COVID-19: Semua stadium ditutup kerana orang ramai masih bersenam berkumpulan, kata Lawrence Wong
Dengan adanya warga Singapura yang masih melanggar peraturan jarak selamat dengan bersenam secara berkumpulan, pihak berkuasa akan menutup semua stadium, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengumumkan dalam sidang media pada Khamis (9 Apr).

(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Dengan adanya warga Singapura yang masih melanggar peraturan jarak selamat dengan bersenam secara berkumpulan, pihak berkuasa akan menutup semua stadium, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengumumkan dalam sidang media pada Khamis (9 Apr).
Beliau juga memberi amaran bahawa langkah-langkah "pemutus rantaian jangkitan" mungkin perlu diperketatkan lagi, agar penutupan tempat kerja tidak penting yang bermula pada Selasa "benar-benar berkesan, dan segala usaha dan pengorbanan benar-benar membuahkan hasil".
Encik Wong, yang mempengerusikan bersama pasukan bertindak pemerintah bagi menangani virus korona di negara ini, berkata Pemerintah sebelum ini membiarkan stadium terus dibuka kerana percaya orang ramai boleh bersenam "tanpa berkumpul".
"Tetapi kita masih melihat orang ramai bersenam secara berkumpulan. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menutup stadium sama sekali," katanya.
Pada Khamis, Singapura mencatatkan 287 jangkitan baru COVID-19, lonjakan terbesar dalam sehari, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,910.
JANGAN BERSENAM DI LUAR KEJIRANAN SENDIRI
Encik Wong menegaskan orang ramai masih boleh terus bersenam sendirian atau bersama keluarga mereka di kawasan kejiranan mereka, namun menggesa orang ramai supaya tidak keluar dari kawasan kejiranan mereka - seperti memandu ke taman yang jauh - dan mengurangkan perjalanan.
"Jangan bersenam, berlari-lari anak atau berbasikal secara berkumpulan. Mana-mana aktiviti sedemikian adalah satu kesalahan," katanya.
Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, juga pengerusi bersama pasukan bertindak itu, berkata: "Daripada bertanya sama ada anda boleh pergi ke taman yang jauh, lebih baik fikirkan sama ada anda perlu berbuat demikian."
Encik Wong berkata bahawa Pemerintah "tidak boleh menutup taman", tetapi boleh membataskan akses seberapa mungkin. "Jika bilangan (pengunjung) meningkat, kami akan halang semua orang masuk taman itu sama sekali."
Bagaimanapun, Encik Wong akur bahawa sekatan pergerakan lebih ketat menunjukkan "perbezaan yang jelas" dan ramai orang mematuhi langkah Pemerintah.
Namun beliau memberi amaran bahawa pihak berkuasa akan menguatkuasakan peraturan dengan tegas kerana sesetengah orang masih melanggarnya. Terdapat 2,500 pegawai penguat kuasa.
"Agensi penguatkuasaan akan melaksanakan semua peraturan ini secara serius," kata Encik Wong.
Beliau menambah: "Mari kita pastikan tiada lagi kelompok muncul di luar dan dalam masyarakat kita juga ... Kita semua perlu mainkan peranan masing-masing."
Ditanya bagaimana pihak berkuasa akan mengetatkan peraturan, Encik Wong berkata bahawa Pemerintah boleh mempertimbangkan untuk menutup lebih banyak premis dan menyekat lagi pergerakan orang ramai.
Pasar basah adalah tempat yang berpotensi berlakunya jangkitan, katanya, dan pihak berkuasa sedang mengawal pintu masuk dan keluar. Langkah-langkah "lebih drastik" mungkin diperlukan sekiranya keadaan menjadi tidak tidak lagi dapat bertahan, tegas beliau.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.