COVID-19: 6,800 perniagaan, individu minta bantuan sementara daripada tanggungjawab kontrak; langkah bakal diperluaskan
Lebih 6,800 perniagaan dan orang perseorangan meminta bantuan sementara di bawah Akta (Langkah-langkah Sementara) COVID-19 sejak ia dilaksanakan pada April lalu. Ia menawarkan bantuan kepada mereka yang tidak dapat mememenuhi tanggungjawab kontrak kerana COVID-19.
(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Lebih 6,800 perniagaan dan orang perseorangan meminta bantuan sementara di bawah Akta (Langkah-langkah Sementara) COVID-19 sejak ia dilaksanakan pada April lalu. Ia menawarkan bantuan kepada mereka yang tidak dapat mememenuhi tanggungjawab kontrak kerana COVID-19.
Ini didedahkan oleh Kementerian Undang-undang (MinLaw) selepas Menteri Kedua Undang-undang Edwin Tong membentangkan di Parlimen pada Khamis (3 Sep) pindaan kedua ke atas Akta tersebut. Ia akan dibahaskan pada Jumaat.
Bacaan kali pertama pindaan Akta itu dibentangkan pada bulan Jun yang menyediakan rangka kerja bantuan sewa bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta meningkatkan pelepasan bagi perniagaan, pertubuhan dan individu yang terjejas oleh COVID-19.
Pusingan terbaru pindaan tersebut, jika diluluskan, akan membawa kepada tiga lagi perubahan:
Pertama adalah peluasan kuasa penilai bantuan sewa.
Penilai bantuan sewa dilantik oleh MinLaw untuk menangani perselisihan di bawah rangka kerja itu, seperti ketika tuan tanah dan penyewa tidak dapat mencapai persetujuan mengenai isu-isu seperti pengecualian sewa.
Dengan pindaan terbaru itu, penilai akan dapat menentukan jumlah sewa untuk dikecualikan di bawah rangka kerja tersebut, jelas MinLaw.
Penentuan itu antara lain, bergantung pada jumlah kos penyenggaraan dan perkhidmatan atau jumlah yang boleh diimbangi dengan bantuan yang diberikan oleh tuan tanah lebih awal.
Pindaan kedua akan menyaksikan peruntukan baru kepada undang-undang itu, dipanggil, Part 8, yang akan menyediakan mekanisme bagi pihak-pihak terlibat berhubung jenis kontrak tertentu bagi mendapatkan bantuan jika mereka terjejas oleh pelanggaran atau penangguhan dalam kontrak binaan, bekalan mahupun yang berkaitan dengannya.
MinLaw menyatakan Part 8 belum lagi berkuat kuasa dan lebih banyak butiran mengenai bantuan itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Pindaan lain akan dibuat ke atas bahagian-bahagian Akta sedia ada bagi memastikan mekanisme penyelesaian pertikaian yang berbeza dapat dilaksanakan dengan licin sekiranya Part 8 berkuat kuasa.
Pindaan terakhir kepada Akta itu melibatkan aturan mesyuarat alternatif.
MinLaw menyatakan ia menerima maklum balas daripada beberapa perniagaan dan individu bahawa mereka mahukan kepastian lebih tinggi berhubung tempoh masa aturan mesyuarat alternatif kerana mereka perlu merancang bagi mesyuarat-mesyuarat beberapa bulan lebih awal.
Pindaan kepada Akta itu, tambah MinLaw, akan membolehkan aturan mesyuarat alternatif terus dilaksanakan, jika perlu, bagi membendung penularan COVID-19. Ini tidak kira sama ada peraturan menjaga jarak selamat berubah atau dihentikan.
Perintah sedia ada yang menetapkan aturan mesyuarat alternatif berakhir pada 30 September.
MinLaw menyatakan butiran lanjut mengenai ketiga-tiga pindaan itu masih lagi dilakarkan dan akan diumumkan secara berasingan.
Jika pindaan itu diluluskan di Parlimen, kementerian tersebut menetapkan sasaran pelaksanaannya berkuat kuasa sebelum hujung bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.