Skip to main content

Singapura

COVID-19: Pekerja binaan yang tidak tinggal di dormitori perlu jalani ujian swab kendiri

SINGAPURA: Pekerja binaan yang belum divaksinasi dan tidak tinggal di dormitori akan dikehendaki melakukan ujian swab sendiri atau membantu satu sama lain setiap tiga hari sebagai langkah tambahan bagi membendung penularan COVID-19 di tapak kerja.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Jun 2021 05:25PM Dikemas Kini : 02 Jun 2021 10:39AM

SINGAPURA: Pekerja binaan yang belum divaksinasi dan tidak tinggal di dormitori akan dikehendaki melakukan ujian swab sendiri atau membantu satu sama lain setiap tiga hari sebagai langkah tambahan bagi membendung penularan COVID-19 di tapak kerja.

Aturan ini tambahan kepada ujian rutin berjadual setiap tujuh atau 14 hari yang harus mereka jalani.

Rejim ujian baru itu akan bermula sebagai inisiatif perintis di tapak-tapak kerja tertentu, menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dalam surat pekeliling pada Isnin (31 Mei).

Pekerja yang sudah divaksin tidak perlu duji secara lebih kerap, namun mereka perlu menjalani satu lagi ujian swab tambahan di samping rejim ujian yang sedia ada, kata penguasa itu.

Pesuruhjaya kawalan binaan di BCA, Encik Chew Keat Chuan, dalam surat pekeliling itu berkata lebih banyak tapak kerja akan disertakan dalam program itu secara betahap-tahap apabila pihak berkuasa meningkatkan bekalan alat ujian pantas antigen (ART).

"Kami akan memberi lebih banyak butiran tentang keperluan ujian pantas antigen dan pelaksanaannya kelak, termasuk latihan dan persediaan yang diperlukan," tambah beliau.

Sepanjang tempoh perintis itu, setiap majikan akan melantik pegawai terlatih sebagai penyelia untuk memastikan kawalan pencegahan jangkitan yang betul, pematuhan kepada langkah-langkah pengurusan selamat dan penggunaan kit ujian dengan betul, kata beliau.

Sebahagian tapak kerja akan melantik dan melatih pegawai tertentu untuk menjalankan ujian swab ke atas rakan-rakan kerja.

Selain melaksanakan ujian pantas antigen di tapak-tapak kerja, syarikat-syarikat juga harus menyemak semula tempat tinggal pekerja mereka jika perlu, dan mengasingkan mereka seberapa mungkin sebagai langkah tambahan untuk mengurangkan risiko penularan, kata Encik Chew.

Beliau juga menggesa kontraktor yang ingin mencari penginapan baru untuk pekerja mereka di dormitori agar merujuk kepada senarai dormitori dibina khas di lelaman Kementerian Tenaga Manusia.

Sambil menekankan kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat, Encik Chew berkata firma-firma digalak mengurangkan perlunya pegawai turun ke tapak kerja selain mengutamakan akses bagi kegiatan kerja utama.

"Dengan situasi COVID-19 yang berubah-ubah, kami menggesa syarikat agar kekal berdaya bingkas dalam menyesuaikan dan melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat yang dipertingkat serta langkah kawalan untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam tenaga kerja binaan," kata beliau.

"BCA akan terus bekerja rapat dengan sektor ini untuk mengelakkan gangguan kepada projek dan kerja binaan, dengan memastikan langkah-langkah pengurusan selamat berkesan dan mempertingkatkannya jika perlu."

Sumber : Today/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita