Skip to main content

Singapura

COVID-19: Mengapa 3 kes kematian akibat sakit jantung tidak diambil kira dalam angka rasmi

Pesakit COVID-19 yang meninggal dunia akibat masalah jantung dan bukan kerana virus korona tidak diambil kira dalam perangkaan korban rasmi "selaras dengan amalan antarabangsa", jelas Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Mengapa 3 kes kematian akibat sakit jantung tidak diambil kira dalam angka rasmi

Gambar fail Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (Gambar: Rauf Khan)

Diterbitkan : 11 May 2020 12:28PM Dikemas Kini : 11 May 2020 12:34PM

SINGAPURA: Pesakit COVID-19 yang meninggal dunia akibat masalah jantung dan bukan kerana virus korona tidak diambil kira dalam perangkaan korban rasmi "selaras dengan amalan antarabangsa", jelas Kementerian Kesihatan (MOH).

Tiga kes yang disahkan postif COVID-19 meninggal dunia kerana masalah jantung dan bukan virus korona sejak awal April. Penyebab kematian mereka termasuk penyakit jantung iskemia dan serangan jantung, dan kematian mereka tidak termasuk dalam angka korban rasmi 20 orang.

Terdapat laporan perubatan yang mengaitkan COVID-19 dengan masalah jantung.

MOH sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp menyatakan bahawa ia melaporkan semua kematian pesakit yang dijangkiti COVID-19.

"Namun, kami mengambil kira kes-kes yang ditentukan oleh doktor atau ahli patologi disebabkan oleh jangkitan COVID-19 sebagai punca utamanya," jelas kementerian kesihatan.

"Ini adalah amalan tetap kami, bagi kedua-dua warga Singapura dan warga asing di Singapura. Ini selaras dengan amalan antarabangsa untuk mengklasifikasikan kematian."

Pengarah perkhidmatan perubatan MOH Kenneth Mak memberitahu wartawan pada Jumaat (8 Mei) bahawa pendekatan kementerian itu adalah untuk mendapat kepastian sama ada kematian itu "secara langsung disebabkan oleh jangkitan COVID-19 atau komplikasi berkaitan dengan jangkitan COVID-19".

Kementerian akan melaporkannya sedemikian jika kematian mereka berkaitan dengan virus korona, katanya.

"Kami telus dalam mengumumkan dan melaporkan semua kematian yang ada," tambah Prof Madya Mak.

"Walaupun kematian mereka bukan disebabkan oleh jangkitan COVID-19, ia masih akan dilaporkan, tetapi kami tidak semestinya menganggapnya sebagai kematian disebabkan COVID-19 kecuali jika kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa perubatan, sama ada doktor yang merawat pesakit atau koroner, jika ia dijadikan kes koroner.

"Sekiranya mereka memberitahu kami secara langsung bahawa ia adalah kematian yang disebabkan oleh 'jangkitan COVID-19', maka kami akan melaporkannya sebegitu."

MOH memberitahu Mediacorp bahawa 86 pekerja asing lelaki berumur antara 25 dengan 59 tahun meninggal dunia pada 2018 di Singapura akibat penyakit jantung.

TIGA KEMATIAN

Tiga kematian dalam kalangan pesakit COVID-19 tidak termasuk dalam angka korban rasmi kerana mereka meninggal dunia akibat masalah jantung.

Seorang rakyat India berusia 32 tahun, kes 1604, meninggal dunia di tempat kediamannya pada 8 April. Pemegang pas jangka panjang itu diuji untuk COVID-19 pada 7 April dan dinasihatkan untuk duduk di rumah, sementara menunggu keputusan. Hasil imbasan X-ray menunjukkan beliau tidak menghidap radang paru-paru.

Beliau disahkan menghidap COVID-19 setelah kematiannya, dengan MOH mengumumkan sehari kemudian bahawa sebab kematiannya adalah penyakit jantung iskemia dan "bukan komplikasi dari jangkitan COVID-19".

Seorang warga Bangladesh berusia 47 tahun, Kes 17410, meninggal pada 1 Mei. Beliau juga disahkan menghidap COVID-19 setelah kematiannya, lapor MOH pada 2 Mei.

Pada 3 Mei, kementerian kesihatan mendedahkan punca kematiannya adalah penyakit jantung iskemia.

Pada 5 Mei, seorang warga Bangladesh berusia 44 tahun - Kes 16370 - meninggal dunia akibat penginfarkan miokardium akut. Beliau dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat pada 29 April dan dirawat kerana serangan jantung, kata MOH.

Beliau diuji positif menghidap virus korona pada hari yang sama beliau dimasukkan ke hospital.

Penyakit jantung iskemia, juga dikenali sebagai penyakit arteri koronari, berlaku apabila saluran darah sempit dan tersekat. Ia boleh menyebabkan ketidakselesaan pada dada, sesak nafas dan rasa letih kerana aliran darah yang tidak mencukupi ke jantung.

Penyempitan ini berlaku apabila kolesterol dan lemak berlapis berkumpul di sepanjang lapisan pembuluh darah.

Apabila mana-mana daripada tiga arteri tiba-tiba tersumbat, serangan jantung berlaku. Menurut laman web SingHealth, ini mungkin berlaku kerana gumpalan darah tiba-tiba terbentuk di bahagian yang menyempit, atau plak yang berisi lemak pecah.

Penginfarkan miokardium akut adalah istilah perubatan bagi serangan jantung.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita