Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Butiran bantuan bagi pihak terjejas penangguhan binaan, pelanggaran kontrak

Sesetengah kontraktor, penyewa dan tuan tanah yang terjejas oleh penangguhan atau pelanggaran kontrak disebabkan oleh pandemik virus korona kini boleh memohon bantuan, apabila pindaan ke atas Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) dikuat kuasakan pada Rabu (30 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Butiran bantuan bagi pihak terjejas penangguhan binaan, pelanggaran kontrak

(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 09:01PM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 09:06PM

SINGAPURA: Sesetengah kontraktor, penyewa dan tuan tanah yang terjejas oleh penangguhan atau pelanggaran kontrak disebabkan oleh pandemik virus korona kini boleh memohon bantuan, apabila pindaan ke atas Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) dikuat kuasakan pada Rabu (30 Sep).

Pindaan itu memperkukuhkan mekanisme perundangan - dikenali sebagai Bahagian 8 Akta tersebut - bagi pihak-pihak mendapatkan bantuan sekiranya mereka terjejas oleh penangguhan atau pelanggaran dalam kontrak binaan, bekalan mahupun yang berkaitan dengannya. Bagaimanapun, mereka harus menunjukkan gangguan itu "berpunca daripada COVID-19", menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dalam satu kenyataan media.

Perubahan itu antara pindaan kedua ke atas Akta yang diluluskan di Parlimen awal September lalu.

Pindaan pertama yang diluluskan pada Jun, menetapkan tuan tanah supaya menawarkan lebih banyak pengecualian sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang terjejas COVID-19.

SIAPA YANG BOLEH MOHON BANTUAN

Di bawah Bahagian 8 Akta itu, pihak-pihak terjejas boleh membuat permohonan di bawah tiga syarat.

Sesiapa yang menyewa barangan untuk digunakan bagi kerja binaan boleh memohon bantuan sekiranya mereka bertanggungjawab kepada para pembekal masing-masing untuk perbelanjaan sewa tambahan disebabkan oleh penangguhan atau pelanggaran kontrak, kata MinLaw.

Sebagai contoh, seorang kontraktor mungkin sudah menyewa barangan - seperti bahan perancah atau gerudi tangan - daripada seorang pembekal untuk kerja-kerja binaan di bawah satu kontrak binaan dengan pihak ketiga.

Dalam situasi kedua, penyewa di hartanah bukan penginapan boleh memohon bantuan sekiranya mereka tidak dapat menjalankan atau menyiapkan kerja-kerja ubah elok semasa tempoh pengecualian sewa disebabkan oleh COVID-19.

Ketiga, tuan rumah hartanah bukan penginapan boleh memohon bantuan sekiranya mereka tidak dapat masuk atau menggunakan hartanah itu sebelum tarikh yang ditetapkan dalam perjanjian sewa atau lesen, disebabkan penangguhan berkaitan virus korona dalam kontrak binaan berasingan.

PENTAKSIR BOLEH MENGUBAH SYARAT KONTRAK

Untuk mengurangkan kesan penangguhan atau pelanggaran kontrak terhadap pemohon, seorang pentaksir yang dilantik oleh kementerian boleh menyesuaikan syarat-syarat kontrak.

Sebagai contoh, apabila seorang kontraktor bertanggungjawab bagi menampung perbelanjaan sewa tambahan untuk peralatan, pentaksir itu boleh menyesuaikan tarikh untuk memulangkan barangan itu, atau kadar sewa yang harus dibayar semasa tempoh barangan itu masih digunakan.

Selain itu, pentaksir tersebut boleh melanjutkan tempoh sewa percuma bagi keadaan di mana penyewa bagi sebuah hartanah, tidak dapat menjalankan atau menyiapkan kerja ubah elok semasa tempoh sewa percuma itu.

Bagi semua pemohon yang layak bagi bantuan itu, kontrak yang terjejas harus dibuat sebelum 25 Mac bagi layak mendapatkan bantuan tersebut.

Kontrak yang terjejas juga berkuat kuasa bagi tempoh antara 1 Feb 2020 dengan 31 Mac 2021, dan penangguhan atau pelanggaran dalam kontrak binaan, bekalan mahupun yang berkaitan dengannya harus berlaku ketika tempoh itu.

Permohonan bagi bantuan berkenaan harus dihantar menjelang 31 Mei 2021.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan