COVID-19: Sekolah rendah, menengah & maktab rendah beralih ke HBL penuh dari 19 Mei
Semua sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan Institut Millennia akan beralih sepenuhnya ke pembelajaran di rumah (HBL) mulai Rabu (19 Mei) hingga akhir penggal persekolahan pada 28 Mei sedang Singapura menyaksikan lonjakan dalam kes COVID-19.
SINGAPURA: Semua sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan Institut Millennia akan beralih sepenuhnya ke pembelajaran di rumah (HBL) mulai Rabu (19 Mei) hingga akhir penggal persekolahan pada 28 Mei sedang Singapura menyaksikan lonjakan dalam kes COVID-19.
Para pelajar dari sekolah pendidikan khas juga perlu beralih ke HBL.
Mengumumkan perkara itu pada Ahad (16 Mei), Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata pihak berkuasa faham bahawa beralih sepenuhnya ke pembelajaran di rumah (HBL) "mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah ibu bapa".
"Namun, kami mahu meyakinkan semua ibu bapa dan pelajar bahawa MOE (Kementerian Pendidikan) akan terus menghulurkan bantuan dan sokongan penuh kami kepada sekolah, guru dan ibu bapa yang memerlukan bantuan tambahan bagi membuat penyesuaian ini," kata beliau.
“Kami juga mahu melaksanakan langkah-langkah untuk terus mengurangkan gangguan kepada pembelajaran pelajar kita.'
Keputusan itu dibuat selepas beberapa pelajar sekolah rendah diuji positif COVID-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini dengan kebanyakan jangkitan itu dikaitkan dengan pusat-pusat tuisyen.
Di sidang media oleh pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Encik Chan menarik perhatian bahawa beberapa mutasi baru koronavirus itu "jauh lebih ganas" dan "nampaknya menyerang kanak-kanak yang lebih kecil".
Jenis virus B1617 kelihatan lebih menjejas kanak-kanak, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, sambil menukil Pengarah Perkhidmatan Perubatan kementerian itu, Kenneth Mak.
"Jadi anda akan perasan bahawa bagi sekolah-sekolah, respons sejauh ini berbeza berbanding dengan tahun lalu," tambah beliau.
Semasa cuti penggal sekolah Jun ini, sekolah-sekolah akan membenarkan kohort yang bakal tamat persekolahan untuk kembali ke sekolah dalam kumpulan kecil sekiranya perlu, menurut kenyataan media berasingan oleh MOE. Ia menambah peperiksaan pertengahan tahun bagi Bahasa Ibunda Peringkat GCE O dan A akan diteruskan seperti dirancangkan.
PRASEKOLAH AKAN TERUS DIBUKA
Prasekolah dan pusat jagaan pelajar akan terus dibuka untuk menyokong keluarga-keluarga yang memerlukan perkhidmatan itu, kata Encik Chan. Walaupun demikian, Encik Chan menggalak ibu bapa supaya membiarkan anak mereka duduk di rumah seberapa boleh memandangkan bekerja dari rumah (WFH) adalah aturan bekerja sekarang.
Institut pengajian tinggi (IHL) akan mengurangkan kehadiran di kampus dengan menukar lebih banyak kuliah ke pembelajaran online seberapa mungkin kecuali bagi sesi-sesi bertemu muka yang penting seperti sesi makmal, praktikal dan projek akhir tahun, kata Encik Chan.
Beliau menambah semua kelas tuisyen dan pengayaan berasaskan di pusat seharusnya mengalihkan kegiatan secara online sehingga akhir Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).
“Ini penting untuk mengurangkan pergaulan antara pelajar dari sekolah yang berbeza dan meningkatkan keselamat para pelajar kita," jelas MOE dalam kenyataan medianya.
Langkah-langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).
“Selanjutnya, kami harus berusaha berlandaskan anggapan bahawa dari semasa ke semasa, akan ada kes-kes yang muncul dalam masyarakat dan bahkan di sekolah-sekolah kami. Sejauh ini, kami tidak ada bukti muktamad tentang penularan di sekolah, namun kita tidak harus berpeluk tubuh," tekan Encik Chan.
“Memandang ke hadapan, kami akan memerlukan berbagai pilihan untuk dapat terus belajar dan hidup dalam dunia COVID."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.