COVID-19: Prince George’s Park Residences di NUS diubah jadi kemudahan pemulihan untuk pesakit semakin sembuh
Estet penginapan pelajar di Universiti Nasional Singapura (NUS), Prince George’s Park Residences, diubah menjadi apa yang dikenali sebagai "kemudahan pemulihan masyarakat" untuk menempatkan pesakit COVID-19 yang pulih daripada gejala teruk, menurut NUS pada Khamis (14 Mei).
Estet perumahan pelajar NUS, Prince George’s Park Residences, akan menjadi kemudahan untuk pesakit COVID-19 yang sudah hampir sembuh. (Gambar fail: Raj Nadarajan / TODAY)
SINGAPURA: Estet penginapan pelajar di Universiti Nasional Singapura (NUS), Prince George’s Park Residences, diubah menjadi apa yang dikenali sebagai "kemudahan pemulihan masyarakat" untuk menempatkan pesakit COVID-19 yang pulih daripada gejala teruk, menurut NUS pada Khamis (14 Mei).
Dalam satu emel kepada pelajar dan kakitangan, Presiden NUS Tan Eng Chye berkata estet itu akan diuruskan mengikut "protokol keselamatan dan keamanan ketat" untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat NUS di samping semua yang terlibat dalam mengendalikan kemudahan tersebut. Ia akan memulakan operasi mulai Isnin depan (18 Mei) sehingga satu tarikh pada Julai yang belum ditetapkan.
Prince George’s Park Residences dipercayai adalah kemudahan pemulihan masyarakat pertama yang disediakan di sebuah institut pengajian tinggi.
Mediacorp meminta Kementerian Pendidikan (MOE) mengesahkan sama ada ini adalah betul.
Menurut kertas soalan-soalan yang kerap ditanya (FAQ) dipautkan pada emel berkenaan, 28 blok merangkumi hampir 2,900 bilik di Prince George’s Park Residences akan digunakan.
Baki dua apartmen siswazah di kediaman itu akan terus menempatkan para penghuni manakala pasukan berasingan bakal dikerahkan ke blok-blok itu untuk menyediakan khidmat penyenggaraan dan keselamatan.
Semua cawangan makanan serta kedai serbaneka di Prince George’s Park Residences akan ditutup apabila kemudahan itu mula beroperasi. Satu bas ulang alik dalaman yang menyediakan khidmat bagi kediaman itu akan terus beroperasi seperti biasa.
Kertas FAQ itu juga menyatakan bilik serta premis sekeliling akan dibasmi kuman secara profesional sebelum Prince George’s Park Residences dibuka semula kepada penuntut.
Pada Januari, blok 5, 6, 7 dan 8 di Residence 2 Prince George’s Park Residences digunakan sebagai kemudahan kuarantin Pemerintah. Penghuni di blok-blok tersebut dipindahkan ke blok berhampiran, di Residence 1.
Blok-blok itu kini akan menjadi sebahagian daripada kemudahan pemulihan Prince George’s Park Residences,
Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pesakit COVID-19 yang masih dalam keadaan baik pada hari ke-14 setelah didiagnos dengan COVID-19 dan tidak memerlukan jagaan perubatan lanjut mungkin dipindahkan ke kemudahan-kemudahan pemulihan masyarakat.
Buat masa ini, enam kem tentera termasuk di Amoy Quee, Jurong dan Guillemard juga sudah diubah menjadi kemudahan pemulihan yang boleh menempatkan 5,300 pesakit COVID-19.
Pada 28 April, pihak berkuasa mengumumkan lebih 10,000 ruang katil akan disediakan di kemudahan pemulihan masyarakat menjelang hujung Jun.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.