COVID-19 burukkan lagi ancaman terhadap sistem berbilang hala; kerjasama sejagat kunci tewaskan pandemik, tegas Dr Balakrishnan
Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata pada Sabtu (26 Sep) bahawa COVID-19 memperluaskan ancaman terhadap sistem berbilang hala dan menggesa negara-negara dunia supaya berganding bahu menentang pandemik tersebut sambil membina daya tahan terhadap cabaran-cabaran hari muka.
SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata pada Sabtu (26 Sep) bahawa COVID-19 memburukkan ancaman terhadap sistem berbilang hala dan menggesa negara-negara dunia supaya berganding bahu menentang pandemik tersebut sambil membina daya tahan terhadap cabaran-cabaran hari muka.
Dasar perlindungan dan tindakan sepihak akan membawa padah dan dengan saling bekerjasama, masyarakat antarabangsa akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mencari huraian kepada isu-isu seperti penghasilan vaksin dan perdagangan bebas.
"Kita perlu menentang COVID-19 secara bersama... Tiada seorang pun, baik negara yang besar mahupun kecil, akan selamat sehingga kita semua benar-benar selamat," kata Dr Balakrishnan semasa menyampaikan Kenyataan Negara Singapura di sesi ke-75 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Apa yang kita pelukan sekarang adalah lebih banyak kerjasama di peringkat sejagat, bukan sebaliknya," tambah beliau.
KERJASAMA DEMI TEMPUHI CABARAN
Dalam ucapannya yang disampaikan melalui persidangan video, Dr Balakrishnan juga berkata adalah penting untuk mempunyai sistem berbilang hala yang berteraskan peraturan di mana negara-negara kecil seperti Singapura turut mempunyai hak untuk bersuara. Institusi-institusi berbilang pihak juga menyediakan wadah untuk negara-negara dunia saling berganding bahu bagi menangani cabaran-cabaran bersama yang membelenggu umat sejagat.
Bagaimanapun pada masa yang sama, sistem yang dilaksanakan sekarang "belum sempurna" dan institusi-institusi antarabangsa mesti mendakapi dan melakukan rombakan supaya ia kekal relevan.
"Negara-negara tidak sepatutnya menjangkakan mereka akan dapat kembali ke cara-cara yang pernah dikendalikan sebelum COVID-19 melanda, sama juga dengan sistem berbilang hala. Kita mesti membuat penyesuaian dan kita mesti memperkukuhkan institusi-institusi antarabangsa agar ia terus terbuka, bersifat inklusif, telus, dan memenuhi matlamatnya," kata Dr Balakrishnan.
Inilah kali pertama dalam sejarah 75 tahun Perhimpunan Agung itu, para pemimpin dunia tidak berkumpul secara fizikal. Dr Balakrishnan berkata keputusan untuk meneruskan Minggu Mesyuarat Peringkat Tinggi ini yang sebahagian besarnya menerusi maya mencerminkan komitmen Singapura terhadap sistem berbilang hala dan PBB.
Di tengah-tengah krisis COVID-19, Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa sistem berbilang hala berdepan dengan isu-isu seperti nasionalisme, xenofobia, penolakan perdagangan bebas dan perpaduan ekonomi global, serta percabangan teknologi dan rantaian bekalan. Meskipun ancaman-ancaman tersebut bukan sesuatu yang baru, menurut Dr Balakrishnan, pandemik ini mempercepatkan dan memperluaskan trend-trend yang disaksikan sebelum ini.
Sebilangan isu tersebut boleh mencetekkan pengetahuan sejagat dan inovasi pada masa di mana negara-negara memerlukan kerjasama antarabangsa yang lebih luas untuk memastikan akses yang adil dan meluas kepada vaksin COVID-19.
Kepercayaan antara negara-negara dunia juga akan menjadi keruh jika negara-negara tidak melaksanakan kewajipan kontrak berhubung eksport barangan penting dan pergerakan penduduk.
"Kerjasama berterusan di peringkat antarabangsa adalah kunci untuk mengatasi kesan dahsyat pandemik ini dan untuk membina semula ekonomi. Kita perlu memperkukuhkan keyakinan dan kita perlu belajar antara satu sama lain. Kita juga perlu bekerjasama untuk melakarkan protokol-protokol untuk membolehkan semula perjalanan," kata Dr Balakrishnan.
Institusi-institusi antarabangsa boleh membantu dalam perkara ini. PBB, kata Dr Balakrishnan, memainkan peranan yang sangat penting kerana ia amat diperlukan sebagai sebuah platform universal untuk menjalin kerjasama.
Di samping itu, PBB mesti mendakapi dan melakukan rombakan untuk bertindak secara berkesan ke atas cabaran-cabaran masa depan "jika ia mahu kekal relevan bagi tempoh 75 tahun akan datang", kata beliau lagi.
Penyusunan semula PBB harus memupuk kesepakatan dalam kalangan negara anggota berhubung isu-isu yang timbul. Ada juga keperluan untuk memperbarui secara serentak Perhimpunan Agung ini dan merombak semula Majlis Keselamatan, kata Dr Balakrishnan.
Begitu juga institusi-institusi berbilang hala yang lain, seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), yang juga perlu dirombak semula, kata Dr Balakrishnan.
Dr Balakrishnan turut menyentuh tentang respons Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap wabak COVID-19, sambil menambah bahawa proses-proses WHO mungkin perlu dikaji semula selepas pandemik ini berjaya ditangani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.