Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: MUIS agih sokongan khas S$500,000 kepada 6 madrasah sepenuh masa

Agihan sekali sahaja itu bagi menyokong program pelajar madrasah, yang mana usaha mengumpul dana terjejas akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Dec 2020 04:31PM Dikemas Kini : 28 Dec 2020 10:15PM

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengagihkan bantuan khas COVID-19 berjumlah S$500,000 kepada enam madrasah sepenuh masa.

Agihan sekali sahaja itu bagi menyokong program pelajar madrasah, yang mana usaha mengumpul dana terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ia dijangka memanfaatkan sekitar 3,500 pelajar madrasah, menurut Muis dalam satu kenyataan media hari ini (28 Dis).

Muis menambah, sebagai sekolah swasta, madrasah bergantung pada sokongan dana masyarakat.

Ini termasuk melalui yuran sekolah dan sumber lain seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), Baitulmal, Zakat, Dana Madrasah, Wakaf Ilmu dan dana pemerintah.

Disebabkan COVID-19, usaha mengumpul dana secara fizikal terpaksa ditangguh atau dibatalkan.

Langkah jarak selamat yang dikuat kuasakan juga membuatkannya lebih sukar bagi penderma untuk datang secara fizikal untuk membuat sumbangan kepada madrasah, kata kenyataan Muis itu lagi.

Madrasah Irsyad Zuhri Al Islamiah menerima peruntukan terbesar sebanyak S$167,649 disusuli Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah (S$96,240), Madrasah Aljunied Al-Islamiah (S$76,459), Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (S$74,916), Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (S$43,490) dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah (S$41,246).

Peruntukan dana berdasarkan jumlah pelajar madrasah masing-masing.

Ketua Eksekutif Muis Encik Esa Masood berkata: "Sebagai institusi utama masyarakat Islam di Singapura, para pemimpin madrasah, asatizah dan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan baik kepada situasi mencabar ini sepanjang tahun dan berjaya meneruskan prestasti baik mereka.

"Pengagihan ini mencerminkan sokongan berterusan Muis kepada madrasah-madrasah kita. Kami menggesa masyarakat supaya bersatu dan terus menyokong madrasah kita supaya mereka dapat meneruskan kerja penting dalam memupuk generasi asatizah seterusnya dalam membimbing masyarakat kita."

OurMadrasah.sg BERJAYA KUMPUL S$50,000

Dalam pada itu, laman ourmadrasah.sg yang dilancarkan pada 4 Dis berjaya mengumpulkan S$50,000.

Laman itu membolehkan orang ramai menderma kepada semua enam madrasah sepenuh masa di Singapura melalui laman web tunggal.

"Muis ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tampil ke depan untuk menyumbang dan kami mengalu-alukan masyarakat untuk terus menyokong madrasah-madrasah kita pada tahun akademik akan datang," tambah MUIS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa