Skip to main content

Singapura

COVID-19: Lelaki didakwa berbohong 2 kali tentang sejarah perjalanan untuk masuk Mahkamah Tinggi

Seorang lelaki dituduh berbohong mengenai sejarah perjalanannya dalam dua insiden berasingan untuk memasuki Mahkamah Tinggi, yang membenarkan hanya sebilangan individu dan kes-kes tertentu saja untuk memasuki bangunan tersebut semasa pandemik COVID-19 sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Lelaki didakwa berbohong 2 kali tentang sejarah perjalanan untuk masuk Mahkamah Tinggi

Kiri Manish Pravinchandra di mahkamah pada 13 Mei 2020. (Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 14 May 2020 07:15AM Dikemas Kini : 14 May 2020 07:19AM

SINGAPURA: Seorang lelaki dituduh berbohong mengenai sejarah perjalanannya dalam dua insiden berasingan untuk memasuki Mahkamah Tinggi, yang membenarkan hanya sebilangan individu dan kes-kes tertentu saja untuk memasuki bangunan tersebut semasa pandemik COVID-19 sekarang.

Warga Dominican Republic, Kiri Manish Pravinchandra, 47 tahun, didakwa pada Rabu (13 Mei) atas dua tuduhan memberikan keterangan palsu kepada seorang pegawai perkhidmatan awam.

Dia dituduh membohongi seorang pegawai polis tambahan yang bertugas di Mahkamah Tinggi pada 31 Mac.

Sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan COVID-19, semua pengunjung mahkamah mesti mengisytiharkan sejarah perjalanan mereka sepanjang tempoh 14 hari yang lalu.

Kiri mendakwa bahawa dia tidak melakukan perjalanan ke luar negara dalam tempoh dua minggu sebelum itu dan dia dibenarkan memasuki Mahkamah Tinggi untuk satu perbicaraan. Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak memberikan perincian mengenai perbicaraan tersebut.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kiri tiba di Singapura dari Amerika Syarikat pada 20 Mac.

Kiri pergi ke Mahkamah Tinggi sekali lagi pada 1 April dan memberitahu seorang lagi pegawai polis tambahan bahawa dia tidak melakukan perjalanan ke luar negara dalam tempoh 14 hari sebelum itu.

Dia sekali lagi dibenarkan memasuki Mahkamah Tinggi, tetapi pihak polis dimaklumkan pada lewat hari itu mengenai perisytiharan palsu itu.

Kiri akan dihadapkan ke mahkamah pada bulan depan.

Hukuman bagi kesalahan sengaja memberikan maklumat palsu kepada pegawai awam adalah hukuman penjara maksimum selama dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan, Kiri akan diusir dari Singapura setelah menjalani hukumannya dan diharamkan daripada memasuki Singapura, menurut ICA dan polis.

ICA dan SPF mengingatkan orang ramai supaya memandang serius terhadap semua pernyataan kesihatan dan perjalanan dan memberikan maklumat sebenar dan tepat.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita