COVID-19: Koufu uji penghadang di meja-meja pusat makanan Thomson Plaza
Meja-meja di pusat makanan Koufu di Thomson Plaza tidak lama lagi akan dipasang dengan penghadang perlindungan, sebagai sebahagian daripada percubaan menyediakan cara selamat untuk orang ramai menjamu selera di kedai-kedai makan semasa Fasa 2 tempoh pasca pemutus jangkitan COVID-19 Singapura.
(Gambar: ComfortDelGro)
SINGAPURA: Meja-meja di pusat makanan Koufu di Thomson Plaza tidak lama lagi akan dipasang dengan penghadang perlindungan, sebagai sebahagian daripada percubaan menyediakan cara selamat untuk orang ramai menjamu selera di kedai-kedai makan semasa Fasa 2 tempoh pasca pemutus rantaian jangkitan COVID-19 Singapura.
Pelindung akrilik setebal 3mm itu "boleh disesuaikan mengikut ukuran meja dalam bentuk dan saiz berbeza," menurut ComfortDelGro dalam kenyataan media pada Rabu (10 Jun).
Pelindung-pelindung serupa kini duji di dalam 400 teksi ComfortDelgo bagi mencegah penularan COVID-19.
Di bawah percubaan selama sebulan, 50 meja di pusat makanan Koufu di Thomson Plaza akan dipasang dengan pelindung-pelindung tersebut.
Bagi meja-meja segi empat, pelindung itu akan dipasang pada rangka aluminium dan dipacak pada bahagian tengah setiap meja.
"Pelindung itu tidak menyentuh permukaan meja supaya para pekerja pembersihan dapat mengelap permukaan meja tanpa perlu menanggalkannya," menurut ComfortDelGro.
Meja-meja bulat pula akan dipasang dengan tiga penghadang berasingan pada rangka aluminium berbentuk silinder bagi menyediakan perlindungan kepada setiap pengunjung.
Bahagian bawah setiap penghadang juga dibiarkan terbuka bagi memudahkan kerja pembersihan, menurut ComfortDelGro.
Moove Media, anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh ComfortDelGro, memiliki tanda dagangan bagi pelindung itu dan akan menaja pemasangan pelindung-pelindung itu di pusat makanan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Moove Media Jayne Kwek berkata syarikatnya meneliti bagaimana pelindung-pelindung yang dipasang dalam teksi boleh digunakan dalam sekitaran lain bagi membendung penularan COVID-19.
"Dalam perbincangan kami bersama Koufu, kami mula meneroka kemungkinan menguji cuba V-Shield pada meja-meja makan sebagai huraian untuk orang ramai makan dengan selesa dan secara selamat apabila mereka dibenarkan untuk menjamu selera di dalam kedai makan semasa Fasa 2 pembukaan semula," kata Cik Kwek.
Ketua Pegawai Eksekutif Koufu Choo Teck Chuan berkata percubaan itu akan membolehkan para pengendali kedai-kedai makan untuk "menilai keberkesanan pelindung itu dan mengatasi isu-isu operasi seperti penyenggaraan dan kebersihan."
Moove Media menyatakan jika pelindung-pelindung itu mendapat sambutan baik dari orang ramai semasa tempoh percubaan, ia akan bekerjasama dengan Koufu dan mungkin syarikat pengendali kedai-kedai makan yang lain untuk memasang pelindung-pelindung itu di lebih banyak meja.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.