Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Ada ibu bapa salah guna alasan putus jangkitan halang bekas pasangan jumpa anak mereka

'Jane' sepatutnya bertemu anaknya seminggu sekali di bawah aturan hak jagaan anak yang diperintahkan mahkamah setelah bercerai dengan bekas suaminya. Namun apabila Singapura memulakan langkah pemutus jangkitan pada 7 April, bekas suaminya menghalang beliau daripada berjumpa dengan anak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Ada ibu bapa salah guna alasan putus jangkitan halang bekas pasangan jumpa anak mereka

(Gambar hiasan: JW/Unsplash)

Diterbitkan : 13 Apr 2020 11:30PM Dikemas Kini : 13 Apr 2020 11:53PM

SINGAPURA: Jane (bukan nama sebenar) sepatutnya bertemu anaknya seminggu sekali di bawah aturan hak jagaan anak yang diperintahkan mahkamah setelah bercerai dengan bekas suaminya lima tahun lalu.

Namun apabila Singapura memulakan langkah pemutus jangkitan pada 7 April, bekas suaminya menghalang beliau daripada berjumpa dengan anak mereka.

Langkah pemutus rantaian jangkitan selama sebulan itu termasuk penutupan sekolah dan tempat kerja yang tidak penting, dengan orang ramai diminta tidak keluar rumah tanpa keperluan, dalam usaha untuk membendung COVID-19.

Undang-undang baru juga diluluskan untuk menyekat pergerakan, sebagai sebahagian daripada Akta COVID-19 (Langkah Sementara), berkuat kuasa sehari kemudian.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan garis panduan pada 9 April yang menyatakan bahawa kanak-kanak ibu bapa yang bercerai dibenarkan untuk bergilir-gilir tinggal dengan ibu atau bapa mereka, namun dengan pergerakan dan perjalanan perlu dikurangkan seberapa mungkin.

Aturan akses bertemu anak juga boleh diteruskan, selain daripada lawatan yang harus dipantau.

TAKUT DESAK HAKNYA

Garis panduan ini juga tertulis di dalam Akta yang diluluskan itu.

Namun apabila Jane menunjukkan garis panduan MOH itu kepada bekas suaminya, beliau hanya membenarkanJane bertemu dengan anaknya sekali setiap dua minggu, sedangkan mahkamah memberikan Jane hak untuk melawatnya seminggu sekali.

"Beliau menggunakan ayat dalam garis panduan MOH - yakni agar mengurangkan pergerakan ke tahap minimum - dan memutarbelitkan keseluruhan peraturan itu," kata Jane, yang identitinya tidak didedahkan kerana bekas suami beliau dikatakan bersikap ganas.

Meskipun berhak dari segi undang-undang untuk melawat anaknya, Jane memutuskan untuk akur pada tuntutan bekas suaminya kerana takut beliau akan mengenakan sekatan lebih ketat.

POTENSI UNTUK DISALAH GUNA

Potensi untuk bekas pasangan untuk menyalahgunakan sistem hak penjagaan diketengahkan oleh Cik Catherine Rose Yates, seorang janda yang mengendalikan kumpulan sokongan bagi ibu bapa yang bercerai.

Beliau berkata anggota kumpulan sokongannya disekat akses mereka atas dasar undang-undang baru yang menyekat pergerakan.

Cik Yates berkata bahawa ada pihak yang menggunakan alasan akses lawatan yang dikurangkan sebagai asas untuk mengurangkan pembayaran wang nafkah kepada bekas pasangan mereka.

"Undang-undang baru ini adalah satu peluang besar bagi sesetengah pihak untuk salah gunakan sistem dan menggunakan anak itu sebagai cagaran dalam pertelingkahan peribadi (dengan bekas pasangan)dan ini adalah satu kebimbangan benar," kata Cik Yates.

Peguam keluarga yang dihubungi Mediacorp berkata mereka sebelum ini menerima banyak pertanyaan daripada anak guam mereka yang bercerai yang kurang pasti sama ada aturan hak penjagaan masih boleh diteruskan dalam tempoh pemutus jangkitan.

YANG SEDANG JALANI PROSES CERAI JUGA TERJEJAS

Namun dengan garis panduan MOH dikeluarkan, keadaan lebih jelas.

Bagaimanapun, masih terdapat sebilangan pihak yang masih menyalahgunakan sistem dan peguam keluarga Rajan Chettiar berkata beliau menjangkakan peningkatan dalam permohonan mahkamah dari ibu bapa yang merasakan bahawa bekas pasangan melanggar perintah mahkamah.

Satu lagi golongan ibu bapa yang terjejas adalah mereka yang sedang menjalani proses perceraian dan oleh itu tidak mempunyai perintah mahkamah yang memperincikan aturan penjagaan anak.

Peguam keluarga Gloria James-Civetta berkata bahawa anak salah seorang kliennnya dibawa suaminya sebelum tempoh pemutus jangkitan laksanakan, dan suaminya itu sekarang mengatakan bahawa beliau tidak dapat mengembalikan anak mereka disebabkan undang-undang baru itu.

Oleh sebab beliau tidak mempunyai perintah mahkamah, polis tidak dapat membantunya mendapatkan anaknya kembali.

UTAMAKAN KEMASLAHATAN ANAK

Cik Carrie Gill, rakan kongsi di firma undang-undang Eversheds Harry Elias, menasihatkan anak guamnya agar bertindak dengan hemat apabila membincangkan dan membuat keputusan mengenai aturan akses lawatan anak.

"Ibu bapa harus terbuka dan berkomunikasi antara satu sama lain berhubung kebimbangan masing-masing. Kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan anak mereka harus diutamakan," katanya.

Namun, bagi Jane, tangannya terikat bagi mengelakkan kemarahan bekas suaminya.

"Saya dalam keadaan tersepit. Saya hanya boleh mendengar setiap arahan dan keinginannya supaya saya dapat berjumpa dengan anak saya nanti," katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan