, yang dipanggilnya 'Asam Boi' (S$1.50).
"Ia juga popular. Kami mendapat antara 50 hingga 60 tempahan bagi Asam Boi setiap minggu," katanya.
5,000 #ICECREAMHIPSTER TERJUAL DALAM 4 BULAN
Pada awalnya, Cik Fazrina hanya meminta bantuan anaknya, Nur Istania, 20 tahun, untuk membantunya. Namun, sejak Februari, perniagaan beliau begitu rancak - sekitar 5,000 batang dijual dalam tempoh empat bulan!
Sejak akhir Ramadan, penjualan putu bambu yang beliau teruskan dari rumah juga terpaksa beliau hentikan demi menumpukan perhatian menghasilkan manisan terbarunya itu.
Bayangkan, minggu pertama mengambil tempahan sahaja, Cik Fazrina mendapat 700 tempahan!
(Gambar-gambar: Fazrina Zainol/Facebook)
Suaminya, Encik Mohd Ridzan, 44 tahun, dan anak lelakinya, Muhd Ilhan Aziq, 18 tahun, akhirnya juga perlu 'turun padang'. Setiap anggota keluarga mempunyai tugas masing-masing - dari menyiapkan susu untuk aiskrim, sehinggalah mengisi setiap paket dan melakukan penghantaran.
Cik Fazrina percaya "ini cara baik" bagi semua untuk meraih sedikit wang sementara tidak dapat terus bekerja semasa 'circuit breaker'.
"Anak perempuan saya sudah selesai pengajian Higher Nitec dan mendapat pekerjaan tetapi dia tidak boleh mula bekerja buat masa ini. Anak lelaki saya juga baru tamat pengajian program Nitec."
Suaminya, seorang pemandu Grab, pula memutuskan untuk berhenti mengambil penumpang selepas pendapatannya merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kereta keluarga sebaliknya digunakan untuk melakukan penghantaran. Kos setiap penghantaran adalah S$10 (bagi setiap lokasi).
"Aiskrim ini tidak boleh dihantar dengan menaiki motosikal. Ia akan cair. Kami ada terlalu banyak tempat untuk melakukan penghantaran. Kadangkala 20 tempat," ujar Cik Fazrina.
BANTU MEREKA YANG MEMERLUKAN RAIH PENDAPATAN
Bagi memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan, Cik Fazrina kini bahkan mendapatkan khidmat "empat ejen, tiga daripadanya bekerja sepenuh masa".
Tugas ejen beliau adalah untuk mempromosikan penjualannya di Facebook, Instagram dan Carousell. Ini di samping mengambil tempahan. Komisyen diberikan kepada keempat-empat ejennya.
"Salah seorang daripada mereka, baru kematian suami. Beliau perlu menyara kehidupan empat anak. Bekerja dengan saya secara online, beliau dapat antara S$30 hingga S$50 sehari," kongsi Cik Fazrina.
Beliau menambah, dirinya sedang mencari lebih ramai 'ejen'.
Perisa Sakura Laici Soda ($2)
"Kami masih mengambil orang, terutama sekali mereka yang dibuang kerja. Keluarga saya ingin membantu seramai mungkin," katanya lagi kepada Mediacorp.
Sebaik sahaja keadaan di Singapura kembali seperti biasa, Cik Fazrina berhasrat membuka kedai.
"Kami tidak ada rancangan besar buat masa ini tetapi kami lihat dulu bagaimana nanti."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.