Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Lebih banyak lagi doktor diperlukan untuk kendali telekonsultasi HRP

 Dengan kes baru COVID-19 terus menjulang - sudah mencecah lebih 5,300 kes semalam (27 Okt) - para penyedia khidmat teleperubatan menyatakan lebih banyak lagi doktor diperlukan untuk mengendalikan telekonsultasi bagi kes-kes Program Pemulihan Di Rumah atau HRP.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan kes baru COVID-19 terus menjulang - sudah mencecah lebih 5,300 kes semalam (27 Okt) - para penyedia khidmat teleperubatan menyatakan lebih banyak lagi doktor diperlukan untuk mengendalikan telekonsultasi bagi kes-kes Program Pemulihan Di Rumah atau HRP.

Namun bukan bilangan doktor sahaja menjadi cabarannya, ada sebilangan masalah lain perlu difahami bagi memastikan kelicinan sesi teleperubatan.

Sejak protokol HRP dipermudah lebih dua minggu lalu, hanya pesakit COVID-19 yang dianggap berisiko tinggi akan dihubungi doktor. Ini bermakna para doktor tidak lagi perlu menelefon setiap pesakit COVID-19.

Platform teleperubatan, MaNaDR, adalah antara sekitar 10 penyedia teleperubatan yang menawarkan khidmat 24 jam kepada pesakit COVID-19 yang menjalani Program Pemulihan Di Rumah (HRP).

Ia sejauh ini sudah mengendalikan lebih 12,000 sesi telekonsultasi dengan pesakit COVID-19 di bawah HRP.

"Jika anda di bawah HRP Asas, para doktor tidak akan menelefon anda. Kecuali keadaan anda bertambah teruk, barulah anda boleh minta berjumpa doktor.

"HRP Dipertingkat berlainan. Mereka akan mendapat panggilan dari doktor. Satu hingga dua kali dalam 10 hari. Mereka ini akan termasuk yang tidak divaksin, berusia 50 tahun ke atas atau dikenal pasti sebagai berisiko tinggi," menurut Dr Rachel Teoh, pengasas bersama MaNaDR.

KURANG DOKTOR BERPENGALAMAN DALAM TELEPERUBATAN

Walaupun ada sekitar 130 klinik GP yang menyertai telekonsultasi HRP, kekurangan doktor yang berpengalaman dalam mengendalikan teleperubatan masih menjadi satu cabaran, menurut Dr Teoh.

Para doktor katanya mesti lebih peka dan berhati-hati mengenai cara mereka berbual dengan pesakit semasa telekonsultasi. Tidak seperti kunjungan ke doktor keluarga atau GP yang mana pesakit sudah mengenali latar belakang doktor itu, pesakit yang menjalani telekonsultasi mungkin belum bersedia untuk ditanya soalan-soalan yang terlalu peribadi.

Sungguhpun demikian Dr Teoh berkata bahawa lebih ramai GP perlu menyertai program HRP itu kerana jika tidak "kami tidak akan dapat mengendalikan" kes-kes teleperubatan baru nanti.

"Pelibatan GP sememangnya penting untuk memastikan semua pesakit COVID di rumah mendapat rawatan yang cepat dan berkesan. GP sudah tahu dengan sejarah kesihatan pesakit mereka sendiri, ini menjadikan rawatan perubatan lebih berkesan," ujar Dr Teoh lagi.

CABARAN KENDALIKAN TELEPERUBATAN BAGI HRP

Bagi GP seperti Dr Faizal Wahid dari Klinik Asia First Medical pula, cabaran yang dihadapinya lebih kepada aspek teknikal.

Misalnya pesakit tiada termometer atau oksimeter dan tidak tahu menggunakannya. Ini mempunyai implikasi semasa membuat pemeriksaan menerusi telekonsultasi.

"Masalah juga untuk mengetahui mereka punya kadar jantung atau degupan jantung laju ke tidak, peratusan oksigen berapa, sama ada mereka ada demam. Demam mereka berapa tinggi," menurut Dr Faizal.

Malah disebabkan kebanyakan pesakit berusia 60 tahun ke atas, ramai di antara mereka tidak memahami atau biasa menggunakan aplikasi telekonsultasi dan muncul pula masalah mendapatkan keterangan yang baik daripada mereka menerusi video.

Namun demikian, Dr Faizal masih berpandangan bahawa lebih ramai doktor keluarga perlu menyertai HRP.

Semasa beliau mula menawarkan khidmat telekonsultasi ini, Dr Faizal mengendalikan 20 hingga 30 pesakit.

"Mulanya saya akan mendapat panggilan pesakit yang ingin mengetahui perkara-perkara yang bersifat pentadbiran seperti 'bagaimana saya boleh mendapatkan termometer', 'bagaimana saya boleh mendapatkan oksimeter'," kongsi beliau.

Bagaimanapun keadaan kini bertambah baik setelah orang ramai lebih memahami protokol HRP dan beliau kini mengendalikan antara 5 hingga 10 pesakit sehari menerusi telekonsultasi.

Satu sebabnya ialah pihak kementerian kini mengerahkan perkhidmatan 'health buddy' (teman kesihatan) yang membantu menghuraikan masalah-masalah bersifat pentadbiran itu dan membebaskan para doktor daripada panggilan kurang penting.

Berhubung penggunaan khidmat telekonsultasi bagi mereka yang menjalani HRP, Dr Faizal mempunyai satu lagi nasihat.

"HRP ini bukan khidmat kecemasan. Jadi kalau mereka mempunyai sakit dada, sesak nafas, mungkin mereka mula pengsan-pengsan atau tidak sedar diri, memanggil doktor telekonsultasi ini mungkin bukan sepatutnya mereka berikan kepada masa ketika itu. Mereka mesti memanggil 995," kata Dr Faizal.

Sehingga semalam (27 Okt), sekitar 21,000 pesakit sedang menjalani HRP. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan