Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 33 kes 'positif' didapati sebenarnya negatif, termasuk pekerja jagaan kesihatan

Sebanyak 33 kes yang disahkan COVID-19 sebelum ini dari sebuah makmal didapati memberikan keputusan positif walaupun keputusan sebenar adalah negatif. Ini termasuk seorang pekerja jagaan kesihatan yang bertugas di kemudahan jagaan masyarakat Singapore Expo.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 33 kes 'positif' didapati sebenarnya negatif, termasuk pekerja jagaan kesihatan

Sebuah dewan di Dewan Konvensyen dan Pusat Pameran Singapore Expo di Changi yang digunakan untuk menempatkan para pesakit COVID-19. (Gambar: MOH)

Diterbitkan : 11 May 2020 08:43AM Dikemas Kini : 11 May 2020 08:48AM

SINGAPURA: Sebanyak 33 kes yang disahkan COVID-19 sebelum ini dari sebuah makmal didapati memberikan keputusan positif walaupun keputusan sebenar adalah negatif. Ini termasuk seorang pekerja jagaan kesihatan yang bertugas di kemudahan jagaan masyarakat Singapore Expo, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (10 Mei).

"MOH secara tetap meneliti semula ujian makmal dan baru-baru ini mendapati bahawa 33 kes dari sebuah makmal silap memberikan keputusan positif, akibat masalah penentukuran perkakas untuk salah satu alat ujiannya," tambah kementerian kesihatan itu.

Ujian semula kes-kes di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan mengesahkan bahawa kes-kes tersebut adalah negatif, tambah MOH.

"Tidak ada keputusan negatif palsu yang dikesan dari penelitian kami," menurut kementerian itu, sambil menambahkan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan keadaan.

Makmal itu telah menghentikan semua ujian dan sedang berusaha untuk menghuraikan "masalah penentukuran" itu, tambah MOH.

Seorang lelaki berusia 43 tahun, dikenali sebagai Kes 20,844, adalah antara kes "positif palsu" itu. Menurut laporan MOH sebelum ini, beliau bekerja sebagai jururadiografi di kemudahan jagaan masyarakat di Singapore Expo.

Lelaki itu, yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara atau daerah yang terjejas baru-baru ini, sebelum ini disahkan dijangkiti COVID-19 pada 7 Mei dan dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

MOH menyatakan 33 kes "positif palsu" itu adalah: Kes-kes 20844, 20847, 20850, 20853, 20854, 20855, 20856, 20973, 21018, 21021, 21024, 21111, 21120, 21163, 21166, 21170, 21370, 21456, 21581, 21595, 21596, 21598, 21599, 21600, 21601, 21602, 21603, 21604, 21605, 21606, 21607, 21608 dan 21609.

Tiada butiran lanjut tentang kes-kes lain didedahkan oleh MOH dalam laporannya.

DUA KES TIDAK BERI KEPUTUSAN JELAS

MOH pada Ahad juga melaporkan bahawa dua orang dari sektor penjagaan kesihatan awam yang bekerja di kemudahan penjagaan masyarakat Singapore Expo - Kes 18669 dan 19360 - mendapat keputusan "tidak jelas".

"Semua keputusan kurang jelas dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk diuji semula. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami menganggap Kes 18669 dan 19360 sebagai positif sementara menunggu pengesahan, dan mengasingkan mereka," kata MOH.

Kedua-duanya "kemudiannya disahkan negatif ketika diuji semula", kata kementerian itu.

Kes 18669 ialah seorang wanita Singapura berusia 52 tahun yang bekerja sebagai sukarelawan penjagaan kesihatan di kemudahan Singapore Expo. Beliau telah diuji positif bagi COVID-19 pada 4 Mei dan dimasukkan ke NCID.

Kes 19360 ialah seorang jururawat lelaki berusia 20 tahun yang bekerja di kemudahan Singapore Expo. Beliau disahkan positif COVID-19 pada 5 Mei dan juga dimasukkan ke NCID.

Mediacorp sudah menghubungi MOH untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan