Coretan puisi 50 banduan antara karya seni dipamer di SOTA
Buat kali pertama tahun ini Projek Reben Kuning menyertakan puisi-puisi tulisan para banduan dalam Pameran Seni dan Puisi Masyarakat Reben Kuning.
SINGAPURA: Buat kali pertama tahun ini Projek Reben Kuning menyertakan puisi-puisi tulisan para banduan dalam Pameran Seni dan Puisi Masyarakat Reben Kuning.
Sebanyak 23 puisi dan 100 lukisan serta karya tembikar hasil tangan para banduan dipamerkan di Sekolah Seni Singapura (SOTA).
Ia dilancarkan oleh Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Sim Ann pada Jumaat (30 Ogos).
(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Pameran bertema ‘Menuju ke Hadapan Bersama-sama’ (Moving Forward Together) itu menekankan pentingnya untuk masyarakat terus menyokong para banduan dan memberikan mereka peluang untuk berubah.
“Tahun ini yang istimewanya kita adakan pameran puisi yang ada kena mengena dengan lukisan-lukisan yang mereka ciptakan. Dalam puisi ini mereka dapat menunjukkan bakat yang terpendam yang mereka ada selain daripada melukis. Dan dalam puisi ini adalah karya-karya untuk orang yang mereka sayangi dan untuk dikongsi kepada masyarakat,” kata Pengerusi Pameran Seni dan Puisi Masyarakat Reben Kuning, Shahlan Rashid.
LUAH KEKESALAN & HARAPAN
Kesemua 23 puisi yang dipamerkan di SOTA adalah luahan hati 31 banduan lelaki dan 19 banduan wanita.
(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Setiap daripada puisi-puisi yang dipamerkan itu menggambarkan keperitan, kekesalan serta harapan para banduan untuk bangkit daripada kesilapan masa lalu.
“Umpamanya saya ada satu puisi mengenai perasaan bapa kepada anaknya. Bapa ini sudah lama tidak berjumpa dengan anaknya dan dia meluahkan rasa sayang, rasa rindu kepada anaknya dan dia berharap agar anak dia dapat menerima dia kembali ke pangkuan masyarakat, ujar Encik Shahlan.
Dengan kerjasama sulung Projek Reben Kuning dan Sing Lit Station, para banduan diberi tunjuk ajar cara-cara mencoret isi hati mereka, dengan menulis puisi. Malah, prosesnya sudah dimulakan sejak bulan Januari tahun ini.
Puisi-puisi tersebut diharap dapat menjadi jambatan untuk membuka mata masyarakat kepada pengalaman para banduan, sekaligus mengajak mereka untuk membuka laluan bagi para banduan kembali ke pangkal jalan.
(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
“Berikan mereka peluang kedua untuk meneruskan hidup baru dan dapat mereka berkongsi segala harapan mereka untuk berjaya dan untuk menuju ke satu matlamat yang pada sayalah, untuk kebahagiaan mereka dan untuk Singapura juga,” tambah Encik Shahlan.
Selain itu, lukisan-lukisan artistik dan tembikar-tembikar yang berwarna-warni juga merupakan hasil tangan para banduan.
Karya-karya seni itu membantu para banduan untuk menjadi lebih penyabar, berdisiplin dan mengenali diri mereka sendiri dengan lebih mendalam.
SENI LUKIS SATU CARA TANGANI TEKANAN EMOSI
Bagi bekas banduan Encik Abdul Latiff Suratman, seni lukis adalah wadah yang amat membantu beliau menangani tekanan semasa meringkuk di penjara.
Beliau mula terjebak dengan najis dadah sejak usianya mencecah 30 tahun dan dimasukkan ke penjara pada tahun 1985. Beliau mula memanfaatkan bakat melukis sebagai cara menangani emosi dan fikirannya.
(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
“Apabila saya merasa ‘sakit’, tertekan, saya akan meluahkan perasaan dalam lukisan saya. Jadi itu memberi saya ketenangan. Kerana apa? Saya tak dapat memberitahu orang yang saya sedang dalam kesusahan atau apa. Saya membuat lukisan itu, menunjukkan ia lahir daripada dalam,” cerita Encik Abdul Latiff.
Selepas dibebaskan pada tahun 2013, Encik Abdul Latiff membulatkan tekad untuk terus menjauhi dadah. Beliau yang sudah meminati seni lukis sejak usia kecil mula kerap melukis dan mendapat sokongan keluarga untuk membuka sebuah galeri atas namanya sendiri - Tifera Art Gallery.
“Saya melukis kerana saya dapat melahirkan saya punya disiplin. Saya dapat melahirkan disiplin diri dan jati diri saya. Kerana lukisan itu membuat saya bertambah stabil, kukuh dengan mental saya.
(Gambar: Ihsan Encik Abdul Latiff Suratman)
“Kerana lukisan itu saya dapat inspirasi yang baik-baik. Seperti lukisan itu, saya baca al-Quran di dalam, saya dapat makna-makna Quran itu dan kadang-kadang lukisan saya ada kata-kata Quran. Seperti ayat Surah An-Nur,” ujar Encik Abdul Latiff.
INGIN SOKONG BEKAS BANDUAN
Beliau merupakan Pengarah Kreatif galeri di bawah Ministry of Recovery, sebuah pertubuhan bukan untung yang membantu para bekas banduan mendapatkan sokongan.
Dari situlah karya-karya beliau mendapat perhatian dan ia dibeli oleh para pelanggan yang terpikat dengan kehalusan lukisannya. Ia juga sedikit sebanyak menjadi mata pencariannya.
Kini, beliau ingin menyumbangkan tenaga dengan membantu para bekas banduan dan menggalak mereka menunjukkan bakat menerusi platform yang sama dengannya.
“Saya menyokong mereka kerana saya pun dahulu seperti mereka. Saya sama juga macam mereka dulu.
“Banduan yang sudah keluar daripada penjara mereka boleh datang ke tempat saya. Saya ada galeri sendiri mereka boleh datang ke Ministry of Recovery untuk bergabung sebagai artis dan menunjukkan bakat mereka di tempat galeri saya,” ujar beliau.
Orang ramai boleh menunjukkan tanda sokongan dengan membeli karya seni yang ada di Pameran Seni dan Puisi Masyarakat Reben Kuning. Setiap satu berharga antara $200 dengan $400.
(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
Wang yang terkumpul akan disalurkan kepada Dana Reben Kuning bagi menyokong program-program pemulihan para banduan.
Pameran itu berlangsung dari 31 Ogos hingga 8 September di SOTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.