COVID-19: Prosedur tukar anak kapal dipertingkat, kemudahan kuarantin baru untuk pelaut
Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Jumaat (28 Ogos) mengumumkan beberapa langkah bagi memudahkan proses anak kapal dan memastikan operasi pelabuhan yang selamat.

(Gambar: MPA)
SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Jumaat (28 Ogos) mengumumkan beberapa langkah bagi memudahkan proses anak kapal dan memastikan operasi pelabuhan yang selamat, termasuk memberi tempoh notis jangan keluar rumah yang lebih singkat untuk sebahagian pelaut dan membangunkan sebuah kemudahan menunggu dan kuarantin khas untuk anak kapal.
"Ini merupakan masa mencabar untuk para pelaut," kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MPA.
"Mereka bekerja keras untuk memastikan penghantaran barangan berjalan terus di seluruh dunia. Namun disebabkan oleh keprihatinan terhadap kesihatan dan keselamatan, ramai menghadapi kesulitan untuk berlabuh di pelabuhan dan menjalankan proses menukar anak kapal, dan ia menjejas teruk kebajikan mereka. Ia adalah sangat penting untuk semua pihak berkepentingan bersatu dalam memastikan operasi pelabuhan yang selamat dan penukaran anak kapal secara selamat," tambahnya.
NOTIS JANGAN KELUAR RUMAH LEBIH SINGKAT BAGI SEBAHAGIAN ANAK KAPAL
Secara am, kesemua anak kapal perlu menjalani notis jangan keluar rumah selama 14 hari di negara atau rantau asal mereka sebelum mereka tiba di Singapura.
Namun, sejajar dengan pendekatan pengurusan risiko yang diambil oleh pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 bagi para pelawat yang tiba di Singapura, para pelaut daripada negara atau daerah berisiko rendah tertentu sama ada tidak lagi perlu menjalani notis jangan keluar rumah atau menjalani notis lebih singkat selama tujuh hari sebelum berlepas ke Singapura.
Selain daripada peraturan notis jangan keluar rumah, jika seorang anak kapal itu sebelum ini didiagnos menghidap COVID-19, tarikh ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang pertama mestilah lebih 21 hari daripada tarikh berlepas dari negara asal mereka ke Singapura.
Hasil ujian COVID-19 anak kapal itu juga mesti negatif, dan diambil tidak lebih daripada 48 jam sebelum beliau berlepas ke Singapura. Beliau juga perlu mendapatkan pengesahan doktor di negara asalnya bahawa beliau sihat untuk melakukan perjalanan, tidak lebih daripada 24 jam sebelum jadual penerbangan.
Akhir sekali, anak kapal-anak kapal hanya boleh tiba di Singapura untuk menyertai kapal mereka tidak lebih daripada dua hari sebelum kapal itu dijadual berlepas dari Singapura, menurut MPA.
PELAUT PERLU TINGGAL DI ATAS KAPAL SELAMA DUA MINGGU SEBELUM TURUN
Bagi para pelaut yang akan meninggalkan kapal, mereka mestilah tidak ke darat dalam tempoh 14 hari sebelum turun daripada kapal. Sebelum meninggalkan kapal itu, kru itu juga perlu mendapatkan pengesahan daripada seorang doktor di Singapura bahawa beliau sihat untuk melakukan perjalanan, tidak lebih daripada 24 jam sebelum turun daripada kapal.
KEMUDAHAN MENUNGGU DAN KUARANTIN BARU DI TERMINAL TANJONG PAGAR
MPA juga menyatakan pada Jumaat bahawa mulai 1 Sep, sebuah pusat kemudahan anak kapal (CFC) akan dibangunkan di Terminal Tanjong Pagar bagi memudahkan lebih banyak penukaran anak kapal dengan cara yang dapat bertahan serta risiko kesihatan yang rendah terhadap orang ramai.
Tiga kemudahan terapung sedia ada di CFC akan ditetapkan sebagai kemudahan menunggu atau kuarantin. Ia akan menempatkan para pelaut yang sedang menunggu ketibaan kapal mereka untuk sehingga 48 jam dan sebuah kemudahan kuarantin untuk menempatkan mereka yang berhubung rapat dengan para pelaut yang diuji positif bagi COVID-19.
Sebuah pusat perubatan juga akan dibangunkan di pusat itu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.