Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Jewel Lapangan Terbang Changi, Terminal 1 & 3 ditutup dua minggu kepada awam

Jewel Lapangan Terbang Changi serta Terminal 1 dan 3 akan ditutup buat sementara waktu kepada orang awam mulai Khamis (13 Mei) setelah sebuah kelompok COVID-19 sebanyak 25 kes dikesan di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Jewel Lapangan Terbang Changi, Terminal 1 & 3 ditutup dua minggu kepada awam

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 12 May 2021 09:07PM Dikemas Kini : 12 May 2021 09:10PM

SINGAPURA: Jewel Lapangan Terbang Changi serta Terminal 1 dan 3 akan ditutup buat sementara waktu kepada orang awam mulai Khamis (13 Mei) setelah sebuah kelompok COVID-19 sebanyak 25 kes dikesan di sana.

Semua pekerja di Terminal 1 dan 3 serta Jewel Lapangan Terbang Changi telah menjalani ujian wajib dalam satu operasi khas yang bermula pada Ahad (9 Mei).

Sementara operasi ujian khas itu terus dijalankan, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) menyatakan pada Rabu bahawa bangunan terminal penumpang akan ditutup kepada orang ramai mulai Khamis.

Sebagai langkah berjaga-jaga, semua tempat termasuk Jewel Lapangan Terbang Changi hanya akan dibuka semula 14 hari kemudian pada 27 Mei.

Lapangan Terbang Changi masih dibuka bagi perjalanan udara sepanjang tempoh itu, menurut CAAS dan CAG. Penumpang masih boleh diturunkan dan dijemput dari lapangan terbang.

"Akses ke bangunan terminal penumpang dibataskan hanya kepada penumpang yang mempunyai tiket penerbangan dan kakitangan penting lapangan terbang.

"Beberapa khidmat penting seperti cawangan makanan dan minuman akan terus beroperasi bagi mereka. Orang awam tidak dibenar masuk ke bangunan terminal penumpang," menurut CAAS dan CAG.

Pihak berkuasa menyatakan pekerja penerbangan akan terus melakukan sedaya upaya untuk melindungi sempadan Singapura sementara terus memastikan negara ini tidak terputus hubungan dengan seluruh dunia meskipun semasa pandemik.

"Kami menggesa semua pekerja lapangan terbang serta kakitangan yang bekerja di Jewel supaya elakkan diri daripada keluar rumah kecuali untuk urusan pekerjaan atau kegaiatan penting sepanjang 14 hari akan datang atau sehingga mereka diuji negatif COVID-19. Mereka juga tidak harus ditugaskan ke tempat kerja atau cawangan yang lain sepanjang tempoh ini," menurut kedua-dua agensi itu.

"Memandangkan sifat COVID-19 yang terus berubah-ubah, kami akan terus menyemak dan melakukan penyesuaian terhadap langkah-langkah sewajarnya, termasuk melanjutkan tempoh penutupan jika perlu."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan