Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 3 kelompok baru termasuk 22 kes berkait pekerja pusat pertukaran bas Bishan, Sengkang

Singapura melaporkan 57 kes baru jangkitan tempatan COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (14 Ogos), termasuk 17 yang tidak berhubung kait dengan mana-mana kes terdahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 3 kelompok baru termasuk 22 kes berkait pekerja pusat pertukaran bas Bishan, Sengkang

Pusat pertukaran bas Bishan (kiri) dan Sengkang (Gambar: Wikimedia Commons)

Diterbitkan : 14 Aug 2021 11:57PM Dikemas Kini : 15 Aug 2021 12:00AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 57 kes baru jangkitan tempatan COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (14 Ogos), termasuk 17 yang tidak berhubung kait dengan mana-mana kes terdahulu.

Sebanyak 29 kes yang dilaporkan hari ini dikaitkan dengan kes sebelumnya dan telah dikuarantin.Lagi 11 kes yang berhubung kait dikesan menerusi ujian pemantauan, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas hariannya.

Tiga kelompok baru dikenal pasti, dengan dua daripadanya melibatkan kakitangan di pusat-pusat pertukaran bas.

Lima kes baru dilaporkan dalam kelompok melibatkan anggota kakitangan pusat pertukaran bas Bishan, menjadikan jumlah jangkitan bagi kelompok itu kini sembilan orang.

Empat kes pula dilaporkan dalam satu kelompok melibatkan anggota kakitangan pusat pertukaran bas Sengkang, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam kelompok itu sebanyak 13.

MOH tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai kelompok ketiga, yang melibatkan tiga kes baru.

Dalam kalangan kes-kes baru hari ini, satu membabitkan pesakit berusia lebih 70 tahun yang belum divaksinasi dan berisiko mengalami sakit teruk.

Terdapat juga satu kes import yang dikesan dan diasingkan setibanya di sini.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 58 kes baru COVID-19 hari ini.

KELOMPOK MY FIRST SKOOL TAMBAH 5 KES

Lima lagi kes COVID-19 dikaitkan dengan kelompok My First Skool pada Sabtu, menjadikan jumlah jangkitan dalam kelompok itu menjadi 17.

Dua lagi kes ditambah kepada kelompok prasekolah Superland, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 13 orang.

Lapan kelompok ditutup. Terdapat 111 kelompok jangkitan aktif di Singapura setakat Sabtu, dengan antara tiga hingga 1,155 jangkitan.

SEMBILAN DALAM KEADAAN KRITIKAL

Sebanyak 451 pesakit kini dirawat di hospital, kata MOH pada Jumaat. Sembilan berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi dan 26 memerlukan sokongan oksigen.

Antara 35 kes itu, enam daripada mereka sudah selesai divaksinasi. Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 31 berusia lebih 60 tahun, dengan 25 tidak divaksinasi atau belum selesai menjalani dua suntikan dos vaksin, dedah MOH.

"Terdapat bukti berterusan yang menunjukkan bahawa hampir semua individu yang selesai divaksinasi tidak menderita penyakit serius jika dijangkiti, kecuali jika mereka mempunyai keadaan perubatan sebelum ini yang menjadikan mereka lebih terdedah," tambah Kementerian Kesihatan.

Sepanjang 28 hari lalu, peratusan orang yang tidak divaksin yang mengalami sakit parah atau meninggal dunia adalah 9.5 peratus, manakala bagi mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya hanya 1 peratus.

75% PENDUDUK LENGKAP DIVAKSINASI

Lebih 8.3 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan di bawah program vaksinasi nasional, dengan lebih 4 juta orang sudah melengkapi rejimen vaksinasi penuh sehingga Jumaat.

Di samping itu, 145,688 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah diberikan setakat Jumaat kepada 83,327 orang.

Secara keseluruhan, 75 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejimen penuh atau menerima dua dos vaksin COVID-19, sementara 81 peratus menerima sekurang-kurangnya satu suntika dos vaksin.

Jumlah kes baru dalam masyarakat secara keseluruhannya telah merosot daripada 611 kes pada minggu sebelumnya kepada 377 minggu lalu.

Bilangan kes tanpa hubung kait dalam masyarakat turut merosot daripada 166 kes kepada 101 sepanjang tempoh yang sama.

Setakat Sabtu, Singapura telah melaporkan 66,119 kes COVID-19 kesemuanya.
 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan