Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Kes dikaitkan dengan kakitangan MRT Bishan antara 451 kes baru

Singapura melaporkan 451 kes COVID-19 baru pada tengah hari Selasa (19 Mei), membawa kepada jumlah keseluruhan 28,794 kes.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Kes dikaitkan dengan kakitangan MRT Bishan antara 451 kes baru

Kemudahan kesihatan di dormitori pekerja asing Avery Lodge (Gambar: MOM)

Diterbitkan : 19 May 2020 11:43PM Dikemas Kini : 19 May 2020 11:58PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 451 kes COVID-19 baru pada tengah hari Selasa (19 Mei), membawa kepada jumlah keseluruhan 28,794 kes.

Sebanyak 450 kes adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

MOH menambah bahawa pihaknya terus mengesan lebih banyak kes di kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori, termasuk di kilang yang disesuaikan menjadi dormitori kerana ujian yang meluas di premis-premis tersebut, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengesahkan dan menguji status semua pekerja.

Tiada kes baru dikesan dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di penginapan bukan dormitori.

Salah satu kes baru itu adalah seorang rakyat Singapura. Lelaki berusia 30 tahun itu, yang dikenal pasti sebagai Kes 28708, tinggal serumah dengan Kes 28271, seorang wanita warga Singapura yang bekerja di stesen MRT Bishan setelah mengalami gejala.

"Jumlah kes baru dalam masyarakat telah merosot, daripada purata enam kes sehari pada minggu sebelumnya, kepada purata tiga sehari minggu lalu.

"Jumlah kes dalam masyarakat yang tidak mempunyai kaitan juga merosot dari rata-rata dua kes sehari pada minggu sebelumnya, kepada purata satu dalam sehari dalam tempoh seminggu lalu," tambah MOH.

Dua kelompok baru dikenal pasti, iaitu di 2 Sungei Kadut Street 4 dan 13 Kaki Bukit Road 4.

MOH menambah pihaknya sedang memantau kelompok sedia ada bagi sebarang penularan lanjut. Oleh kerana tiada lagi kes yang berkaitan dengan NCS Hub (5 Ang Mo Kio Street 62) dan CitiWall (34 Kaki Bukit Crescent) selama dua tempoh inkubasi yang lalu, kelompok-kelompok itu kini ditutup.

Sebanyak 530 lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan pulang, menjadikan jumlah pesakit yang pulih kini melebihi 10,000 orang.

Secara keseluruhan, 10,365 pesakit sudah pulih sepenuhnya dari jangkitan dan telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Setakat ini terdapat 1,004 kes yang disahkan masih berada di hospital. Daripada jumlah tersebut, kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 10 berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Lagi 17,403 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat. Mereka adalah pesakit yang mempunyai simptom ringan, atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.

Setakat ini, Singapura telah mengesahkan 22 kematian berkaitan dengan COVID-19.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan