Skip to main content

Singapura

COVID-19: Khidmat terhad di bangunan ICA; IPPT bagi NSmen HomeTeam digantung

Perkhidmatan kaunter fizikal di bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan dihadkan kepada janji temu serta khidmat sedia ada yang tidak boleh dilakukan secara online, umum Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Ahad (16 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Khidmat terhad di bangunan ICA; IPPT bagi NSmen HomeTeam digantung

Bangunan ICA. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 17 May 2021 12:25AM Dikemas Kini : 17 May 2021 12:26AM

SINGAPURA: Perkhidmatan kaunter fizikal di bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan dihadkan kepada janji temu serta khidmat sedia ada yang tidak boleh dilakukan secara online, umum Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Ahad (16 Mei).

Langkah ini sejajar dengan sekatan lebih ketat yang dilaksanakan ke atas seluruh negara dalam usaha membendung penularan COVID-19 ekoran peningkatan kes dalam masyarakat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pusat perkhidmatan di bangunan ICA akan beroperasi pada kapasiti yang dikurangkan sehingga akhir tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada 13 Jun, menurut MHA dalam satu kenyataan media.

"Orang ramai amat digalakkan untuk menggunakan e-Perkhidmatan ICA yang disediakan di MyICA," tambahnya.

Janji temu online harus dibuat bagi perkhidmatan kaunter seperti pendaftaran kerakyatan dan mengambil kad pengenalan atau pasport.

MHA juga menasihatkan orang awam supaya mengunjungi lelaman ICA bagi maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan secara online serta perkhidmatan terhad yang disediakan di kaunter fizikal.

Kaunter perkhidmatan di pusat polis kejiranan dan balai polis akan terus dibuka kepada mereka yang memerlukan bantuan mendesak.

Mereka juga boleh terus menghubungi talian 999 bagi kecemasan, tambah MHA.

“Bagi pertanyaan dan perkhidmatan tidak mendesak, orang ramai sangat digalakkan untuk mengakses e-perkhidmatan Pasukan Polis Singapura (SPF)," menurut MHA.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah boleh menyerahkan maklument menerusi i-Witness."

IPPT DIGANTUNG, LATIHAN KRITIKAL DITERUSKAN

MHA menyatakan latihan dalam kem bagi anggota kerahan(NSmen) akan diteruskan kerana mereka terus menyediakan dan menyokong perkhidmatan penting.

Bagaimanapun, semua kegiatan bagi Ujian Kecekapan Fizikal Individu (IPPT), Latihan Kesediaan IPPT, Latihan Tambahan dan Latihan Tambah Baik Kecergasan bagi anggota kerahan akan digantung.

Kegiatan Perkhidmatan Negara lain juga akan beralih online atau ditangguhkan.

Pendaftaran untuk rekrut di Akademi Pertahanan Awam dan Akademi Home Team akan diteruskan. Mereka akan menjalani ujian reaksi berantai polimerase COVID-19 sebaik mendaftarkan diri untuk mengurangkan risiko penularan virus dalam kalangan pelatih.

Latihan yang penting untuk operasi seperi kursus asas dan latihan pasukan respons lapangan akan diteruskan di Akademi Home Team serta Akademi Pertahanan Awam, menurut MHA.

“Anggota tetap dan sepenuh masa NSF juga akan meneruskan latihan yang penting untuk mengekalkan kesediaan operasi bagi Home Team," tambah MHA.

“Langkah berjaga-jaga kesihatan dan pengurusan selamat yang ketat akan dilaksanakan. Ini termasuk jarak selamat, memakai pelitup kecuali bagi senaman berat dan pembasmian kuman ke atas peralatan selepas setiap penggunaan untuk mengurangkan risiko penularan."

MHA menyatakan semua latihan lain sama ada akan beralih online atau ditangguhkan sehingga 13 Jun.

Pendampingan masyarakat dan kegiatan latihan seperti Program Kesediaan Kecemasan Masyarakat dan kegiatan berkaitan SGSecure juga akan digantung.

“Kami sedang memantau rapi keadaan COVID-19 dan akan menyemak langkah-langkah secara berterusan untuk memastikan para pegawai Home Team dan orang awam selamat," menurut MHA.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita