COVID-19: Institusi pengajian tinggi hadkan percampuran pelajar
Menteri Pendidikan Ong Ye Kung memberitahu parlimen hari ini (26 Feb) bahawa institusi-institusi pengajian tinggi sudahpun mengurangkan saiz kelas dalam usaha mengurangkan risiko penularan COVID-19.
SINGAPURA: Menteri Pendidikan Ong Ye Kung memberitahu parlimen hari ini (26 Feb) bahawa institusi-institusi pengajian tinggi sudahpun mengurangkan saiz kelas dalam usaha mengurangkan risiko penularan COVID-19.
Ini selain daripada langkah membatalkan kuliah dan bertukar kepada e-pembelajaran.
Menjawab pertanyaan tentang usaha MOE untuk menunda acara-acara besar, Encik Ong berkata garis panduan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan adalah mengehadkan percampuran pelajar dan mengurangkan interaksi agar kampus-kampus boleh terus beroperasi tetapi mengurangkan risiko jangkitan.
Encik Ong menambah, setiap kumpulan 50 pelajar dihadkan meskipun kuliah masih diadakan tetapi kurang jumlah pelajar yang hadir.
Begitu juga bagi tutorial, menurut Encik Ong, pasukan projek masih berterusan dengan jumlah saiz yang lebih kecil.
MAJIKAN, PEKERJA SAMA-SAMA PIKUL TANGGUNGJAWAB
Mengenai isu COVID-19 juga, Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad menegaskan kedua-dua majikan dan pekerja sama-sama bertanggungjawab mematuhi langkah-langkah mengawal penularan virus korona itu. Ini termasuk cuti ketidakhadiran, notis jangan keluar rumah dan arahan kuarantin.
Pihak kementerian sudahpun mengeluarkan maklumat untuk mendidik para majikan dan pekerja. MOM bagaimanapun akan mengambil tindakan untuk memastikan kesihatan awam terjamin.
Sejauh ini, manfaat pas kerja 15 orang majikan digantung selepas para pekerja mereka gagal mematuhi langkah-langkah pengawalan penyakit.
Encik Zaqy menambah adalah penting bagi MOM memberikan isyarat dari sudut kesihatan awam dan tidak boleh mengambil ringan isu tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.