Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 33 individu disiasat langgar peraturan di cawangan KTV tidak berlesen di Tanjong Pagar

Seramai 33 individu disiasat kerana didakwa melanggar peraturan keselamatan COVID-19 di sebuah cawangan KTV tidak berlesen di Tanjong Pagar, menurut polis pada Isnin (7 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 33 individu disiasat langgar peraturan di cawangan KTV tidak berlesen di Tanjong Pagar

Sekumpulan individu sedang bersosial di sebuah pusat karaoke di Enggor Street pada 26 Mei 2021. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 08:28AM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 08:29AM

SINGAPURA: Seramai 33 individu disiasat kerana didakwa melanggar peraturan keselamatan COVID-19 di sebuah cawangan KTV tidak berlesen di Tanjong Pagar, menurut polis pada Isnin (7 Jun).

33 individu itu, berusia antara 20 hingga 68 tahun, ditemui di cawangan KTV yang terletak di Enggor Street pada 26 Mei setelah pihak polis dimaklumkan tentang operasinya.

Dua lelaki, kedua-duanya berumur 37 tahun, didapati cuba untuk meninggalkan unit itu melalui pintu belakang manakala 24 lelaki serta tujuh wanita yang berada di dalam cawangan itu didakwa bersosial serta meminum arak.

“Hiburan awam dan minuman keras dipercayai disediakan di unit itu tanpa lesen yang sah," menurut polis dalam satu kenyataan media.

“Peralatan karaoke, botol minuman keras dan tin arak yang ditemui di unit itu dirampas bagi siasatan."

Seorang lelaki berusia 39 tahun, yang juga dalam kalangan 31 individu yang berada di dalam cawangan berkenaan, dipercayai merupakan pengendali unit itu.

Dia diberkas kerana didakwa membekalkan minuman keras tanpa lesen yang sah di bawah Akta Kawalan Minuman Keras (Bekalan dan Pengambilan) 2015 dan juga akan disiasat bagi dakwaan menyediakan hiburan awam tanpa lesen di bawah Akta Hiburan Awam.

Kesemua 33 individu itu akan disiasat kerana tidak mematuhi peraturan jarak selamat di bawah Peraturan (Arahan Kawalan) (Langkah-langkah Sementara) COVID-19 2020.

Kesalahan-kesalahan menyediakan hiburan awam dan membekalkan minuman keras tanpa lesen yang sah masing-masing membawa hukuman denda sehingga S$20,000.

Mereka yang gagal mematuhi peraturan COVID-19 boleh menghadapi hukuman penjara sehingga enam bulan atau didenda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan