Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Pelajar pengajian luar negara terjejas COVID-19 ada pilihan menuntut di universiti tempatan: MOE

Para pelajar universiti luar negara yang terjejas oleh penularan global COVID-19 boleh mempertimbangkan untuk meneruskan pengajian mereka di universiti autonomi Singapura, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (6 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Pelajar pengajian luar negara terjejas COVID-19 ada pilihan menuntut di universiti tempatan: MOE

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Jul 2020 07:13PM Dikemas Kini : 06 Jul 2020 07:25PM

SINGAPURA: Para pelajar universiti luar negara yang terjejas oleh penularan global COVID-19 boleh mempertimbangkan untuk meneruskan pengajian mereka di universiti autonomi Singapura, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (6 Jul).

MOE sedang bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan untuk membantu pelajar yang terjejas. Ini termasuk yang baru tamat sekolah, pemohon yang merancang untuk tukar sekolah dan mereka yang memilih untuk tunggu dahulu sebelum meneruskan pengajian di luar negara, kata MOE dalam satu kenyataan media.

Bagi pelajar yang baru tamat sekolah dan merancang untuk belajar di luar negara namun kini mahu mendaftar diri di universiti tempatan, tempoh pendaftaran bagi universiti autonomi dilanjutkan selama dua bulan dari Mac hingga pertengahan Mei, menurut MOE.

Lebih banyak tempat juga diperuntukkan bagi tahun akademik yang bermula pada 2020.

"Sekitar 2,000 lagi tempat ditawarkan tahun ini oleh universiti-universiti autonomi bagi pelbagai kursus. MOE menyatakan piawai permohonan dikekalkan memandangkan mutu pemohon lebih tinggi tahun ini.

MOE menyatakan ia menjangkakan kadar kemasukan kohort universiti autonomi tahun ini akan meningkat sebanyak dua peratusan mata daripada 40 peratus yang dirancangkan sebelum ini.

Singapura mempunyai enam universiti autonomi iaitu: Universiti Teknologi Nanyang, Universiti Nasional Singapura, Institut Teknologi Singapura, Universiti Pengurusan Singapura, Universiti Sains Sosial Singapura dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura.

TUKAR DAN TERUSKAN PENGAJIAN

Pelajar Singapura yang sedang menuntut di universiti luar negara tetapi kini mahu tukar dan belajar di Singapura boleh menulis langsung kepada pejabat kemasukan di keenam-enam universiti, menurut MOE.

Setiap permohonan itu akan dinilai termasuk sama ada kredit dari universiti lama mereka dapat dipindahkan.

"Universiti-universiti autonomi bersedia untuk mengambil seramai mungkin kes demikian yang dapat ditampung - termasuk bagi kursus seperti perubatan tertakluk kepada pemohon memenuhi kriteria kemasukan," menurut kementerian tersebut.

MOE menambah universiti di sini menerima "sejumlah kecil" permohonan pelajar sedemikian.

Bagi pelajar yang sudah mendapat tempat di universiti luar negara dan mahu tunggu dulu sebelum meneruskan pengajian di luar negara, mereka mempunyai pilihan untuk mengikuti kursus modular Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) yang ditawarkan oleh universiti-universiti tempatan, tambah MOE.

Ini termasuk kursus-kursus di bawah Siri SkillsFuture, iaitu kursus pendek dan berkaitan dengan industri dalam lapan bidang baru seperti analitik data, kewangan, khidmat teknologi, media digital, keselamatan siber, keusahawanan, pembuatan maju dan huraian bandar.

Selain itu, mereka juga boleh berdaftar untuk meneruskan pengajian di universiti tempatan untuk satu semester, namun perlu membincangkan dengan universiti mereka jika kredit yang diperolehi boleh dipindahkan, kata MOE lagi.

"MOE berharap langkah-langkah ini akan menawarkan pilihan berguna untuk pelajar yang sedang meninjau semula rancangan mereka untuk meneruskan pengajian di luar negara disebabkan oleh COVID-19."

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa