Skip to main content

Singapura

COVID-19: Dari ICU ke pemulihan

Pesakit ke-15 yang disahkan dijangkiti virus korona baru COVID-19 sudahpun dibenar pulang dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada Ahad (16 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Dari ICU ke pemulihan

Kakitangan jagaan kesihatan NCID mengucapkan selamat tinggal kepada Cik Zhnag (empat dari kiri) yang sudahpun bebas daripada virus korona COVID-19. (Gambar: MOH/Cik Zhang)

Diterbitkan : 16 Feb 2020 04:50PM Dikemas Kini : 16 Feb 2020 04:52PM

SINGAPURA: Pesakit ke-15 yang disahkan dijangkiti virus korona baru COVID-19 sudahpun dibenar pulang dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada Ahad (16 Feb).

Pesakit itu yang hanya ingin dikenali sebagi Cik Zhang, adalah seorang suri rumah warga Singapura yang berusia 47 tahun.

Cik Zhang, suaminya dan anak lelaki remaja mereka adalah dalam kalangan 92 rakyat Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Januari menggunakan pesawat Scoot, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Cik Zhang menunjukkan simptom pernafasan ketika berada dalam penerbangan tersebut. Setibanya di Lapangan Terbang Changi, tambah MOH, beliau didapati mengalami demam ketika pemeriksaan perubatan dan dibawa ke NCID. Wanita itu disahkan positif jangkitan COVID-19 pada sekitar 2.00 petang, 31 Januari.

Suri rumah itu meminta agar pengalamannya dikongsikan menerusi transkip komennya sebelum beliau dibenarkan pulang dari pusat tersebut.

Berikut ini adalah transkrip komen Cik Zhang yang diberikan MOH.

Boleh anda gambarkan bagaimana keadaannya apabila anda berada di Wuhan?

Saya berasa sangat takut dan terfikir," Adakah Singapura akan membawa kami pulang?" Saya sangat berharap itu akan berlaku. Mujur, suami saya adalah seorang yang mengikut peraturan dan kali ini beliau betul. Sebelum kami meninggalkan Singapura, beliau memaklumkan kepada Kedutaan Singapura. Nasib baik beliau berbuat demikian. Seorang pegawai bernama Cik Zhang dari Kedutaan Singapura menghubungi suami saya dan membuat pengaturan untuk membawa kami pulang.

Suami saya menerima makluman bahawa Pemerintah sudahpun mengatur satu penerbangan Scoot untuk membawa kami pulang. Saya begitu gembira ketika itu! Saya amat bersyukur kerana Pemerintah Singapura mengatur untuk membawa kami pulang.

Boleh anda kongsikan jagaan yang diterima daripada kakitangan perubatan NCID?

Pasukan perubatan di sini sangat baik sekali. Mereka melayan kami ibarat keluarga. Saya benar-benar berterima kasih kepada mereka. Mereka sering memberi dorongan kepada saya setiap hari. Mereka menggalak saya untuk memakan ubat dan memberitahu saya supaya jangan takut. Mereka mengingatkan saya agar tidak putus harapan dan terus menyokong saya. Mereka juga sangat lembut misalnya ketika membuat imbasan X-ray ke atas saya. Saya amat bersyukur.

Boleh anda kongsikan tentang keadaan anak lelaki anda? Difahamkan beliau sedang menerima rawatan di NCID.

Jururawat mengambil sampel dari hidungnya setiap hari bagi ujian. Beliau belum disahkan sembuh sepenuhnya tetapi tidak mempunyai simptom-simptom lain. Saya agak lega untuk memikirkan bahawa sebagai seorang ibu, saya sudah membesarkannya untuk menjadi seorang yang bersemangat kental agar dapat melawan virus itu dengan lebih baik.

Anda berkongsi bahawa anda berasa "normal" pada mulanya tetapi keadaan anda tiba-tiba berubah menjadi teruk dan bahkan anda perlu dimasukkan ke dalam wad ICU. Boleh anda kongsikan pengalaman dihantar ke ICU kerana tahap oksigen yang rendah? Ia pastinya sesuatu yang mengerikan.

Saya berasa sangat takut. Mereka menyumbatkan tiub oksigen ke dalam hidung saya dan menaikkan tahapnya supaya saya boleh bernafas. Pada awalnya, ia adalah satu liter bagi setiap minit. Kemudian ia ditukar kepada dua, empat dan enam liter setiap minit. Oleh kerana paru-paru saya tidak berfungsi dengan baik, ia tidak berkesan. Saya ingat pada hari itu saya sukar bernafas dan merasakan seakan-akan saya akan mati. Saya berfikir: "Adakah saya akan mati?"

Jururawat membantu saya untuk mengemas barang-barang saya dengan teliti dan menghantarnya ke ICU. Para doktor dan jururawat di ICU bertindak dengan cepat. Ketika itu, saya tidak boleh bergerak tetapi pemikiran saya masih jelas. Saya terdengar perbualan mereka dengan jelas. Seorang doktor sentiasa mengusap kepala saya dan memberitahu saya agar jangan khuatir. Beliau berkata: "Jangan risau kami akan masukkan tiub untuk membantu anda bernafas". Beliau terus memberikan keyakinan kepada saya. Ternyata, beliau memang seorang wanita yang sangat lembut.

Apa yang ingin anda lakukan setelah keluar dari NCID?

Saya mahu pulang ke rumah dan perlahan-lahan sembuh. Saya ingin meneruskan senaman harian bersama rakan-rakan tetapi saya tidak rasa ini tidak mungkin kerana lebih baik jika orang ramai tidak berkumpul. Saya hanya mahu kembali pada kehidupan seharian saya, pergi bersenam bersama kawan-kawan, kemudian ke pasar dan minum secawan kopi. Pada sebelah malam pula, siapkan makan malam untuk suami dan anak-anak. Saya rasa itu sudah mencukupi.

Apakah pengajaran yang anda timba daripada penyakit ini?

Saya rasa demi keselamatan kita dan juga orang lain, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak melihatnya sebagai sesuatu yang melecehkan.

Bolehkah anda memberi sedikit kata-kata perangsang kepada para pesakit lain yang masih menjalani rawatan?

Saya rasa kita harus mengharunginya. Kita mempunyai keluarga dan kawan-kawan. Penyakit ini tidak semestinya membawa maut. Saya yakin akan keupayaan pasukan perubatan kita dan kemahiran mereka. Saya percaya mereka boleh menyelamatkan kita.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita