COVID-19: Pemandu teksi, kereta sewa privet diizin hantar barang dapur bagi penuhi permintaan meningkat
Para pemandu teksi dan kereta sewa privet kini dibenarkan untuk membuat penghantaran barang runcit dan barang dapur serta makanan untuk memenuhi permintaan yang meningkat di tengah-tengah penularan COVID-19, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Ahad (29 Mac).
SINGAPURA: Para pemandu teksi dan kereta sewa privet kini dibenarkan untuk membuat penghantaran barang runcit dan barang dapur serta makanan untuk memenuhi permintaan yang meningkat di tengah-tengah penularan COVID-19, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Ahad (29 Mac).
Dalam catatan di Facebook, Encik Khaw berkata bahawa permintaan untuk penghantaran ke rumah semakin kian meningkat dan akan terus meningkat dalam masa beberapa minggu akan datang, sedang Pemerintah menggesa lebih ramai penduduk supaya bekerja dari rumah.
"Dengan langkah jarak selamat yang lebih ketat, bekerja dari rumah dan berkomunikasi melalui persidangan video, permintaan untuk penghantaran ke rumah, sama ada untuk makanan atau barang dapur, yang semakin meningkat," katanya.
"Saya difahamkan, semakin sukar untuk mendapatkan jadual penghantaran melalui pelbagai wadah runcit online.
"Kami juga menyaksikan kemerosotan pada kadar memenuhi tempahan penghantaran makanan online. Permintaan untuk penghantaran ke rumah dijangka akan meningkat pada minggu-minggu mendatang apabila kita menggesa lebih ramai orang bekerja dari rumah."
Buat masa ini terdapat percubaan terhad dengan syarikat kereta sewa Grab untuk membenarkan pemandunya turut menghantar barangan dan makanan, kata Encik Khaw.
"Kami prihatin terhadap khidmat sedemikian yang menjejas khidmat penumpang tradisional dan menyebabkan (kesesakan) lalu lintas. Namun ini adalah masa yang luar biasa, dengan permintaan yang berkurangan bagi teksi dan kereta sewa dan kurang kesesakan di jalan raya," jelas Encik Khaw.
"Oleh itu, kami memutuskan untuk memperluaskan percubaan Grab dan akan terus menawarkan pilihan ini untuk teksi dan pengendali kereta sewa (PHC) yang lain untuk membolehkan pemandu mereka mengambil bahagian dalam khidmat penghantaran seperti itu, jika mereka mahu. Ini juga akan menambah pendapatan mereka. "
Terdapat "kelonggaran sementara" pada peraturan khidmat teksi dan kereta sewa, kata menteri itu sambil menambah bahawa ini akan berkuat kuasa serta-merta dan diteruskan hingga akhir bulan Jun.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.