Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Langkah tegas terpaksa diambil demi keselamatan, Menteri Masagos ajak masyarakat bekerjasama

Encik Masagos Zulkifi akur ramai "pasti kecewa dan hampa" oleh langkah COVID-19 yang diperketat, namun beliau menggesa orang ramai bekerjasama demi melindungi diri dan orang yang disayangi.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Langkah tegas terpaksa diambil demi keselamatan, Menteri Masagos ajak masyarakat bekerjasama

Jemaah yang tiba di Masjid Yusof Ishak untuk solat sunat Aidilfitri di tengah-tengah langkah selamat COVID-19 pada 13 Mei 2021 (Gambar fail: MUIS)

Diterbitkan : 14 May 2021 08:09PM Dikemas Kini : 14 May 2021 09:27PM

SINGAPURA: "Saya faham dan akur bahawa ramai pasti kecewa dan hampa atas langkah-langkah yang baru diperketatkan, lebih-lebih lagi kerana kita baru menyambut Hari Raya semalam", ujar Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam catatan di Facebook hari ini (14 Mei) selepas Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengumumkan sekatan-sekatan COVID-19 yang lebih ketat.

Menurut Encik Masagos, meskipun beliau faham ramai yang pasti kecewa dan hampa, langkah-langkah itu terpaksa diambil demi melindungi diri dan mereka yang tersayang.

"Berikutan kenaikan jumlah kes dalam masyarakat kebelakangan ini, terutama kes-kes yang tiada kaitan, kita harus cuba sedaya-upaya untuk memutuskan rantaian jangkitan," katanya.

MTF mengumumkan beberapa langkah baru yang lebih ketat siang tadi bagi membendung bilangan kes COVID-19 dalam masyarakat yang kian meningkat.

Berkuat kuasa 16 Mei hingga 13 Jun, perhimpunan sosial dihadkan kepada dua orang berbanding lima sebelum ini, dan menjamu selera di premis makanan tidak dibenarkan.

Kegiatan keagamaan bagi masyarakat Melayu/Islam turut terjejas.

"Masjid-masjid kita dan majlis-majlis perkahwinan juga terjejas. Solat berjemaah serta majlis pernikahan akan dihadkan kepada jumlah yang lebih kecil iaitu 50 orang sahaja tanpa ujian atau sehingga 100 orang dengan ujian sebelum acara," kata Encik Masagos.

Beliau menjelaskan lanjut: "Namun, majlis jamuan perkahwinan perlu dihentikan kerana kes-kes lalu telah menunjukkan bahawa COVID-19 merebak dengan cepat apabila kita tidak memakai pelitup seperti semasa makan dan minum bersama keluarga dan kawan-kawan."

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar terus bekerjasama dan duduk di rumah seberapa yang boleh.

"Ayuh kita terus mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri kita, orang-orang yang kita sayangi serta semua di Singapura. Saya yakin dengan kerjasama semua kita boleh mengharungi masa-masa mencabar ini," ujarnya.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan