COVID-19: 3 kes baru di S'pura, termasuk askar tetap SAF dikaitkan dengan kelompok gereja
Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (16 Feb) mengesahkan tiga kes baru virus korona COVID-19, dua daripadanya dikaitkan dengan kelompok dari gereja Grace Assembly of God, termasuk seorang askar tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (16 Feb) mengesahkan tiga kes baru virus korona COVID-19, dua daripadanya dikaitkan dengan kelompok dari gereja Grace Assembly of God, termasuk seorang askar tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Kes ketiga adalah seorang anggota keluarga kepada seorang lagi pesakit - kes 41, seorang lelaki warga Singapura berusia 71 tahun yang tidak ke China baru-baru ini.
Kesemua kes baru itu juga tidak ke China baru-baru ini. Ini menjadikan jumlah kes jangkitan itu kepada 75 di Singapura.
Menurut kenyataan MOH, askar berusia 43 tahun itu tidak bekerja sejak mengalami simptom.Beliau tinggal di Toa Payoh Lorong 8 dan pergi ke gereja Grace Assembly of God sebelum dimasukkan ke hospital.
Seorang lagi pesakit dari gereja itu, seorang lelaki berusia 29 tahun yang tinggal di Mei Ling Street. Beliau bekerja di Ubi Road.
Kes baru ketiga, seorang wanita 71 tahun yang dikuarantin sejak 7 Februari. Seorang anggota keluarganya disahkan dijangkiti COVID-19.
Seorang lagi pesakit - seorang suri rumah rakyat Singapura yang berusia 47 pula dibenarkan pulang dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada Ahad (16 Feb). Ini bermakna 19 orang sudah sembuh sepenuhnya daripada virus tersebut.
Wanita itu, bersama suami beliau dan anak lelaki remaja mereka, adalah dalam kalangan 92 warga Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Januari melalui penerbangan Scoot.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hari ini berkata satu pakej sokongan akan diperkenalkan bagi membantu keluarga mengharungi kos sara hidup sebagai sebahagian daripada Belanjawan tahun ini. Encik Heng mengumumkan demikian sedang beliau menyakinkan rakyat Singapura bahawa Pemerintah memperuntukkan sumber sepenuhnya untuk menangani penularan virus COVID-19.
Singapura menaikkan tahap amaran DORSCON ke Jingga pada minggu lalu, menggesa langkah berjaga-jaga tambahan diambil.
COVID-19 sudah meragut lebih 1,660 jiwa dan menjangkiti lebih 68,000 orang, kebanyakannya di China. Ia sudah merebak ke lebih 25 negara termasuk Singapura, Jepun dan Thailand.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.