Skip to main content

Singapura

COVID-19: DPM Heng bentang Belanjawan Kecekalan bernilai S$33 bilion untuk tangani 'ketidakpastian' besar

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (26 Mei) memperkenalkan belanjawan keempat Singapura untuk tahun ini. Dinamakan 'Belanjawan Kecekalan', ia memperuntukkan tambahan S$33 bilion.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 May 2020 05:43PM Dikemas Kini : 27 May 2020 12:29AM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (26 Mei) memperkenalkan belanjawan keempat Singapura untuk tahun ini. Dinamakan 'Belanjawan Kecekalan', ia memperuntukkan tambahan S$33 bilion - sebahagiannya diketepikan untuk memberikan respons kepada keadaan yang cepat berubah-ubah - sedang Singapura memasuki fasa selanjutnya memerangi COVID-19.

Kenyataan terkini kepada Parlimen oleh Encik Heng, yang juga adalah Menteri Kewangan, menyusuli tiga belanjawan yang terdahulu dibentangkan. Yang pertama adalah Belajawan Perpaduan pada 18 Feb, iaitu belanjawan biasa yang dibentangkan setiap tahun.

Kemudian COVID-19 menjadi krisis sejagat yang semakin meruncing. Ini mendorong Pemerintah untuk memperuntukkan Belanjawan Berdaya Tahan bernilai S$48 bilion pada 26 Mac. Ia selanjutnya disusuli Belanjawan Kesepakatan bernilai S$5.1 bilion pada 6 April.

Secara keseluruhannya Singapura sudah memperuntukkan S$92.9 bilion - iaitu sekitar 20 peratus nilai hasil ekonomi Singapura setiap tahun - untuk mengharungi kesuraman ekonomi akibat virus COVID-19.

Pemerintah di merata dunia turut memperuntukkan jumlah yang juga besar, selaras dengan saiz ekonomi masing-masing. Kemelesetan ekonomi sejagat itu dikatakan akan seteruk krisis global seabad lalu, iaitu jauh lebih teruk daripada Krisis Kewangan Global pada 2008.

"Ini pakej bersejarah yang penting dan perlu sebagai respons terhadap krisis yang tidak pernah berlaku dahulu," kata Encik Heng. Pemerintah sebelum ini menyatakan ia perlu menggunakan sejumlah besar dari rizab negara, satu langkah di bawah Perlembagaan Singapura yang memerlukan kelulusan Presiden Halimah Yacob.

Encik Heng berkata tumpuan utama sokongan kewangan kali ini adalah pekerjaan, dengan S$3.8 bilion diperuntukkan untuk mempertingkat Skim Sokongan Pekerjaan bagi tempoh 'circuit breaker' yang dilanjutkan.

Satu lagi ciri penting di bawah peruntukan Belanjawan Kecekalan adalah "jumlah darurat" lebih besar untuk membantu Pemerintah menangani cabaran-cabaran yang akan timbul pada masa akan datang.

Encik Heng berkata: "Kami sedang berdepan dengan ketidakpastian yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dalam semua aspek. Jumlah darurat lebih besar akan membolehkan kita segera bertindak kepada keadaan yang cepat berubah."

"Belanjawan kali ini akan terus menyokong para pekerja dan perniagaan yang terus terjejas oleh penutupan sempadan dan langkah-langkah jarak selamat," tambah beliau.

"Dengan perubahan ketara dalam ekonomi global pada masa akan datang, kami akan menyediakan sokongan untuk membolehkan perniagaan dan para pekerja menyesuaikan diri, merubah dan merebut peluang-peluang baru, untuk bangkit dengan lebih baik," katanya lagi.

Selain menawarkan lebih banyak pekerjaan, sokongan tambahan juga akan diberikan kepada keluarga dan masyarakat untu mengatasi gangguan disebabkan COVID-19 dan membantu mereka membantu merebut peluang baru yang ada di tengah-tengah kemelesetan ini, tambah Encik Heng.

Pendanaan tambahan turut akan disediakan kepada agensi-agensi barisan hadapan, demi membantu memacu pengurusan klinikal kes-kes COVID-19 dan keupayaan menjalankan ujian.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita