Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: BMT di rumah bantu rekrut asah kemahiran ketenteraan, tingkat kecergasan fizikal

Sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 diisytiharkan, Latihan Asas Tentera (BMT) beralih dari kem ke rumah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 diisytiharkan, Latihan Asas Tentera (BMT) beralih dari kem ke rumah.

Menerusi sistem pembelajaran dari rumah (HBL), lebih dari 3,400 rekrut Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) melakukan penyesuaian menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Ini dilakukan sambil mereka mengekalkan tahap ketenteraan dan disiplin.

LATIHAN BERALIH DARI KEM KE RUMAH

Perjalanan NS rekrut Emir Ilyas Elham, 18 tahun bermula pada 29 Januari 2020 apabila beliau dihantar ke Bronco Company di Pulau Tekong.

Namun, setelah menjalani latihan di kem selama 10 minggu, beliau dan rakan-rakan seangkatan dikejutkan apabila disuruh membawa pulang barang-barang dan meneruskan latihan BMT mereka di rumah.

Tindakan itu diambil bagi memperketatkan lagi langkah jarak selamat untuk membendung penularan COVID-19.

Walaupun pakaian seragamnya kini tersimpan rapi di dalam almari, Emir tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota NS.

Selama lebih tiga jam, lima hari seminggu, Emir menumpukan perhatian ke skrin komputer untuk mengulangkaji topik ketenteraan asas seperti disiplin dan latihan fizikal. Program itu turut memuatkan kuiz-kuiz bagi menguji tahap pemahaman mereka apabila selesai. Sekiranya beliau memerlukan penjelasan lanjut, para komander sedia membantu dan boleh dihubungi melalui WhatsApp.

Latihan itu adalah sebahagian dari usaha MINDEF untuk memastikan para rekrut yang terjejas tidak ketinggalan bila mereka kembali ke kem nanti.

“Walaupun pengalamannya agak berbeza, HBL tetap ada kepentingannya kerana kita bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan tentang aspek teknikal dan teori berkenaan BMT dan NS. Tapi ia juga satu cara untuk mengisi masa saya dengan melakukan kerja berfaedah sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan ini,” jelas Emir, seorang bekas pelajar Raffles Institution.

BERAT BADAN TURUN 10 KILOGRAM

Bagi mengekalkan kecergasan fizikalnya, Emir juga gigih mengikuti video senaman jasmani yang dimuat naik di laman YouTube Kementerian Pertahanan (MINDEF). Senaman-senaman statik seperti ‘sit-up’ dan ‘push-up’ lebih kerap dilakukannya kerana ia merupakan komponen penting bagi ujian IPPT.

Usahanya membuahkan hasil kerana setakat ini, beliau sudah berjaya menurunkan berat badannya dari 78 kilogram ke 68 kilogram, dalam hanya masa tiga bulan sahaja. Berkat disiplin yang dipratikkan di rumah, Emir sangat yakin dapat mengurangkan lagi berat badannya sebelum tamat BMT.

“Sewaktu BMT, kami dikehendaki melakukan senaman statik ini sebelum waktu makan dan saya ingin menjadikan rutin ini sebagai sebahagian daripada jadual seharian saya di rumah. Jadi pada waktu malam pula, saya juga akan berlari di sekitar kawasan kejiranan saya sebagai latihan aerobic,” kata anak kedua dari tiga beradik itu.

MAHU 'POP' BERSAMA TEMAN-TEMAN SEANGKATAN

Meskipun tidak menyangka terpaksa melalui BMT dengan cara yang sangat berbeza, Emir terus bersikap positif dan berharap dapat disatukan semula dengan rakan-rakan seangkatannya tidak lama lagi.

“Saya menantikan sambungan latihan BMT kerana saya ingin menjalani pengalaman NS sepenuhnya dan menyelesaikan BMT bersama rakan-rakan saya supaya kami dapat lulus sebagai satu pasukan apabila 'POP' nanti,” ujar Emir yang bercita-cita memasuki Sekolah Pegawai Kadet atau Specialis Kadet bagi latihan seterusnya.

Emir dijangka akan selesai menjalani BMT pada bulan Jun nanti. Namun buat masa ini, Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) sedang mengkaji semula perancangan bagi rekrut-rekrut sepertinya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan